Halaman

Selasa, 6 Julai 2010

PENGIKTIRAFAN KEPADA WANITA

KUANTAN, 4 Julai – Dua Hakim Syarie wanita pertama negara menganggap pelantikan mereka itu sebagai pengiktirafan terbesar bagi kaum tersebut.

Kedua-dua hakim itu, Rafidah Abdul Razak, 39, dan Suraya Ramli, 31, berazam untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kelemahan badan kehakiman syariah di negara ini.

Rafidah yang berasal dari Pulau Pinang ketika ditemui berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan dan berharap dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat terhadap badan kehakiman syariah di negara ini.

“Persepsi sebelum ini yang menganggap Hakim Syarie lelaki sebagai berat sebelah adalah tidak benar kerana kami mendapat pendidikan yang sama sahaja tanpa mengira jantina.

“Saya berharap selepas ini tiada lagi tohmahan segelintir masyarakat kerana sama ada lelaki atau wanita yang menjadi Hakim Syarie, ia tetap berpandukan pada undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-12 di sini, semalam.

Rafidah dan Suraya yang sebelum ini bertugas di JKSM, memulakan tugas pertengahan Mei lalu dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Rafidah sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie manakala Suraya pula sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM dengan masing-masing berkhidmat selama enam tahun.

Sementara itu, Suraya, 31, gembira dengan pelantikan tersebut yang sekali gus mengangkat martabat wanita dalam bidang kehakiman syarie di negara ini.

“Saya anggap ini satu tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil."

“Saya berharap dengan pengiktirafan ini, lebih ramai wanita akan mampu memegang jawatan yang selama ini didominasi kaum lelaki,” kata anak kelahiran Sabah itu