Halaman

Isnin, 26 April 2010

BN TAWAN SEMULA HULU SELANGOR

HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.

PILIHANRAYA KECIL P94 HULU SELANGOR

Wanita UMNO Wangsa Maju turut memberi sokongan kepada calon BN

Tetamu terhormat Y.Bahagia Tun Mahathir Mohamad
Penduduk di Kawasan Hulu Selangor yang turut hadir pada malam tersebut
Himpunan Rakyat 1Malaysia~Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung
PM hadir di sebuah restoran yang terletak di Hulu Yam Baharu

Beramah mesra bersama calon BN, P.Kamalanathan

Penuh dengan kesabaran untuk menanti ketibaan YAB Datuk Seri Najib
Tun Razak








Khamis, 22 April 2010

PENGUNDI WANITA KESAL CARA PKR








HULU SELANGOR 21 April - Pengundi-pengundi wanita di sini kesal kerana kebajikan ibu tunggal, warga emas serta keluarga miskin terabai tanpa sebarang pembelaan sejak pakatan pembangkang memerintah Selangor dua tahun lalu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal sedemikian berlaku kerana kerajaan negeri tidak menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum 2008 dan kini terbukti semuanya adalah palsu bagi mengaburi fikiran rakyat.

Menurutnya, rasa serik kumpulan itu yang mewakili 52 peratus daripada jumlah keseluruhan 64,500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor disuarakan ketika jentera Wanita UMNO, 'Jalinan Rakyat' membuat lawatan rumah ke rumah berkempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung sekarang.

"Ekoran tiada bantuan kerajaan negeri, masyarakat hanya bergantung kepada peruntukan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memenangi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

"Maklumat balas yang diterima bahawa pengundi-pengundi wanita tidak mahu lagi memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga tidak mahu mensia-siakan peluang untuk memilih calon BN pada pilihan raya kali ini," katanya.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan demikian selepas melawat rumah warga emas, Napsiah Abdul Rahman, 86, di Kampung Pasir Putih, Kalumpang dekat sini hari ini.

Beliau menambah, ekoran itu pengundi-pengundi wanita tidak lagi mahu tertipu dengan helah pembangkang setelah tiada pembangunan yang dibawa sejak dua tahun diberi peluang menguasai Parlimen Hulu Selangor.

Sebaliknya, tegas beliau, kemajuan yang dilihat berjaya dibawa ialah jumlah rumah urut bertambah daripada 200 buah ketika BN memerintah dahulu kepada kira-kira 4,000 buah di seluruh Selangor sekarang.

"Inilah perjuangan sebenar yang dicerminkan pakatan pembangkang bahawa mereka tiada program masa depan yang jelas untuk rakyat seperti yang dilaung-laungkan," ujarnya.

Sementara itu, Shahrizat memberitahu, tindakan pemimpin-pemimpin kanan PKR keluar parti itu sejak kebelakangan ini menunjukkan kepimpinan parti itu adalah rapuh dan menuju kehancuran.

Katanya, lebih ketara kerana mereka yang terlibat adalah rapat dengan pucuk pimpinan parti sekali gus menggambarkan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti tersebut kerana lebih mengutamakan pihak tertentu sahaja.

"Dalam tempoh dua tahun macam-macam berlaku menunjukkan kepimpinan PKR lemah. Mereka umpama tin kosong, buat bising sahaja tetapi isi di dalamnya tak ada," kata beliau.

Jumaat, 9 April 2010

DISIMBAH ASID KERANA NAFSU SUAMI

KUANTAN - Gara-gara isteri enggan mengadakan hubungan seks, seorang suami yang dipercayai tahi judi naik berang sehingga sanggup menyimbah asid ke muka dan tubuh isterinya menyebabkan wanita itu cedera parah dalam kejadian di rumahnya di Felda Bukit Sagu 2 di sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, ketika kejadian pada pukul 2 pagi, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan baru sampai ke rumah selepas dipercayai keluar bermain judi.
"Suspek yang bekerja sebagai peneroka itu pulang dalam keadaan marah-marah. Dia terus masuk bilik tidur sebelum mengejutkan isterinya untuk mengadakan hubungan kelamin.
"Bagaimanapun, wanita berusia 30-an itu menolak keinginan suaminya kerana dia tidak sihat dan sakit kepala," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Zulkifli, tindakan si isteri itu menyebabkan suaminya secara tiba-tiba naik angin lalu mengambil cuka getah yang diletakkan di dalam botol di luar rumah.
"Suspek masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah cuka getah itu ke arah muka dan badan mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat.
"Tindakan suspek itu menyebabkan isterinya melecur teruk," kata beliau.
Zulkifli memberitahu, dua orang anak pasangan itu berusia belasan tahun yang turut berada di rumah semasa kejadian terus mendapatkan ibu mereka untuk memberi bantuan.

Rabu, 7 April 2010

RESOLUSI CETUSAN SUARA WANITA

Resolusi-resolusi yang terhasil daripada konvensyen wanita dan 1Malaysia

1) Menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk membuat perubahan wanita
2) Menyeru kaum wanita memperkasa diri
3) Menyeru kaum wanita berperanan membimbing, mendidik, mendorong dan mentarbiah
keluarga
4) Menyeru Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan
1Malaysia melalui pendidikan
5) Menyeru Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan menyediakan program untuk memperomosikan perubahan minda ke arah
1Malaysia
6) Menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perpaduan
dan Integrasi Nasional dan Pertubuhan Wanita menanam semangat kesukarelaan dan
menyediakan pakej transformasi menyeluruh untuk mencapai hasrat dan aspirasi rakyat.

Isnin, 5 April 2010

62 PETUA AMALAN KEBAHAGIAN RUMAH TANGGA


MELUAS ILMU KEPIMPINAN WANITA


BAHAYA KENCING TIKUS