Halaman

Isnin, 26 Mac 2012

WANITA UMNO PERLU PERKUKUHKAN PERSEFAHAMAN ~ AHMAD MASLAN

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Wanita UMNO perlu perkukuhkan persefahaman untuk menghadapi segala cabaran di dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kerana pergerakan itu merupakan senjata, jentera serta tunjang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata Wanita UMNO tidak boleh berpecah dan perlu menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul dengan bijak.

“Saya harap mereka dapat menghadapi segala cabaran yang mendatang dengan jayanya…hidup ini tidak lengkap tanpa cabaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang 2012 di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO Selasa lepas berhubung pengekalan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO memandangkan Shahrizat dipilih oleh anggota-anggota pergerakan itu sebagai ketua.

Katanya beliau menyanjung persefahaman antara Shahrizat dan Naib Ketuanya Datuk Kamilia Ibrahim selama ini dan berharap mereka dapat menumpukan perhatian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Kerjasama mereka (Shahrizat dan Kamilia) sebelum ini jelas menunjukkan kewibawaan serta kepimpinan masing-masing dan ia dapat dilihat dengan kewujudan program Skuad Sayang, Jalinan Rakyat, Jelajah Sayang dan sebagainya yang mendapat sambutan hangat,” katanya.

Ahmad mengakui Wanita UMNO selama ini telah menjalankan tanggungjawab dengan baik selain setia, aktif serta rajin.

Beliau turut menggesa jentera parti supaya meneruskan usaha mendaftarkan ahli-ahli baru yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

“Bagi saya mereka boleh sahaja mendaftar tidak kiralah sama ada pilihan raya sudah dekat ataupun tidak. Jangan pula timbul cerita-cerita yang mengatakan seseorang itu tidak boleh mengundi meskipun nama sudah tersenarai di dalam senarai pengundi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya mereka ini tidak dapat mengundi pada PRU-13 namun mereka layak mengundi untuk pilihan raya seterusnya memandangkan mereka sudah mendaftar sebagai pengundi.

Pada majlis hari ini, Ahmad turut menyampaikan sijil serta hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang bagi Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Empat serta menyampaikan anugerah pelajar cemerlang di dalam PMR dan SPM 2011.

WANITA BERI SOKONGAN PADU ~ SHAHRIZAT

MELAKA, 25 Mac – Pergerakan Wanita UMNO berikrar memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam masa terdekat sebagaimana dibayangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kaum wanita amat menghargai kestabilan politik, perpaduan kaum dan pembangunan ekonomi yang sentiasa menjadi perhatian kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

“Saya yakin bahawa pengundi wanita untuk PRU-13 akan bagi sokongan yang hebat kepada Perdana Menteri dan kepimpinan beliau.

“Isu-isu wanita mendapat pembelaan yang tiada tolok bandingannya kerana semuanya diambil tahu,” kata Shahrizat kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga 1Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2012 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di Dataran Sejarah di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tiada sebab untuk kaum wanita terutamanya Wanita UMNO tidak menyokong kepimpinan Najib.

Shahrizat berkata beliau akan bertemu dengan ketua-ketua wanita UMNO negeri untuk mendapatkan senarai nama calon PRU13 dalam masa terdekat.

“Ini merupakan pertemuan terakhir untuk mendapatkan senarai nama calon yang sebenarnya sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai pertambahan calon wanita UMNO pada PRU13, beliau berkata inilah yang diharapkan namun masih belum dapat diputuskan.

Sementara itu, Mohd Ali selaku Pengerusi Badan Perhubungan BN Melaka yakin BN akan memenangi majoriti dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan pada PRU13.

Beliau berkata UMNO negeri sedang menyiapkan senarai calon seperti yang diminta oleh Perdana Menteri.

Jumaat, 23 Mac 2012

MAJLIS BACAAN YAASIN DAN TAZKIRAH ~ P.A.M GOMBAK SETIA, WANGSA MAJU






Alhamdulillah majlis ini berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancangkan. Kehadiran seramai 40 orang wanita penduduk setempat yang tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik. Atas inisiatif Ketua Wanita Cawangan, beliau mengadakan kelas mengaji untuk wanita-wanita penduduk setempat dari hari ke hari kehadirannya bertambah jumlahnya. Tazkirah kali ini dilaksanakan oleh Tn. Hj Jalal yang bertajuk "Sifat Mazmumah dan Akibat-akibatnya" pada 22hb Mac 2012.

Ringkasan Tazkirah yang diberi adalah:

Penyakit ini berpunca dari mata ke hati.
Penyakit Hati/Masalah Hati
1. Sifat takabur
2. Berasa nikmat/besar
3. Berasa riak
4. Sami'ah
5. Hasad dengki
6. 'Ajabar (mujuk)/berasa hairan

Terima kasih kepada yang hadir dan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada semua.

 


WANITA UMNO NEGERI: 'KAMILIA, JANGAN BUAT HAL'

Lima ketua Wanita Umno negeri menjelaskan desakan Naib Ketua Wanita Datuk Kamilia Ibrahim yang mahu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepaskan jawatannya sebagai ketua Wanita adalah pandangan peribadi.


Semua ketua Wanita negeri - Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah - mengesahkan cadangan itu tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan Wanita Umno termasuk di peringkat negeri.

Mereka menegaskan Shahrizat - yang mengumumkan akan berundur dari jawatan menteri pada 11 Mac lalu - telah dipilih oleh perwakilan Wanita dalam pemilihan parti, bukan pelantikan daripada Presiden Datuk Seri Najib Razak atau Kamilia sendiri.

Mereka - yang menganggotai kepimpinan Wanita pusat - juga "terkejut, hairan dan tidak tahu motif sebenar" mengapa Kamilia mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

"Siapa dia (Kamilia) suruh Datuk Seri Shahrizat lepas jawatan. Beliau menang bertanding (jawatan ketua Wanita).

"Kita pusing seluruh seluruh negara, ramai wanita keluar (memberi sokongan) kepada perdana menteri dan Datuk Sharizat... Kalau dia (Kamilia) tak sabar, berlawanlah (nanti)," tegas Ketua Wanita Umno Pahang Datuk Rosni Zahari.

Akhbar The Star semalam melaporkan Kamilia (kiri) menggesa Shahrizat supaya melepaskan jawatan ketua Wanita Umno demi menjaga kredibiliti parti, sayap, BN dan kerajaan.

Kamilia dilapor mendakwa Wanita akar umbi "susah nak kerja" berikutan isu National Feedlot Corporation (NFC) dikaitkan dengannya.

Petang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan khas dengan pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara.

Sementara itu, empat ketua Wanita negeri - Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah - menegaskan Wanita di negeri mereka memberi sokongan penuh kepada Shahrizat demi menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Dekat dengan pilihan raya, Kamilia jangan buat hal. Jangan jejaskan keyakinan (rakyat) terhadap parti... Wanita perlu bekerja kuat untuk menangkan Umno dan BN," tegas Ketua Wanita Melaka Datuk Rubiyah Ali.

Ketua Wanita Umno Kedah berkata Datuk Maznah Abdul Hamid membidas Kamilia yang katanya, sepatutnya merujuk kepada exco dan ketua wanita negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya berkaitan isu NFC.

"Waktu-waktu begini, kita sepatutunya merapatkan hubungan, bukan tikam daripada belakang... Shahrizat tidak pernah kata apa-apa dekat dia," katanya.

"Kita memberi sokongan kepada beliau Sshahrizat) untuk terus berjuang demi mencapai impian presiden Umno supaya bekerja bagi memenangkan parti," kata Ketua Wanita Negeri Sembilan Datuk Norhayati Omar.

Manakala Ketua Wanita Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menyifatkan kenyataan Kamilia itu sebagai "suara sumbang" yang tidak mempunyai kaitan dengan perjuangan pergerakan itu.

Rabu, 21 Mac 2012

JANGAN PILIH KERAJAAN DENGAN EMOSI

GEORGE TOWN, 17 Mac – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata masyarakat setempat tidak boleh mengikut emosi sewaktu memilih parti yang mana layak menubuhkan kerajaan dan seterusnya mentadbir negara.

Beliau berkata membuat pilihan sewaktu dalam keadaan emosi yang tidak stabil akan merugikan diri sendiri dan generasi akan datang kerana ia hanya akan membuatkan individu itu tersalah membuat pilihan.

“Pilih kerajaan jangan pilih dengan emosi, jangan sampai tersalah pilih… pihak yang di sebelah sana (pembangkang) hanya boleh buat provokasi untuk melemahkan semangat kita. Apa yang telah terjadi pada 2008 biarlah berlalu… tetapi kali ini(pilihan raya umum ke-13) jangan sampai tersalah pilih lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian bantuan kepada 400 penerima terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dan orang miskin dalam program Karisma Wanita di Pusat kegiatan Kemas, Permatang Damar Laut di sini hari ini.

Shahrizat berkata Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan yang memerintah Malaysia sejak mencapai kemerdekaan tidak pernah melupakan kebajikan untuk rakyat dan pada setiap masa mendahulukan rakyat untuk menikmati keharmonian dan keselesaan hidup.

“Kualiti kehidupan kita di Malaysia berada pada tahap yang membanggakan, walaupun masih ada kemiskinan tetapi masih boleh mendapatkan makanan, masih bebas untuk bergerak bebas mencari rezeki.

“Janganlah kita membuat sesuatu yang akhirnya akan memudaratkan diri sendiri dan memperjudikan nasib generasi akan datang. Kita dapat hidup dalam aman dan harmoni hasil perjuangan pemimpin terdahulu,” katanya.

Shahrizat, yang akan mengundurkan diri daripada jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April, menyatakan akan memberikan sokongan padu kepada BN dan berjanji bahawa jentera Pergerakan Wanita sentiasa bersiap sedia membantu untuk memastikan kejayaan parti pada pilihan raya umum kelak.

“Saya tetap akan memberikan sokongan yang padu pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Saya tidak layak untuk menjadi pemimpin kalau kena gertak sedikit dengan pihak di sebelah sana sudah melatah, mereka hanya mahu lihat kita lemah dan tewas,” katanya.

Isnin, 19 Mac 2012

PENTINGNYA PERANAN WANITA BANTU KERAJAAN KUKUHKAN PERPADUAN

SANDAKAN, 17 Mac – Wanita memainkan peranan penting membantu kerajaan mengukuhkan semangat perpaduan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata untuk tujuan itu semua wanita tanpa mengira suku kaum dan agama di pelbagai peringkat perlu menguatkan persefahaman mereka.

“Tanamkan sikap kekeluargaan dalam kehidupan seharian kerana melalui sikap inilah kekuatan wanita dalam komponen parti Barisan Nasional akan dapat diperteguh,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Wanita 1Beluran di sini hari ini.

Teks ucapan Musa disampaikan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri Datuk Armani Mahiruddin. Menurut Musa, kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum wanita di negara ini khususnya di Sabah.

Ketua Menteri berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk golongan wanita menerusi Program 1Azam, bantuan pinjaman oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN dan Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Melalui program ini kita dapat melihat ramai wanita berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi,” katanya.
Musa berkata adalah menjadi kewajipan wanita berkerjasama dengan kerajaan dalam menyokong usaha setiap pemimpin dan wakil rakyat dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat untuk membawa pembangunan ke setiap kawasan.

Rabu, 14 Mac 2012

SHAHRIZAT UNDUR SEBAGAI MENTERI 8 APRIL 2012

Kuala Lumpur, 11 Mac- Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), selepas berfikir dengan panjang lebar bagi meneruskan tugas dan amanah yang telah diberikan kepadanya.

Katanya surat berhubung perkara itu yang berkuatkuasa pada 8 April telah disiapkan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya mahu melakukan perkara yang betul. Saya berfikir untuk diri saya sekarang, perkara yang betul ialah berundur sebagai menteri kabinet. Masanya telah tiba.

“Saya juga mahu memastikan bahawa apa jua keputusan yang saya buat adalah keputusan yang tepat. Ia adalah keputusan saya sendiri,” katanya selepas merasmikan majlis Jalinan Kasih LPPKN, di KL.
Ditanya sama ada keputusan itu dibuat berikutan skandal NFCorp, Shahrizat  berkata beliau tidak mempunyai kaitan dengan isu itu.

“Saya tidak ada kaitan dengan NFCorp, saya berkahwin dengan pengerusi NFCorp, tetapi sebagai anggota kerajaan, saya rasa perkara yang betul untuk dilakukan ialah berundur.

“Saya amat menghormati kerajaan dan amat menghormati Perdana Menteri. Saya bukan sahaja seorang pemimpin, say ajuga seorang isteri dan seorang ibu. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan saya lakukan perkara yang betul,” katanya.

Katanya beliau mahu memastikan bahawa apabila beliau berundur, siasatan ke atas NFCorp akan diteruskan dan menunggu keputusannya.

Katanya berikutan beliau akan mengundurkan diri pada 8 April, dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini, beliau akan menjalankan tugas-tugas terutamanya program yang telah dipersetujui sebelum ini dan memberi tumpuan kepada Akta Pekerja Sosial.

Katanya Akta Pekerja Sosial yang telah dimulakan akan diselesaikan bersama Ketua Setiausaha kementeriannya dan Bahagian Dasar untuk menentukan supaya akta itu menjadi kenyataan.

Shahrizat juga menjelaskan ini adalah masa terbaik untuk beliau mengundurkan diri kerana yakin ada hikmah di sebaliknya.

Dalam pada itu, Shahrizat mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri  dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rakan jemaah menteri yang lain yang telah memberi kerjasama yang baik semasa beliau melaksanakan tugas sebagai menteri.

“Saya gembira kerana 10 tahun saya menjalankan tugas memimpin bersama semua kakitangan di kementerian dan agensi di bawahnya, kita sempat untuk membawa beberapa perubahan, terutamanya terhadap kumpulan sasaran kita, iaitu wanita, keluarga, orang kurang upaya, kanak-kanak, dan berhubung isu-isu kebajikan dan pembangunan masyarakat, warga emas dan lain-lain,” katanya.

Katanya selepas penubuhan kementerian tersebut, pelbagai perubahan telah dapat dilaksanakan terutamanya membabitkan pindaan perlembagaan yang dapat menentukan tidak boleh lagi ada diskriminasi terhadap wanita dan keluarga.

“Sejak pindaan itu, Alhamdulillah beberapa perubahan dan pembangunan untuk wanita dapat dijalankan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Wanita UMNO dan sayap wanita parti-parti komponen BN kerana sepanjang tempoh 31 tahun beliau menjadi anggota UMNO, wanita telah menjadi “kuasa yang kuat” yang membawa perjuangan untuk rakyat Malaysia.

Soal peletakan jawatan Shahrizat timbul apabila beliau terpalit dengan isu NFCorp yang diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif, yang terbabit dalam projek pengeluaran daging lembu NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Ini berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFCorp.

Shahrizat bercuti rehat selama tiga minggu mulai 13 Jan daripada menjalankan tugas menteri dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

Pada 8 Feb lepas, beliau tampil memberi keterangan di pejabat SPRM, Putrajaya untuk membantu siasatan berhubung isu terbabit.

Antara pihak yang mendesak Shahrizat meletak jawatan termasuk bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shahrizat merupakan menteri pertama menerajui Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Keluarga pada 2001. Kementerian itu kemudiannya bertukar nama kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau memegang jawatan itu sehingga Mac 2008, apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum yang diadakan pada tahun itu.

Shahrizat kemudiannya dilantik sebagai penasihat hal ehwal pembangunan wanita dan sosial kepada perdana menteri.

Beliau kembali memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah dilantik sebagai senator mulai 9 April 2009.