Halaman

Rabu, 26 Mei 2010

SKUAD SAYANG PERLUASKAN PENDEKATAN DEKATI AKAR UMBI


Kuantan, 24 Mei – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Skuad Sayang Wanita UMNO akan memperluaskan skop pendekatannya bagi mendekatkan lagi pergerakan itu dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Selain menghulurkan bantuan bencana, Skuad Sayang juga akan melaksanakan dua program teras iaitu program amal di masjid dan program di hospital bagi menjaga kebajikan orang sakit. “Pelaksanaan kedua-dua program itu sebenarnya tidak memerlukan peruntukan yang besar tetapi boleh memberi kesan yang sangat baik dalam meningkatkan imej Wanita UMNO dan parti di kalangan masyarakat.

“Program di masjid mesti dijalankan kerana ia boleh menjadi kekuatan kepada parti dan Wanita UMNO. Kenapa hanya orang Pas yang dilihat boleh menjalankan program sedemikian, sedangkan kita terutama wanita UMNO ramai dan boleh juga melakukannya.

“Antaranya, Skuad Sayang boleh menyediakan makanan atau minuman untuk para jemaah selepas menghadiri program di masjid-masjid dan surau-surau pada malam Jumaat,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Skuad Sayang Negeri Pahang di pekarangan Jabatan Perpaduan Daerah Kuantan di Kampung Permatang Badak di sini, Isnin.

Mengenai keberkesanan Skuad Sayang setakat ini beliau berkata pihaknya melihat kehadiran skuad itu semakin dirasai masyarakat di mana-mana juga kawasan.

“Kita lihat sekarang di mana ada berlaku bencana, Skuad Sayanglah antara yang terawal tiba menghulurkan bantuan.

“Sekarang kita mahu terus meningkatkan khidmat kita. Yang penting pendekatan sentuhan peribadi, memahami kehendak dan naluri masyarakat khususnya di peirngkat akar umbi adalah cara yang paling berkesan untuk memastikan rakyat terus dekat dengan parti kita”, ujarnya.