Halaman

Selasa, 29 Jun 2010

SKUAD SAYANG WANITA BN JAMBATAN MASYARAKAT– SHARIZAT


KLANG 27 Jun – Pelancaran Skuad Sayang peringkat Parlimen Klang memberi harapan kepada masyarakat sekitar untuk mengadu nasib dan masalah yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan bantuan.

Rata-rata golongan yang daif dan mereka yang ingin mengadu masalah mengucapkan terima kasih atas keprihtinan sayap UMNO dalam memperjuangkan nasib rakyat setempat.Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika merasmikan pelancaran berkenaan berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan untuk membantu mereka yang memerlukan menerusi institusi berkenaan selain agensi kerajaan yang lain.

Katanya, sambutan yang amat menggalakkan khususnya di peringkat akar umbi memberi suntikan semangat untuk mereka melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan penuh dedikasi agar mereka yang daif dan sebagainya mendapat perhatian kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Setiap komander skuad perlu memastikan ahli menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan integrit dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Setiap kes yang diambil perlu ditangani sehingga ia selesai dan mendapatkan pembelaan secara tersusun.

“Pelbagai masalah sosial boleh dibantu oleh skuad ini dan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggerakkan bantuan kepada semua isu yang disampaikan skuad ini“, katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas melancarkan Skuad Sayang peringkat Parlimen Klang di sini, hari ini.Shahrizat yang juga Pengerusi Wanita BN seterusnya menambah, dengan komitmen serta kerjasama daripada sayap-sayap Wanita BN yang lain, Skuad Sayang Wanita BN diharap akan menjadi jambatan kepada penduduk setempat.

“Skuad Sayang dengan 500 ahli dari 89 cawangan wanita UMNO seluruh Klang, saya harap mereka akan menjalankan tugas dan menjadi penghubung penduduk kepada agensi yang sepatutnya,” katanya.

Skuad Sayang yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu berfungsi untuk membantu melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kemasyarakatan seperti memberi perkhidmatan di waktu kecemasan kepada penduduk yang memerlukan.