Halaman

Khamis, 26 Ogos 2010

NIK AZIZ SYOK SENDIRI – WANITA KELANTAN

Kuala Lumpur 24 Ogos – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar boleh disifatkan sebagai bacul dan penakut kerana tindakannya yang sanggup merempat ke luar negara untuk mendapatkan perhatian selepas gagal di tanah air sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Datuk Mokhtar menyifatkan perbuatan Nurul Izzah itu membuktikan pemimpin pembangkang kini sudah ketandusan idea dan terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap mereka.

“Biasanya orang yang tidak ada keyakinan diri dan takut dengan bayang-bayangnya saja sanggup melakukan seperti apa yang dibuat oleh Nurul Izzah sehingga ke luar negara untuk mendapatkan publisiti.

“Sebenarnya Nurul Izzah takut buat kenyataan di sini kerana orang kenal dengan perangainya dan sudah tahu apa yang hendak dicakapkan. Dia ini lebih kurang macam bapanya juga (Anwar Ibrahim) yang suka buat kenyataan tidak betul dan suka berbohong untuk tarik perhatian orang,” katanya ketika dihubungi UMNO-online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk SeriHishammuddin Hussein terhadap Nurul Izzah memburukkan imej Malaysia di luar negara membuktikan perjuangan mereka tidak diterima di negara sendiri.

Dalam kenyataan itu Hishammuddin turut menyatakan bahawa pembangkang sudah diberi peluang menjadi pentadbir di beberapa negeri, namun pakatan pembangkang masih gagal melaksanakan tugas.

Rizalman berkata, apa yang dilakukan oleh Nurul Izzah membuktikan pakatan pembangkang sudah ketandusan idea dan sehingga sanggup memburuk-burukkan negara di luar negara untuk dapat perhatian.

“Sepatutnya Nurul Izzah menggunakan saluran-saluran yang ada di negara ini, sesiapa sahaja boleh bercakap jika perkara itu betul. Dia juga ahli parlimen dan boleh bawa perkara ini ke parlimen jika apa yang dicakapkan itu betul, tapi masalahnya dia bercakap dekat luar kerana tidak yakin apa yang dicakapkan.

“Nurul Izzah seharusnya dikenakan tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan palsu yang membabitkan keselamatan negara, dia juga boleh dianggap sebagai pengkhianat kerana sanggup menceritakan masalah negara kepada orang luar,” katanya.

Katanya, Nurul Izzah harus menumpukan perhatian kepada tugas beliau sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai kerana sejak menjadi wakil rakyat di sana banyak masalah berlaku berbanding dengan ketika Barisan Nasional (BN) menjadi wakil rakyat dahulu.

Menurutnya, Nurul Izzah menggunakan kelebihan sebagai seorang wanita menyebabkan beliau sering mendapat perhatian terutama di kalangan media-media asing.