Halaman

Khamis, 4 Ogos 2011

DENDA RM5,000 DAN PENJARA JIKA EKSPLOITASI KANAK-KANAK KUTIP DANA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan polis bagi menangani isu kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengutip dana di tempat awam menerusi Akta Kanak-Kanak 2001, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata Seksyen 32 akta tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali kepada mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana.

Katanya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang diselamatkan itu pula boleh dikenakan bon oleh mahkamah menurut Seksyen 30 akta yang sama bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terbabit.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memaklumkan kepada polis jika terdapat kes sedemikian dan tindakan akan diambil ke atas pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Wakil Khas Amerika Syarikat untuk Masyarakat Islam Farah Anwar Pandith di kementeriannya di sini, hari ini.

Shahrizat berkata satu perbincangan antara agensi telah diadakan pada Selasa lepas yang bersetuju mengadakan operasi bersepadu untuk pihak JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit manakala polis pula menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang mengeksplotasi kanak-kanak.