Halaman

Rabu, 14 Julai 2010

WANITA BERGERAK TAMBAH AHLI, PEMILIH 25 – 31 JULAI



KUALA LUMPUR, 13 Julai – Wanita UMNO akan mengadakan Minggu Gerakan Menambah Keahlian & Daftar Pemilih di setiap cawangan seluruh negara pada 25 hingga 31 Julai ini.

Pengerusi Sekretariat Pentadbiran Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Puan Rosni Sohar memberitahu program tersebut adalah sebahagian daripada persediaan bagi berdepan pilihanraya umum akan datang.

Jelasnya seluruh cawangan Wanita UMNO akan bergerak dari rumah ke rumah bagi mengenalpasti ahli yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi di samping menambah keahlian UMNO.

“Program ini adalah sebahagian daripada persediaan kita berdepan dengan pilihanraya yang bersifat serampang dua mata.

“Kita bukan saja mahu menambah keahlian parti tapi yang paling penting memastikan setiap ahli termasuk masyarakat di kawasan kita mendaftar sebagai pemilih”, katanya kepada MediaUMNO di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi Wanita UMNO sentiasa menekankan pendekatan akar umbi seperti mana penubuhan Skuad Sayang dan juga program Jalinan Rakyat.

Skuad Sayang misalnya kata beliau sudah menjadi jenama yang dikenali dan digemari masyarakat akar umbi.

“Kini setiap bahagian sudah menubuhkan Skuad Sayang yang berperanan mengenalpasti isu dan menyelesaikan masalah rakyat. Begitu juga Jalinan Rakyat yang merupakan jentera kita untuk mendekati pengundi dan memahami masalah mereka”, ujarnya.

Mengenai mesyuarat perwakilan bahagian pula beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia memberitahu setakat ini sudah 186 bahagian selesai mengadakan mesyuaratnya.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan kita lihat kebanyakan usul yang dibawa adalah berkaitan bagaimana hendak memperkasakan lagi parti dan pendekatan untuk mendekati rakyat”, katanya.

Jelas beliau lagi Wanita UMNO cukup bersedia untuk berdepan pilihanraya sekiranya ia berlaku dalam masa yang terdekat ini.

“Wanita UMNO bukan sahaja benteng hadapan tetapi umpama nadi kepada parti. Sebab itu kita sentiasa pastikan nadi ini sentiasa berdenyut”, ujarnya.