Halaman

Rabu, 15 September 2010

JANGAN POLITIKKAN KES SOSILAWATI

KUALA LUMPUR 14 Sept - Kes pembunuhan kejam pengasas dan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya tidak harus dipolitikkan sehingga boleh menimbulkan tanggapan negatif masyarakat.

Exco pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari kesal dengan sikap Ahli Parlimen Pokok Sena, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyelar pihak polis dan menyifatkan pembunuhan itu mirip pembunuhan Altantuya.

“Kenyataan Mahfuz itu adalah suatu yang tidak bertanggungjawab. Nampak sangat pemikiran dangkal, busuk hati dan sempit dia. Apa saja cuba dipolitikkan tanpa memikirkan perasaan keluarga Allahyarham.

“Kita seharusnya memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk menjalankan tugas mereka bukannya `menangguk di air keroh’ dengan menyalahkan pihak polis dan mempolitikkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi UMNOonline.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan, Mahfuz yang menuduh kelewatan pihak polis menangani kes berkenaan dan sepatutnya sudah boleh mengesan suspek pembunuh lebih awal memandangkan saspek yang juga seorang peguam bergelar ‘Datuk’.

Selain itu, beliau turut mengesa sistem siasatan pihak berkuasa diperbaiki dan tidak menolak kemungkinan bahawa kes tersebut turut membabitkan pemimpin negara yang berprofil tinggi.

Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Pahang berkata, beliau tidak faham dengan sikap pemimpin seperti Mahfuz. Dia akan mempolitikkan apa perkara yang berlaku dengan menyalahkan pihak berkuasa dan cuba membabitkan pemimpin negara.

“Sepatutnya kita harus berterima kasih dengan polis kerana dengan kecekapan mereka kerana dapat merungkai kes kehilangan Allahyarham Sosilawati dengan pantas walaupun pengesahan identiti masih dilakukan,” katanya.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, pihak berkuasa perlu mempunyai bukti yang lengkap sebelum membuat pertuduhan terhadap mana-mana individu kerana kesilapan yang dibuat boleh menjejaskan nama baik pihak berkuasa terutama membabitkan kes pembunuhan.

“Kes ini bukannya kes sebarangan, ini kes pembunuhan ini perlu siasatan rapi serta teliti kerana sebarang kesilapan akan memberi kesan kepada sistem keselamatan dan perundangan.

“Sebenarnya, mereka ini tidak tahu berterima kasih tetapi hanya pandai mencari kesalahan saja,lepas itu jadikan modal politik murahan, itulah sikap segelintir pemimpin pembangkang,” katanya.

Rosni meminta semua pihak tidak mencampuri urusan pihak polis dan cuba mempolitikan i kes pembunuhan itu kerana boleh menganggu kelancaran pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes berkenaan.