Halaman

Jumaat, 3 September 2010

PAS SELAMATKAN GUAN ENG, BUKAN SYARIAH ISLAM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pas tidak perlu dangkal dan terus menyembunyikan kejadian sebenar berhubung penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di dalam doa khutbah solat Jumaat yang berlaku di beberapa masjid di negeri berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Zabariah Wahab menyifatkan tindakan Pas yang menuduh UMNO sengaja mereka-reka cerita membuktikan bahawa Pas cuba menegakkan benang basah di dalam usaha mereka menyelamatkan imej kepimpinan pakatan pembangkang yang semakin tercalar.

“Di mana prinsip perjuangan Pas yang menjadikan agama sebagai paksi mereka, demi untuk menyelamatkan rakan seperjuangan mereka (Dap)? Pas sengaja mengalih pandangan dengan menuduh UMNO sengaja membuat tuduhan sedangkan khatib yang terbabit itu sudah pun mengaku.

“Sebenarnya, Pas cuba menyelamatkan Guan Eng dan kepimpinan (pakatan pembangkang) negeri yang kini kelam kabut kerana banyak menimbul masalah dan menyebabkan rakyat tidak puas terutamanya orang kita (orang Melayu) dengan apa yang berlaku sejak sekarang,” katanya ketika dihubungi UMNO-online, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa yang menuduh UMNO membuat fitnah dan berbohong dengan mendakwa beberapa khatib dan imam di Pulau Pinang menggunakan nama Guan Eng menggantikan nama Seri Paduka.

Menurutnya, Pas Pulau Pinang cuba menyembunyikan kenyataan dengan mengatakan dakwaan itu tidak benar dan belum terbukti sedangkan khatib yang membaca khutbah dan doa itu sudah pun mengaku perbuatannya.

“Saya tak faham dengan Pas ni, apa lagi yang ingin mereka cuba nafikan, khatib yang baca khutbah itu pun dah mengaku, nama dan gambar sudah disiarkan dalam surat khabar, saya tidak hairan jika Pas akan mengatakan semua itu perancangan UMNO.

“Pada bulan yang mulia, saya menyeru kepada orang Pas janganlah berburuk sangka sesama Islam sedangkan perkara itu sudah nyata, terimalah hakikat dengan apa yang berlaku, janganlah untuk menjaga kepentingan politik kita buat fitnah,” katanya.

Zabariah yang juga Adun Bertam, berkata walaupun beliau tidak mendengar butiran khutbah itu kerana tidak mengikuti solat Jumaat tetapi dia ada menerima laporan dan aduan dari orang ramai berhubung kejadian berkenaan.

“Kita orang perempuan tidak pergi sembahyang Jumaat, tapi ada mendengar kejadian ini, pada mulanya saya tidak percaya dengan apa yang berlaku, tetapi apabila ramai yang berjumpa dan mengadu pada saya, benarlah apa yang dikatakan.

“Sebenarnya, Pas negeri cuba menutup kelemahan yang berlaku terhadap wakil mereka di dalam kerajaan negeri, wakil Pas tak buat kerja mereka ini hanya ikut telunjuk Ketua Menteri, sebab itu mereka akan cuba sedaya upaya untuk pertahankan Ketua Menteri Melaka,” katanya.

Menurutnya, ini bukan pertama kali pemimpin Pas negeri cuba mempertahankan apa jua tindakan pemimpin pakatan pembangkang walaupun perkara itu menyentuh kepentingan orang Melayu dan agama Islam di Pulau Pinang.