Halaman

Khamis, 13 Januari 2011

ANGIN PERUBAHAN PENGUNDI CINA SOKONG BN

LABIS 13 Jan. – Terdapat perubahan di kalangan pengundi Cina untuk kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Tenang kali ini, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan hari ini.

Malah beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, angin perubahan pengundi Cina terhadap BN kali ini memungkinkan ia memenangi DUN Tenang dengan majoriti lebih 5,500 undi pada pilihan raya umum 2004.

“Saya melihat daripada laporan yang diterima daripada ketua-ketua peti undi, ketua cawangan dan rakan-rakan MCA yang mendapati ada perubahan daripada masyarakat Cina untuk menyokong BN berbanding pada pilihan raya umum 2008,” katanya selepas melawat Kampung Baru di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, BN walaupun menang dengan majoriti 2,492 tetapi tewas di ketiga-tiga peti undi di mana majoriti pengundinya terdiri daripada masyarakat Cina.

Ahmad melahirkan keyakinan bahawa masyarakat Cina akan menolak Pas pada pilihan raya kecil ini, kerana ia tidak akan memberikan sebarang keuntungan kepada pengundi di segi pembangunan tempatan, kerana pihak yang berkemampuan untuk membawa pembangunan adalah BN.

“Pembangkang tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka bukan kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Sia-sia jika menyokong pembangkang kerana mereka tidak mampu berbuat apa-apa, perabih beras saja,” katanya.

Pembangkang katanya, tidak mempunyai sebarang peruntukan kewangan untuk menjalankan projek pembangunan di Johor.

Mengenai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Tenang, beliau berkata, calon yang dipilih seharusnya seseorang yang disukai oleh pengundi dan berkemampuan untuk membawa kemenangan besar terhadap BN.

Selain itu katanya, calon itu juga mampu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik terhadap semua kaum di DUN Tenang.