Halaman

Isnin, 31 Januari 2011

KEMENANGAN BN DI TENANG BUKTI RAKYAT TERIMA KEPIMPINAN NAJIB

LABIS, 30 Jan – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti lebih tinggi merupakan bukti rakyat menerima kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dasar yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri telah diterima baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Ia adalah kemenangan yang membuktikan penerimaan rakyat pelbagai kaum terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman di negeri ini.

“Dasar-dasar oleh Perdana Menteri seperti Gagasan 1Malaysia, GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan ETP (Program Transformasi Ekonomi) telah disambut dengan baik oleh rakyat semua kaum,” katanya pada sidang akhbar selepas calon BN diumumkan memenangi pilihan raya itu di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis malam ini.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung hari ini, Mohd Azahar Ibrahim, 39, yang memperoleh 6,699 undi menewaskan calon Pas Normala Sudirman, 38, yang hanya memperoleh 2,992 undi.

Walaupun peratusan yang keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Tenang hanya 67 peratus, namun majoriti yang diperoleh calon BN ialah 3,707 undi, dan jumlah ini jauh lebih banyak berbanding 2,492 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum 2008.

Muhyiddin berkata BN akan meneruskan usaha bagi meningkatkan keyakinan rakyat pelbagai kaum terhadapnya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berharap trend kemenangan BN pada pilihan raya kecil akhir-akhir ini, termasuk di DUN Tenang hari ini, mampu diteruskan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau 6 Mac ini.

Mengenai kemerosotan jumlah undi yang diperoleh calon Pas, beliau berkata keputusan di DUN Tenang merupakan bukti jelas bahawa parti pembangkang itu ditolak rakyat Johor.

“Dari segi sejarah, Pas sememangnya tidak mempunyai tempat di hati rakyat Johor. Keputusan hari ini hanya mengesahkan bahawa Pas ditolak oleh rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kemenangan BN hari ini dengan majoriti yang kian meningkat juga membuktikan bahawa Johor kekal sebagai kubu kuat parti pemerintah itu.