Halaman

Khamis, 10 Februari 2011

30 AHLI PAS SERTAI UMNO PASIR PUTEH

PASIR PUTEH, 9 Feb – Seramai 30 anggota PAS termasuk bekas Timbalan Ketua PAS Cawangan Bunut Rendang Raja Abdullah Raja Mahmod dan bekas Ketua Muslimat PAS Semerak Noriah Salleh menyertai Umno hari ini.

Raja Abdullah, 57, menyerahkan borang keanggotaan kepada Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman pada majlis di Kampung Gong Datuk di sini.
“Kami tidak mahu lagi menjadi pengikut kepada sebuah parti yang hilang arah tuju, sekali boleh dan sekali tak boleh,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang itu.

Selain itu, katanya pemimpin PAS sentiasa membuat sangkaan buruk terhadap anggota Umno seperti mengkafirkannya sedangkan Islam melarang keras umatnya berbuat demikian dan menggalakkan umatnya supaya sentiasa membuat sangkaan baik terhadap sesama Islam.

Noriah, 30, pula berkata beliau memutuskan keluar dari parti itu disebabkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seringkali mengeluarkan kenyataan menyamakan sifat manusia dengan Allah yang boleh merosakkan akidah.

Zawawi pula berkata sejak Januari lepas sehingga sekarang lebih 500 anggota PAS terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, DUN Gaal dan DUN Semerak sudah menyertai Umno.

Beliau berkata pihaknya akan menggunakan bekas ulama PAS yang menyertai Umno untuk membongkar salah-laku PAS sepanjang 20 tahun memerintah Kelantan pada majlis yang akan diadakan di kawasan kubu kuat PAS.