Halaman

Isnin, 19 Mac 2012

PENTINGNYA PERANAN WANITA BANTU KERAJAAN KUKUHKAN PERPADUAN

SANDAKAN, 17 Mac – Wanita memainkan peranan penting membantu kerajaan mengukuhkan semangat perpaduan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata untuk tujuan itu semua wanita tanpa mengira suku kaum dan agama di pelbagai peringkat perlu menguatkan persefahaman mereka.

“Tanamkan sikap kekeluargaan dalam kehidupan seharian kerana melalui sikap inilah kekuatan wanita dalam komponen parti Barisan Nasional akan dapat diperteguh,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Wanita 1Beluran di sini hari ini.

Teks ucapan Musa disampaikan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri Datuk Armani Mahiruddin. Menurut Musa, kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum wanita di negara ini khususnya di Sabah.

Ketua Menteri berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk golongan wanita menerusi Program 1Azam, bantuan pinjaman oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN dan Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Melalui program ini kita dapat melihat ramai wanita berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi,” katanya.
Musa berkata adalah menjadi kewajipan wanita berkerjasama dengan kerajaan dalam menyokong usaha setiap pemimpin dan wakil rakyat dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat untuk membawa pembangunan ke setiap kawasan.