Halaman

Rabu, 14 Mac 2012

SHAHRIZAT UNDUR SEBAGAI MENTERI 8 APRIL 2012

Kuala Lumpur, 11 Mac- Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), selepas berfikir dengan panjang lebar bagi meneruskan tugas dan amanah yang telah diberikan kepadanya.

Katanya surat berhubung perkara itu yang berkuatkuasa pada 8 April telah disiapkan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya mahu melakukan perkara yang betul. Saya berfikir untuk diri saya sekarang, perkara yang betul ialah berundur sebagai menteri kabinet. Masanya telah tiba.

“Saya juga mahu memastikan bahawa apa jua keputusan yang saya buat adalah keputusan yang tepat. Ia adalah keputusan saya sendiri,” katanya selepas merasmikan majlis Jalinan Kasih LPPKN, di KL.
Ditanya sama ada keputusan itu dibuat berikutan skandal NFCorp, Shahrizat  berkata beliau tidak mempunyai kaitan dengan isu itu.

“Saya tidak ada kaitan dengan NFCorp, saya berkahwin dengan pengerusi NFCorp, tetapi sebagai anggota kerajaan, saya rasa perkara yang betul untuk dilakukan ialah berundur.

“Saya amat menghormati kerajaan dan amat menghormati Perdana Menteri. Saya bukan sahaja seorang pemimpin, say ajuga seorang isteri dan seorang ibu. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan saya lakukan perkara yang betul,” katanya.

Katanya beliau mahu memastikan bahawa apabila beliau berundur, siasatan ke atas NFCorp akan diteruskan dan menunggu keputusannya.

Katanya berikutan beliau akan mengundurkan diri pada 8 April, dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini, beliau akan menjalankan tugas-tugas terutamanya program yang telah dipersetujui sebelum ini dan memberi tumpuan kepada Akta Pekerja Sosial.

Katanya Akta Pekerja Sosial yang telah dimulakan akan diselesaikan bersama Ketua Setiausaha kementeriannya dan Bahagian Dasar untuk menentukan supaya akta itu menjadi kenyataan.

Shahrizat juga menjelaskan ini adalah masa terbaik untuk beliau mengundurkan diri kerana yakin ada hikmah di sebaliknya.

Dalam pada itu, Shahrizat mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri  dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rakan jemaah menteri yang lain yang telah memberi kerjasama yang baik semasa beliau melaksanakan tugas sebagai menteri.

“Saya gembira kerana 10 tahun saya menjalankan tugas memimpin bersama semua kakitangan di kementerian dan agensi di bawahnya, kita sempat untuk membawa beberapa perubahan, terutamanya terhadap kumpulan sasaran kita, iaitu wanita, keluarga, orang kurang upaya, kanak-kanak, dan berhubung isu-isu kebajikan dan pembangunan masyarakat, warga emas dan lain-lain,” katanya.

Katanya selepas penubuhan kementerian tersebut, pelbagai perubahan telah dapat dilaksanakan terutamanya membabitkan pindaan perlembagaan yang dapat menentukan tidak boleh lagi ada diskriminasi terhadap wanita dan keluarga.

“Sejak pindaan itu, Alhamdulillah beberapa perubahan dan pembangunan untuk wanita dapat dijalankan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Wanita UMNO dan sayap wanita parti-parti komponen BN kerana sepanjang tempoh 31 tahun beliau menjadi anggota UMNO, wanita telah menjadi “kuasa yang kuat” yang membawa perjuangan untuk rakyat Malaysia.

Soal peletakan jawatan Shahrizat timbul apabila beliau terpalit dengan isu NFCorp yang diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif, yang terbabit dalam projek pengeluaran daging lembu NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Ini berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFCorp.

Shahrizat bercuti rehat selama tiga minggu mulai 13 Jan daripada menjalankan tugas menteri dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

Pada 8 Feb lepas, beliau tampil memberi keterangan di pejabat SPRM, Putrajaya untuk membantu siasatan berhubung isu terbabit.

Antara pihak yang mendesak Shahrizat meletak jawatan termasuk bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shahrizat merupakan menteri pertama menerajui Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Keluarga pada 2001. Kementerian itu kemudiannya bertukar nama kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau memegang jawatan itu sehingga Mac 2008, apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum yang diadakan pada tahun itu.

Shahrizat kemudiannya dilantik sebagai penasihat hal ehwal pembangunan wanita dan sosial kepada perdana menteri.

Beliau kembali memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah dilantik sebagai senator mulai 9 April 2009.