Halaman

Jumaat, 24 April 2009

WANITA SYOK SENDIRI, SHAHRIZAT KENA MAKI

RUMAH siap, pahat berbunyi berdentam dentum. Bukannya senang mahu memuaskan hati semua orang. Kalau mahu memuakan hati kita sendiri lebih baik kita menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Siapa pun yang dilantik sebagai pegawai di ibu pejabat Wanita UMNO pusat dan Ketua Wanita Negeri itu adalah hak mutlak Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil. Dalam perjuangan ini mana lebih penting, individu atau parti? Kalau Wanita sayangkan kepada parti, lupakan masalah individu dan berikan tumpuan mentadbir parti.

Ketua Wanita UMNO Negeri Kedah, Dato’ Maznah Hamid dan Naibnya, Marlia Abd Latiff mempunyai peranan cukup besar di negeri yang dikuasai pembangkang ini. Walaupun terdengar di sana sini Maznah tidak bersetuju dengan regunya, Marlia semua itu harus dilupakan dan fokuskan kepada kerja-kerja parti. Sudah cukuplah Maznah dilabelkan terlalu berkira dengan Wanita Kedah jangan ditambah dengan perkara-perkara lain yang membuatkan orang lain mempertikaikan kredibiliti kita.

Kita percaya Shahrizat meletakkan kepercayaan dan keyakinan cukup tinggi kepada Maznah mampu mengetuai saf kepimpinan Wanita di negeri ini. Kalau Maznah boleh berjaya menjadi usahawan wanita ternama di negara ini tiada sebab Maznah dan team Wanitanya merampas semula negeri Kedah dari tangan pembangkang. Justeru Maznah dan Marlia kena membuang sentimen peribadi jauh-jauh dan satukan matlamat perjuangan dengan ikhlas. Ini bukan zaman untuk Wanita berpecah belah atau memandang rendah kepada pemimpin lain. Wanita kena satukan tekad dan matlamat.

Wanita Pulau Pinang tidak kurang pentingnya. Pelantikan Puan Zabariah Wahab sebagai Ketua Wanita Pulau Pinang dan Naibnya Norliza Abdul Rahim tidak kurang dipertikaikan. Adalah kalangan sesetengah Wanita negeri ini merungut kenapa Norliza yang juga Exco Wanita diberi kepercayaan sebagai Naib Ketua padahal masih mentah dalam politik. Dengarnya ramai tidak bersetuju dengan pelantikan Norliza.Dalam soal ini sekali lagi Wanita Pulau Pinang terdorong dalam gelombang emosi dan sekutunya. Perjuangan ini untuk memuaskan hati kita atau parti? Sudahlah kita berada di negeri yang Barisan Nasional (BN) kalah di sini jugalah berkepuk-kepuk masalah kemiskinan orang Melayu. Sampai bila Wanita Pulau Pinang mahu bekerja mengikut bulu? Sekurang-kurangnya mereka merasa bersyukur mendapat ketua dan naib ketua baru masih lagi mahu bercakaran di negeri yang orang Melayunya masih mundur. Kalau asyik bercakaran sesama mereka atau jatuh menjatuhkan sampai bila pun tidak selesai masalah. Berpolitiklah cara matang. Dalam politik ini mudah sahaja kalau kita berasakan tidak mampu menyandang jawatan tersebut, tidak cukup sumber kewangan atau tidak mampu memberikan komitmen lebih baik lepaskan jawatan dalam parti. Takkan Shahrizat mahu memberhentikan mana-mana Ketua Wanita dan Naib Ketua yang dilantiknya atas sebab tidak berjaya memuaskan hati semua orang maka mana mahu diletakkan mukanya? Kecuali mereka berhenti secara sukarela itu kita tidak boleh buat apa. Kalau seseorang pemimpin itu sudah menerima jawatan yang diberi maka ini bermakna mereka sanggup memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Pelantikan Rela Ahmad sebagai Ketua Wanita UMNO Negeri Perlis bersama regunya, Mariah Abdullah tidak usah dipertikaikan. Sebelum ini memang ada cadangan bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk memberi kepercayaan kepada Exco Wanita Azihani Ali sebagai Ketua Wanita negeri ini. Dalam soal ini awal-awal lagi Shahrizat sudah mengumumkan akan melantik Ketua dan Naib Ketua di kalangan Ketua-ketua Wanita bahagian. Di sebabkan Azihani bukan Ketua Wanita bahagian maka kenalah terima dan akur dengan keputusan Shahrizat.

Bagi negeri Perak seharusnya melahirkan rasa syukur kerana Exco Kerajaan Negeri Perak , Datuk Hamidah Osman dilantik sebagai Ketua Penerangan Wanita UMNO Pusat. Manakala Ketua Wanita Negeri Perak adalah Datuk Rusnah Kassim dan Naibnya, Puan Abashah Osman. Sememangnya kita nampak tidak wujud masalah antara Rusnah-Abashah mempunyai hubungan cukup rapat dan akrab. Abashah selain berpengalaman dalam politik juga mahir dan bijak dalam usaha menyatukan anggota pergerakan. Dan Abashah seperti mana kita kenal peribadinya tidak mempunyai kem-kem yang khusus. Siapa sahaja Ketua Pergerakan Wanita UMNO, dia akan setia setengah mati. Cuma satu jika Hamidah dan Rusnah menyandang jawatan Wakil Rakyat, maka Abashah sekian lama berjuang dalam pergerakan ini kenalah diberikan jawatan Senator atau sekutunya.

Bagi Dato’ Kamilia Ibrahim, jawatan yang disandang sebagai Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar dan kini Naib Ketua Wanita Malaysia belum meletakkan beliau dalam posisi yang teguh. Bekas Senator yang juga boleh dianggap pemimpin Wanita yang idealis perlu diberikan jawatan dalam anak syarikat kerajaan atau Penasihat Khas bertaraf menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, Kamilia menunjukkan komitmen yang baik. Beliau amat bersungguh-sungguh dalam setiap kerja yang dilakukan dan sentiasa mengutamakan pencapaian yang cemerlang.

Rata-rata melahirkan rasa gembira kerana Datuk Rosni Zahari yang juga Exco Wanita UMNO dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang. Manakala regunya Roslin Abdul Rahman dianggap paling sepadan dan mampu membantu kerja –kerja Rosni di negeri ini. Dengan pelantikan Rosni diharapkan Wanita negeri ini bersatu padu. Sebelum ini memang ada rungutan bekas Ketua Wanita Negeri Pahang, Dato’ Maznah Mazlan tidak melantik Bendahari dan Ketua Penerangan Wanita Pahang sejak sekian lama. Semoga Rosni yang juga Ketua Wanita Bahagian Maran dapat menunjukkan kesungguhan serta tidak berpihak-pihak semasa mentadbir. Rosni juga boleh dianggap pemimpin Wanita tidak berdendam dan berbaik dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh Rosni mempunyai hubungan sangat baik dan menghormati bekas Menteri Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman. Biarpun suatu ketika dahulu Rosni boleh dianggap antara ‘orang Rafidah’ namun masih kekal bersahabat dengan Siti Zaharah. Antara Rosni dan Maznah mempunyai dua perwatakan amat berbeza. Namun semenjak Maznah terlibat dengan peristiwa kemalangan kereta, ternampak banyak perubahan pada diri pemimpin tersebut. Moga-moga Wanita Pahang dapat bersatu dengan erat dan Maznah tidak terkecuali mampu memberikan input-input yang baik untuk Wanita Pahang.

Negeri Selangor tidak kurang hebatnya. Pelantikan Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah sebagai Ketua Wanita Negeri Selangor secara tidak langsung berjaya memecahkan tembok besar selama ini kononnya anak Perak tidak boleh mengetuai Wanita Selangor. Kalau ada yang mempertikaikan Raja Ropiaah sebagai Ketua Wanita Selangor kita juga boleh mempertikaikan Dato’ Sri Mohd Najib menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari Pulau Pinang pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Kalau dinilai kepada bakat dan kebolehan Raja Ropiaah seharusnya diberi peluang mengetuai Wanita Selangor sejak 1996 lagi. Memandangkan sentimen Wanita Selangor begitu kuat tidak mahu anak Perak mengetuai Wanita negeri ini maka harapan tinggal harapan. Maka pelantikan Raja Ropiaah kali ini menyandang beban dan tanggungjawab amat besar merampas semula Selangor dari genggaman pembangkang. Beliau dan Naibnya Datin Paduka Norhayati Onn dianggap regu sesuai. Walaupun ada sedikit rungutan sana sini itu biasalah. Apa pun semua aspek perlu diambil kira dalam menentukan barisan kepimpinan Wanita Selangor bimbang dalam sesetengah kes dijadikan isu pembangkang. Kita berkeyakinan Raja Ropiaah mampu mengetuai barisan kepimpinan Wanita UMNO Selangor dengan baik.
Manakala pelantikan Senator Datuk Azizah Samad sebagai Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan adalah ujian besar buat bekas Bendahari Wanita Malaysia itu. Jika selama ini Azizah banyak bermain dengan angka, kini beliau kena mengatur, menyusun dan melaksanakan gerak kerja merampas kerusi-kerusi parlimen yang dikuasai oleh pembangkang. Sememangnya Azizah antara pemimpin Wanita berpengalaman haruslah menampakkan keberkesanan dalam segala kerja-kerjanya mengetuai Wanita Wilayah Persekutuan. Memang sebelum ini ada pihak-pihak yang tidak mahu Azizah dikekalkan sebagai Bendahari Wanita UMNO. Biarpun seolah-olah wujud ‘barter trade’ dalam pelantikan Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, namun Azizah kena membuktikan kebolehan dan bakat kepimpinannya. Azizah kena menutup mulut pihak-pihak yang cuba mempertikaikan kebolehannya.

Bagi negeri Johor pelantikan Senator Sharifah Azizah Syed Zain yang juga Exco Wanita membawa harapan cukup besar bagi anggota pergerakan negeri ini. Sedaya upaya Sharifah Azizah kena menyaingi kredibiliti bekas Ketua Wanita Johor, Dato’ Halimah Mohd Sadique kita tahu mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Sharifah Azizah kena menggunakan pengalamannya sebagai Naib Ketua Wanita Johor menyatupadukan anggota pergerakan negeri ini. Sharifah Azizah juga kena menjaga personaliti dan kurangkan ‘kelaseran’ sebaliknya tingkatkan produktiviti. Bagi menguatkan barisan kepimpinan Wanita Johor tiada kekurangannya jika Azizah dapat melantik Datuk Seri Azalina Othman Said dan Dato’ Noraini Ahmad dalam barisan AJK Perhubungan Wanita Negeri.

Pelantikan Datuk Rabiah Ali sebagai Ketua Wanita Negeri Melaka dan Naibnya, Noradiah Abdullah memang tidak disenangi oleh sesetengah pihak di negeri ini. Sebelum ini memang ada pihak berpendapat, Exco Kerajaan Negeri Melaka, Norpipah Abdol dan ADUN Taboh Naning, Puan Latifah Omar layak mengetuai Wanita negeri ini. Tapi ada pula pendapat mengatakan pelantikan Rabiah atas restu Ketua Menteri Melaka. Maka sudah tentulah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahukan kedua-dua ADUN ini memberikan tumpuan kepada kawasan masing-masing sementara Rabiah boleh memberikan tumpuan kepada kerja-kerja parti.

Negeri Sembilan tidak wujud banyak kekecohan. Nampaknya pelantikan Datuk Norhayati Omar bersama regunya Zainab Nasir mampu menyaingi kehebatan Tan Sri Napsiah Omar mengetuai pergerakan ini suatu ketika dahulu. Pada zaman kepimpinan Napsiah, memang tidak dapat dinafikan Wanita Negeri Sembilan bijak menjaga kerahsiaan parti dan bekerja dalam satu pasukan .

Selepas pengumuman Ketua dan Naib Ketua Wanita Negeri Sabah wujud suara-suara tidak puas hati dengan pelantikan Datuk Hazizah Mohd Dun. Ada sesetengah Ketua-ketua Wanita Bahagian negeri ini mahukan ADUN Karambunai, Jainab Ahmad sebagai Naib Ketua Wanita Negeri Sabah dan bukannya Hazizah. Menurut mereka, Jainab Ahmad banyak berperanan membantu kerja-kerja parti selama ini dibandingkan Hazizah. Jainab juga hadir serta membantu kerja-kerja parti dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Seharusnya kata mereka Jainab digandingkan dengan Datuk Armaini Mahiruddin yang dilantik Ketua Wanita Negeri Sabah.

Di negeri Kelantan Datin Rahimah Mohamad dilantik Ketua Wanita negeri ini dan di Terengganu Senator Fatimah Hamad.Biarpun ada suara-suara mahukan Wan Hazani Mohd Noor dikekalkan sebagai Ketua Wanita Kelantan namun kita percaya Shahrizat mahu memberi peluang lebih ramai menjadi Ketua Wanita. Sekaligus ada kemungkinan Shahrizat mahu mengikis sentimen bekas-bekas Ketua Wanita sebelum ini iaitu Datuk Zaleha Hussein, Datin Nik Azizah dan Wan Hazani. Dengan pelantikan Rahimah mampu mencetuskan nafas baru dalam pergerakan itu.

Walau siapa pun yang menerajui Wanita negeri tidak penting yang perlu diutamakan oleh Wanita ialah perubahan dari segi minda. Pemimpin Wanita kena berilmu dan menguasai IT. Wanita UMNO kena banyak membaca dan jangan menjadi katak di dalam kaca. Wanita UMNO juga kena menjadi pergerakan yang berinformasi atau bermaklumat. Perubahan pergerakan dimaksudkan ialah penghijrahan dari norma-norma yang negatif kepada positif. Jangan dok seronok atau bekerja syok sendiri akhirnya Shahrizat kena maki. Wanita juga yang rugi.