Halaman

Rabu, 26 Mei 2010

KAJIAN CUTI BERSALIN 90 HARI DILAKSANAKAN


KUALA LUMPUR, 22 Mei – Keputusan berhubung cuti bersalin yang disyorkan supaya dinaikkan menjadi 90 hari, akan dibuat dalam masa dua bulan lagi sebaik sahaja kajian mengenai perkara itu disiapkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, sebaik sahaja kajian mengenai perkara itu siap, pihaknya akan membara perkara itu kepada kabinet untuk dibincangkan.

“Kajian itu merangkumi penelitian kepada implikasi positif dan negatif terhadap ibu bapa dan majikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Ibu 1Malaysia Mama di sini, hari ini.

Katanya, beliau sendiri memulakan ikhtiar untuk menambah bilangan hari cuti bersalin sejak empat tahun lalu, dan ia menerima banyak bantahan dari pelbagai pihak, sesetengahnya termasuk dari kalangan kaum wanita sendiri.

Menurutnya, beliau bimbang sesetengah majikan menjadi agak keberatan untuk mengambil wanita sebagai pekerja kerana merasakan bahawa prestasi dan keberkesanan mereka berkurangan apabila wanita itu kembali dari cuti yang terlalu panjang.

“Tetapi bagi pihak kementerian, ini bukan alasan yang terbaik. Persekitaran pekerjaan perlulah berkonsepkan mesra keluarga,” katanya.

Shahrizat berkata, pihaknya sedang mengkaji dengan teliti perkara itu memandangkan gejala sosial sejak kebelajangan ini dilihat meningkat dengan ketara disebabkan kekurangan masa yang dihabiskan bersama oleh para ibu bapa dengan anak-anak mereka.

SKUAD SAYANG PERLUASKAN PENDEKATAN DEKATI AKAR UMBI


Kuantan, 24 Mei – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Skuad Sayang Wanita UMNO akan memperluaskan skop pendekatannya bagi mendekatkan lagi pergerakan itu dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Selain menghulurkan bantuan bencana, Skuad Sayang juga akan melaksanakan dua program teras iaitu program amal di masjid dan program di hospital bagi menjaga kebajikan orang sakit. “Pelaksanaan kedua-dua program itu sebenarnya tidak memerlukan peruntukan yang besar tetapi boleh memberi kesan yang sangat baik dalam meningkatkan imej Wanita UMNO dan parti di kalangan masyarakat.

“Program di masjid mesti dijalankan kerana ia boleh menjadi kekuatan kepada parti dan Wanita UMNO. Kenapa hanya orang Pas yang dilihat boleh menjalankan program sedemikian, sedangkan kita terutama wanita UMNO ramai dan boleh juga melakukannya.

“Antaranya, Skuad Sayang boleh menyediakan makanan atau minuman untuk para jemaah selepas menghadiri program di masjid-masjid dan surau-surau pada malam Jumaat,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Skuad Sayang Negeri Pahang di pekarangan Jabatan Perpaduan Daerah Kuantan di Kampung Permatang Badak di sini, Isnin.

Mengenai keberkesanan Skuad Sayang setakat ini beliau berkata pihaknya melihat kehadiran skuad itu semakin dirasai masyarakat di mana-mana juga kawasan.

“Kita lihat sekarang di mana ada berlaku bencana, Skuad Sayanglah antara yang terawal tiba menghulurkan bantuan.

“Sekarang kita mahu terus meningkatkan khidmat kita. Yang penting pendekatan sentuhan peribadi, memahami kehendak dan naluri masyarakat khususnya di peirngkat akar umbi adalah cara yang paling berkesan untuk memastikan rakyat terus dekat dengan parti kita”, ujarnya.

Selasa, 18 Mei 2010

BANGKIT SEMULA DENGAN SEMANGAT, KEKUATAN BARU

KUALA LUMPUR 17 Mei – Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu Barisan Nasional (BN) menjadikan kekalahan dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu sebagai peluang untuk bangkit semula dengan semangat dan kekuatan baru supaya dapat merampasnya kembali pada pilihan raya umum nanti.

Bercakap kepada pemberita di sini Isnin, Perdana Menteri berkata kekuatan BN di Sibu masih kekal kerana penyokong-penyokong tradisional tetap bersama BN.Calon DAP Wong Ho Leng menewaskan calon Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew dengan kelebihan 398 undi bagi kerusi yang sebelum ini diwakili oleh BN.

Sambil melahirkan rasa kecewannya, Najib berkata sebenarnya kekalahan itu terlalu tipis dan apa yang BN perlu lakukan sekarang ialah mengkaji segala kekurangan yang mungkin wujud dan melakukan pembaharuan dan penambahbaikan termasuk kepada jentera BN.

“Kita terima keputusan itu kerana sebagai sebuah parti yang berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen maka keputusan pengundi adalah keputusan yang perlu diterima dan dihormati,” katanya selepas memberikan ucapan khas pada mesyuarat pertama Forum Pegawai Institusi Kewangan dan Monetari di Bank Negara Malaysia di sini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata walaupun kalah, tidak perlu berlaku sebarang proses menuding jari sebaliknya semua pihak dalam BN perlu melihat secara mendalam apa yang telah berlaku terutama sekali sekiranya ada kelemahan yang perlu diatasi manakala mesej sebenar pengundi Sibu perlu dihalusi.

“Tapi gelombang perubahan di bandar yang kita selalu sebut itu satu fenomena yang perlu kita kaji dan mengetahui sebab musababnya berlakunya fenomena ini,” katanya.
Najib, yang turut berkempen pada pilihan raya kecil itu, berkata satu daripada faktor yang beliau lihat menyumbang kepada kekalahan BN ialah cara jentera BN yang masih bergerak pada kaedah dan cara lama.

“Sepatutnya mereka perlu lebih kreatif dan bertenaga lagi,” katanya. Najib berkata BN di semua peringkat termasuk bahagian dan negeri perlu menggunakan kekalahan ini sebagai satu pengalaman dan pengajaran untuk melakukan pembaharuan yang perlu.

“Kerana salah satu daripada kekuatan BN selama ini ialah jenteranya tapi kalaulah jentera BN ini kurang bertenaga dan kurang dari segi kretivitinya, maka kita agak kehilangan kelebihan kita,” katanya.

Mengenai sama ada berlaku trend penolakan masyarakat Cina terhadap BN melalui pilihan raya ini, Najib berkata BN kena mengkaji segala-galanya. “Sama ada ini merupakan apa pertimbangan mereka sebenarnya, adakah isu nasional, isu tempatan atau isu negerikah? Semua perlu kita ambil kira,” katanya.

Najib juga berkata antara sebab lain punca kekalahan BN ialah kerana ramai juga penyokong BN tidak turun mengundi dan ini juga BN perlu mengkaji. Ditanya impak keputusan di Sibu pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang, Perdana Menteri berkata: “Kita akan menghadapi cabaran lebih besar, oleh itu semua pihak terutama di Sarawak harus mengambil kira apakah yang harus kita lakukan untuk menghadapi piliha raya negeri nanti.”

Diminta mengulas sama ada kempen memburukkan kerajaan oleh DAP berjaya mempengaruhi pengundi, Najib berkata parti itu telah berkempen secara agresif dan menggunakan isu sensitif selain menjalankan banyak program dan perjumpaan.

“Dan tentu apa yang mereka lakukan sedikit sebanyak telah mempengaruhi pengundi di Sibu, sebab tindak balas daripada jentera kita agak tidak setimpal dengan apa yang mereka (pembangkang) lakukan,” kata Najib.

Ahad, 16 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU


Ahad, 9 Mei 2010

SELAMAT HARI IBU