DENGAN memakai kasut yang diperbuat daripada kulit pokok limau, sekumpulan wanita warga emas dari Rusia mengemaskan gerak tari mudah sambil diiringi lagu yang mempesonakan. Mereka yang menetap di kaki Gunung Ural itu mahu mencipta kemasyhuran di pentas hiburan.
Biarpun kurang mendapat publisiti, kumpulan muzik dari pedalaman yang dinamakan Buranovskiye Babushki (Nenek-Nenek Buranovo) itu telah terpilih untuk mewakili Rusia dalam pertandingan nyanyian Eurovision.
Persembahan mereka menerusi lagu Party for Everybody berjaya menawan hati masyarakat. Kumpulan itu merupakan calon pilihan untuk memenangi pertandingan yang bakal berlangsung di Baku, Mei nanti.
"Kami tidak tahu berapa usia kasut ini. Ia telah dibaik pulih beberapa kali sebelum ini sehingga terdapat lubang di dalamnya, tetapi saya tetap selesa menari dengannya," kata Valentina Pyatchenko, 74.
Berumur dalam lingkungan 43 hingga 76 tahun, kebanyakan wanita berkenaan menetap di rumah-rumah kayu di kawasan perkampungan mereka di Buranovo.
Bagaimanapun, kilauan pentas Eurovision telah hadir di kampung mereka. Di dewan tempat mereka melakukan latihan, sijil penyertaan pertandingan itu digantung berhampiran notis aktiviti hiburan hujung minggu mereka.
Mereka juga dijadualkan berlepas ke Moscow untuk melakukan persembahan untuk sebuah yayasan yang diketuai oleh wanita pertama Rusia, Lyudmila Putin. Bagaimanapun, kemasyhuran yang dikecapi itu langsung tidak mengubah diri mereka.
Bukan bintang
"Kami tidak melihat diri kami sebagai bintang. Kami hanyalah warga emas dari Buranovo. Semua orang cakap kami bintang popular dan kami rasa ia agak lucu," kata Yekaterina Shklyayeva, 74.
Wanita-wanita berkenaan pernah bekerja dalam pelbagai bidang sebelum ini. Ada antaranya bekerja sebagai pemerah susu lembu, guru, penjaga pusat asuhan kanak-kanak, pekerja kedai buku, kontraktor, petani dan pekerja kilang.
Selepas bersara, mereka dilihat lebih selesa bercucuk tanam dan menternak kambing, ayam serta arnab. Mereka juga gemar memelihara kucing serta anjing.
"Mereka tidak melihat perkara lain dalam hidup selain daripada kerja. Oleh itu, adalah sesuatu yang menggembirakan apabila melihat mereka bahagia," kata ketua kumpulan, Olga Tuktareva, 42.
Tinggal bersendirian, Pyatchenko mempunyai seorang anak lelaki yang sering membantunya menjaga ayam. Wanita itu hanya mempunyai sebelah tangan selepas terlibat dalam kemalangan. Biarpun pernah melalui kehidupan yang sukar, Pyatchenko tetap bersemangat menyertai Eurovision.
Curiga dan cemburu
Walau bagaimanapun, seorang penduduk merangkap pemain akordion dan gitar yang sering bersama kumpulan itu, Nikolai Zarbatov, mengakui terdapat tekanan sebaik sahaja mereka mulai popular di Rusia.
"Ada orang yang curiga dan cemburu dengan pencapaian kami. Maklumklah, tidak semua boleh menerimanya. Bagaimanapun majoriti penduduk di sini bangga. Kami menghiburkan mereka dengan persembahan yang bertenaga," katanya.
Kumpulan wanita itu merancang untuk melakukan sesuatu di kampung mereka termasuk membina semula gereja yang musnah semasa era Soviet.
Kata Tuktareva, sehingga kini, mereka berjaya mengumpul dana sebanyak AS$273,000 (RM833,000) untuk memulakan pembinaannya pada Mei nanti.
Daya penggerak kumpulan itu ialah ahli termuda, Tuktareva, 43, yang turut digelar babushka.
Ketua kumpulan,yang berasal dari kampung berhampiran itu menyertai kelab sosial Buranovo kira-kira 12 tahun lalu.
Ketika lagu-lagu dalam pertandingan itu menenggelamkan suara mereka yang menyanyi secara acapella, mereka tetap kelihatan selesa dan terlatih. Suara Tuktareva dikatakan yang paling menonjol.
Wanita-wanita itu pada awalnya merupakan kumpulan koir rakyat yang menyanyi dalam bahasa Rusia dan bahasa tempatan, Udmurt.
Bagaimanapun, di bawah pimpinan Tuktareva, mereka hanya menyanyi dalam bahasa Udmurt, sambil menambah elemen pop seperti lagu Hotel California dan Let it Be.
Pakaian istimewa
Semasa persembahan, kaum wanita memakai beberapa lapisan pakaian iaitu kain tenunan, skaf bersulam, kalung syiling, stokin bercorak serta kasut kulit dikenali sebagai lapti.
Granya Baisarova turut menunjukkan kalungnya yang dibuat daripada syiling-syiling lama termasuk ketika era Tsar.
Dikenali sebagai monisty, kalung itu sering dipakai kaum wanita semasa bercuti atau menghadiri perkahwinan. Ibunya telah memberikan kalung itu kepada ketiga-tiga anak perempuannya. Kalung yang dimiliki Baisarova telah ditambah dengan syiling daripada era Soviet.
FAKTOR usia tidak menghalang anggota kumpulan Buranovskiye Babushki untuk mencipta kemasyhuran.
Penerbit lagu, Ksenia Rubtsova berkata, dia mengesan bakat kumpulan itu semasa mereka mengadakan persembahan di Izhevsk pada tahun 2008.
Dia kemudiannya menjemput kumpulan itu untuk mengadakan konsert sempena majlis hari jadi penyanyi lagu-lagu rakyat popular di Rusia, mendiang Lyudmila Zykina.
Zykina, seorang bintang popular semasa era Soviet, mencadangkan beliau supaya mengikat kontrak bersama Buranovskiye Babushki.
Sejak itu, mereka telah dijemput melakukan beberapa persembahan di Perancis, Finland, Hungary dan Estonia.
Kata Rubtsova, dia merancang agar Buranovskiye Babushki menyertai pertandingan yang lebih berprestij seperti Eurovision.
"Ia merupakan idea saya. Sebaik sahaja berjaya mengumpulkan mereka, saya terus bertanya, 'Apa pendapat kamu?' lalu mereka berkata, 'kami boleh melakukannya!" terangnya.
"Kemungkinan besar kami akan berjaya nanti. Kami berharap mempunyai lebih masa untuk membuat persiapan dengan lebih serius. Kami berharap untuk menang," kata Rubtsova.