Halaman

Selasa, 29 Jun 2010

MEMORANDUM TAMBAH FAEDAH BERSALIN DIBAWA KE KABINET

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Satu memorandum mengenai wanita berkerjaya yang melahirkan anak lebih daripada lima orang akan terus diberikan faedah termasuk cuti bersalin akan dikemukakan pada Kabinet untuk kelulusan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata memorandum itu yang mengandungi cadangan pemberian faedah tersebut akan dikemukakan pada Kabinet dalam masa terdekat.

“Cadangan mengenai cuti bersalin 90 hari dan menyediakan taska untuk penjagaan anak-anak ada terkandung dalam memorandum yang akan diserahkan. Ia nanti akan menjawab semua persoalan yang dikemukakan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) dan Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat) yang mencadangkan supaya wanita terus diberikan keistimewaan daripada segi cuti dan lain-lain faedah walaupun selepas melahirkan anak kelima.

Shahrizat berkata, sebagai pengiktirafan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan wanita, kerajaan sememangnya berusaha untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam industri guna tenaga dengan menyediakan persekitaran tempat kerja yang lebih kondusif.

Katanya, antara inisiatif yang diambil kerajaan ialah mewujudkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak dan pusat jagaan harian berasaskan komuniti kerana isu penjagaan kanak-kanak merupakan salah satu isu dalam menggalakkan lebih ramai wanita menyertai pasaran pekerjaan.

“Kerajaan juga mengiktiraf peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan wanita. Sehubungan itu, dengan mengambil kira keperluan wanita dalam pembangunan negara dan tanggungjawab pada keluarga kerajaan sememangnya berusaha dengan menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif,” katanya.Sementara itu, Shahrizat berkata kerajaan memandang serius kes mengandung luar nikah dan pembuangan bayi di universiti yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, dalam mengatasi masalah itu kementerian sentiasa bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, polis, media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan pusat perlindungan bayi bagi wanita berumur 18 tahun ke atas yang hamil luar nikah.

Shahrizat berkata, sehingga kini lapan NGO menyediakan kemudahan itu dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan kewangan berbentuk geran berjumlah lebih RM1 juta sejak tahun 2004.

“Selain itu kementerian bersama Utusan Malaysia, Astro, Persatuan Karyawan telah melancarkan kempen “Kami Prihatin”, sebagai permulaan dan diharap menjadi pendorong kepada sektor korporat, masyarakat dan ibu bapa dalam meningkatkan kesedaran supaya akhirnya isu pembuangan bayi dapat dibendung,” katanya.

Beliau berkata, antara punca yang dikenal pasti kepada terjadinya gejala pembuangan bayi itu ialah kurangnya masa di kalangan ibu bapa untuk memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak-anak, khususnya mengenai kesihatan reproduktif.

“Ketiadaan pengetahuan ini menyebabkan remaja yang kini terdedah dengan bahan-bahan pornografi dalam Internet terdorong untuk mencuba apa yang dilihat mereka tanpa menyedari kesan yang akan dihadapi,” katanya.

Sehubungan itu, Sharizat berkata kementerian telah memperkenalkan program perintis Pendidikan Kesihatan Reproduktif di lima sekolah di lima negeri sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengatasi gejala tersebut.

“Kita telah mendapatkan kelulusan daripada Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan pendidikan ini sebagai percubaan dan jika berjaya ia akan diperkenalkan di semua sekolah,” katanya.

SKUAD SAYANG WANITA BN JAMBATAN MASYARAKAT– SHARIZAT


KLANG 27 Jun – Pelancaran Skuad Sayang peringkat Parlimen Klang memberi harapan kepada masyarakat sekitar untuk mengadu nasib dan masalah yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan bantuan.

Rata-rata golongan yang daif dan mereka yang ingin mengadu masalah mengucapkan terima kasih atas keprihtinan sayap UMNO dalam memperjuangkan nasib rakyat setempat.Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika merasmikan pelancaran berkenaan berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan untuk membantu mereka yang memerlukan menerusi institusi berkenaan selain agensi kerajaan yang lain.

Katanya, sambutan yang amat menggalakkan khususnya di peringkat akar umbi memberi suntikan semangat untuk mereka melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan penuh dedikasi agar mereka yang daif dan sebagainya mendapat perhatian kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Setiap komander skuad perlu memastikan ahli menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan integrit dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Setiap kes yang diambil perlu ditangani sehingga ia selesai dan mendapatkan pembelaan secara tersusun.

“Pelbagai masalah sosial boleh dibantu oleh skuad ini dan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggerakkan bantuan kepada semua isu yang disampaikan skuad ini“, katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas melancarkan Skuad Sayang peringkat Parlimen Klang di sini, hari ini.Shahrizat yang juga Pengerusi Wanita BN seterusnya menambah, dengan komitmen serta kerjasama daripada sayap-sayap Wanita BN yang lain, Skuad Sayang Wanita BN diharap akan menjadi jambatan kepada penduduk setempat.

“Skuad Sayang dengan 500 ahli dari 89 cawangan wanita UMNO seluruh Klang, saya harap mereka akan menjalankan tugas dan menjadi penghubung penduduk kepada agensi yang sepatutnya,” katanya.

Skuad Sayang yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu berfungsi untuk membantu melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kemasyarakatan seperti memberi perkhidmatan di waktu kecemasan kepada penduduk yang memerlukan.

Jumaat, 25 Jun 2010

WANITA SASARAN JUAL ROKOK

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan 31 Mei setiap tahun bermula 1987 sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, pelbagai kempen dan kesedaran tentang bahaya rokok giat dijalankan. Matlamatnya bagi membendung serta menghentikan tabiat itu.

Selepas 23 tahun sambutan itu dilancar, laporan WHO menunjukkan, jumlah perokok semakin berkurangan tahun demi tahun terutama bilangan perokok lelaki yang selama ini menjadi penyumbang utama kepada keuntungan industri tembakau.

Malah laporan itu juga menunjukkan kempen-kempen berhenti merokok yang dianjurkan pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) membuahkan hasil.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan di kalangan industri tembakau di seluruh dunia kerana penjualan rokok semakin menurun.

Bagi mengelakkan ‘gulung tikar’ akibat kerugian dalam penjualan rokok, syarikat-syarikat tembakau kini mengambil langkah bijak dengan menyasarkan golongan wanita sebagai pengguna baru bagi menggantikan lelak.

Malah WHO memberi amaran bahawa syarikat-syarikat pengeluar rokok kini menjadikan wanita di negara-negara sedang membangun sebagai sasaran kerana menganggap golongan ini sebagai pasaran baru yang sedang berkembang.

Sebagai contoh menurut agensi badan dunia itu, di Bangladesh kira-kira 28 peratus wanita dewasa negara itu kini merokok dan 43 peratus penduduk dewasa atau 41 juta orang mengambil tembakau dalam pelbagai bentuk, iaitu meningkat daripada 37 peratus pada 2004.

Kajian oleh Projek Kawalan Tembakau Antarabangsa mendapati paten yang sama juga berlaku di seluruh rantau ini yang menyaksikan peningkatan penggunaan tembakau di kalangan wanita terutama di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Kemboja dan tidak ketinggalan Malaysia.
Golongan itu dijadikan kumpulan sasaran terbesar kerana industri tembakau sedar wanita hari ini lebih maju, berpelajaran dan mempunyai kedudukan hebat dalam kerjaya.

Wanita mempunyai lebih kuasa untuk berbelanja dan bebas membuat pilihan termasuk dalam soal melakukan kegiatan sosial secara bebas seperti merokok jika tertarik untuk berbuat demikian.

Menyedari naluri wanita yang gemar bergaya, sukakan barangan berbentuk menarik dan warna indah, industri tembakau menyusun strategi memanipulasi kecenderungan dan minat golongan Hawa itu dengan menghasilkan rokok unik yang mampu menarik minat kaum itu.

Jika dilihat di pasaran terutama kedai serbaneka 24 jam, rokok yang menyasarkan pembeli wanita, dijual dalam pelbagai jenama secara terbuka seperti jenis ‘sejuk’ atau digelar ‘rokok mentol’ dan dalam beberapa perisa termasuk strawberi, coklat serta vanila.

Lebih menarik minat kaum hawa apabila industri tembakau mengeluarkan rokok dalam kotak bersaiz comel, cantik dan kecil yang boleh disimpan dalam bekas gincu.

Selain itu, bagi mempromosikan produk rokok yang dihasilkan, syarikat tembakau mengeluarkan kempen iklan melalui risalah dan Internet mengenai kebaikan merokok kepada penampilan.

Mana mungkin wanita tidak tahu kesan tidak baik merokok kepada kesihatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Namun, ekoran keinginan yang tinggi untuk tampil cantik serta menarik, wanita sanggup ‘menutup mata’ menafikan semua keburukan itu dan terus mengamalkan tabiat merokok.

Satu daripada kempen itu, menampilkan gambar wanita merokok dengan gaya sofistikated atau kata orang ‘nampak stailo’ yang membuatkan wanita terikut-ikut untuk merokok.

Pada masa sama, kata-kata yang menyatakan wanita mampu memperoleh bentuk badan menawan dan kekal langsing dengan tabiat merokok satu batang rokok setiap hari secara berterusan dilihat menjadi antara faktor yang mempengaruhi wanita untuk mula merokok walaupun kebenarannya masih diragui.

Faktor lain yang disenaraikan sebagai punca wanita merokok adalah bagi ketenangan jiwa, perasaan ingin mencuba dan mengikut rakan atau orang yang rapat.

Langkah yang diambil industri tembakau ini bukan sahaja dilaporkan mampu memberi pulangan berganda dalam penjualan rokok dan meningkatkan jumlah perokok wanita, tetapi juga menyumbang kepada lebih banyak kematian akibat penyakit berkaitan rokok.

Kaum wanita perlu diberi perhatian dan kesedaran penuh tentang sikap industri tembakau yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Sedarlah perokok wanita, perlu menjauhi tabiat merokok demi kesihatan kerana pendedahan kepada bahan merbahaya itu lebih banyak mendatangkan kesan buruk.

RAHMAT REJAB MOHON KEBERKATAN ALLAH



KUALA LUMPUR 24 Jun – Sempena bulan Rejab, Pergerakan Wanita UMNO menganjurkan sembahyang berjemaah dan solat hajat memohon Allah s.w.t. memberi berkat, rahmat dan restu kepada kepimpinan UMNO di bawah Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu, program tersebut bukan bertujuan untuk kepentingan politik semata-mata tetapi apa yang lebih penting ialah memohon agar mendapat keberkatan atas perjuangan UMNO.

“Kita berdoa supaya Malaysia di bawah pentadbiran Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, direstui dan diberkati Allah s.w.t. Semoga rakyat sentiasa hidup aman, makmur serta terus bersatu padu,” katanya.

Mengambil keberkatan sempena bulan Rejab, majlis yang dinamakan ‘Rahmat Rejab’ ini juga dibuat selaras dengan pelaksanaan RMK-10 khususnya dalam pembangunan modal insan.

“Kita juga memohon agar semua perancangan kerajaan akan berlangsung lancar, berjaya dan mendapat hidayah-Nya termasuklah RMK-10, Pelan Trasnformasi Kerajaan, NKRA dan lain-lain lagi,” kata Shahrizat.

Istimewanya majlis tersebut menampilkan Imam Masjid Nabawi Sheikh Saad Al-Nomani bagi memimpin kira-kira 700 jemaah melakukan solat Maghrib, solat tasbih dan seterusnya solat Isyak.

Dalam majlis yang diadakan di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tersebut, para jemaah mendengar bacaan Al-Quran dari Sheikh Saad yang mempunyai kemahiran mengalunkan 100 taranum dan menjadi guru di Masjid Al-Nabawi.

SKUAD SAYANG DEKATI RAKYAT AKAR UMBI PELBAGAI BANGSA



PENDANG, 24 Jun – Skuad Sayang terus menjadi jambatan penghubung dalam membantu masyarakat termasuklah di peringkat akar umbi dan kawasan pedalaman agar perhatian dan pembelaan dapat diberikan bagi meringankan beban mereka.

Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil berharap program tersebut dapat membantu rakyat yang menghadapi pelbagai masalah di samping mendekatkan hubungan mereka dengan para pemimpin.

“Jika terdapat mana-mana kes kebajikan yang terlepas pandang, memerlukan pembelaan dan perhatian, kita sendiri akan turun padang tanpa perlu bergantung kepada pihak lain sahaja termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 2000 masyarakat pelbagai kaum dalam majlis pelancaran Skuad Sayang Negeri Kedah dan Parlimen Pendang di Kampung Tok Set, Sungai Tiang di sini hari ini.

“Cawangan dan Skuad Sayang akan memaklumkan kepada ketua wanita bahagian berkaitan kes-kes yang perlu diambil berat dan seterusnya kepada ibu pejabat untuk dimaklumkan kepada saya agar bantuan dapat diberikan dengan segera,” katanya lagi.

Sebagai simbol pelancaran tersebut, Shahrizat melepaskan 30 ekor burung merpati hitam yang menjadi simbolik Skuad Sayang dalam membantu meringankan beban dan kesusahan masyarakat.

“Kita tidak menumpukan program ini kepada sesuatu kaum atau kumpulan saja, sebaliknya usaha terus digembleng dengan mendekati setiap golongan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan.”

Dalam majlis ini juga, Shahrizat turut menyampaikan bantuan kepada 170 orang penduduk tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa termasuk empat anggota Skuad Sayang ekoran menghadapi kesulitan dan kepayahan dalam kehidupan.

Sumbangan dari Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada 45 orang penduduk turut disampaikan oleh beliau dengan bantuan berupa barangan keperluan harian dan rumahtangga selain daripada sumbangan kewangan untuk mereka.

Shahrizat turut berkesempatan mengunjungi rumah seorang penduduk tempatan berbangsa Siam yang lumpuh dan tidak dapat menikmati kehidupan dengan sempurna seperti insan lain.
Skuad Sayang yang terdiri daripada kalangan anggota-angota Wanita BN dan UMNO adalah kumpulan bergerak yang melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kemasyarakatan sebagai menepati hasrat Umno mendekati dan memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Selasa, 22 Jun 2010

WANITA SASAR 300,000 AHLI BARU AKHIR 2010


TEMERLOH 21 Jun. – Wanita UMNO menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 300,000 anggota baru untuk UMNO menjelang akhir tahun ini.

Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim berkata sasaran itu adalah berdasarkan gerakan turun padang secara menyeluruh yang sedang dilakukan oleh pergerakan itu di seluruh negara ketika ini.

“Sehingga ini, keahlian UMNO adalah melebihi tiga juta ahli, dan 1.2 juta daripadanya adalah ahli pergerakan Wanita UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan dan Program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Temerloh di sini pada Isnin.

Kamilia berkata gerakan pendaftaran itu diadakan dengan tumpuan utamanya kepada wanita atas pagar.

“Penerangan mengenai ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan dan masalah jenayah turut diadakan semasa pendaftaran itu, sebagai satu usaha tanggungjawab sosial Wanita UMNO,” katanya.

Isnin, 21 Jun 2010

PENGKALAN KEBAJIKAN UNTUK RAKYAT

KLUANG, 19 Jun – Rakyat yang memerlukan perhatian dan pembelaan akan menerima banyak manfaat daripada keberkesanan jentera Skuad Sayang bersama Wanita Cawangan yang menjadi Pengkalan Kebajikan Masyarkat di seluruh negara.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata lebih kurang 19,000 Ketua Wanita Cawangan akan bergerak bersama-sama Komandan Skuad Sayang untuk membela nasib rakyat pada peringkat akar umbi.

Beliau berkata, jika terdapat mana-mana kes yang memerlukan pembelaan dan perhatian, kes-kes tersebut boleh dirujuk kepada Pengkalan Kebajikan.

“Pengkalan Kebajikan Masyarakat membolehkan tindakan lanjut dilaksanakan oleh pihak saya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sembrong, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden yang juga Ketua Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isterinya Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah.

SKUAD SAYANG TANGKIS FITNAH


Kuala Lumpur, 20 Jun – Skuad Sayang Wanita Barisan Nasional (BN) berupaya menjadi agen penerangan dan penyampai maklumat yang berkesan dalam usaha menagkis dakyah dan fitnah yang disebarkan oleh parti pembangkang di akar umbi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ketika melontarkan cadangan berkenaan berkata, usaha itu perlu dilakukan bersama program kebajikan yang dilaksanakan oleh skuad berkenaan ketika menyampaikan bantuan di kalangan masyarakat.

Menurut beliau, pelbagai cerita dan dakyah yang dilontarkan oleh pembangkang terhadap kerajaan dan kepimpinan negara perlu diperjelaskan dengan maklumat yang tepat supaya masyarakat di akar umbi tidak terkeliru dan terpengaruh dengan dakyah sedemikian rupa.

“Saya cadangkan perkara ini kerana melihat Skuad Sayang Wanita begitu agresif melaksanakan tanggungjawab dengan turun ke akar umbi dalam program-program kebajikan. Justeru apa salahnya, di samping menghulurkan bantuan tersebut, pada masa yang sama kita berkongsi penerangan dengan masyarakat setempat.

“Penerangan secara bersemuka berhubung isu-isu semasa dan penerangan lain diyakini akan memberi impak yang cukup bermakna kepada parti dalam usaha kita memastikan BN terus dekat dengan hati rakyat. Kalau Skuad Sayang Wanita BN Selangor ingin membincangkan soal ini, saya bersedia pada bila-bila masa untuk berkongsi pandangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Skuad dan Stor Sayang Wanita BN Selangor, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Wanita BN merangkap Pesuruhjaya Skuad Sayang Selangor, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

Rosmah seterusnya menambah, kelainan yang diwujudkan oleh Skuad Sayang Wanita BN Selangor diyakini mampu menzahirkan impak yang berkesan serta bermakna dalam usaha menabur bakti dan berkhidmat kepada seluruh masyarakat di negeri terbabit.

Katanya, tindakan tersebut adalah sejajar dengan aspirasi Gagasan 1Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang ingin melihat keakraban dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini tetap utuh walau pun terdapat perbezaan di dalam kepelbagaian.

“Sungguhpun dibatasi dengan tugas-tugas seharian sebagai seorang isteri dan tanggungjawab lain, puan-puan masih sanggup untuk menggalas tanggungjawab serta amanah yang besar dalam memainkan peranan yang cukup penting bagi menjayakan Skaud Sayang ini.

“Saya yakin, dengan pelbagai aktiviti sukarela kemasyrakatan melalui penyertaan aktif Wanita BN di Selangor, ianya akan dapat memastikan bukan sahaja perhatian dan pembelaan setiap lapisan masyarakat dalam bidang kebajikan, ekonomi dan pendidikan akan lebih terjamin, bahkan perjuangan BN akan sentiasa mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.

Beliau seterusnya melihat penubuhan Skuad Sayang yang dikelolakan oleh Wanita BN adalah bagi menyahut saranan dan tuntutan Datuk Seri Najib yang ingin melihat institusi tersebut menjadi ajen pengubah ampuh yang mampu melaksanakan agenda transformasi dalam usaha menambah baik sesebuah masyarakat.

“Justeru saya berharap medium Skuad Sayang ini dapat digunakan sebaik mungkin terutama sekali dalam suasana lanskap politik yang kian mencabar ini dengan menjadikannya sebagai satu wadah perjuangan suci, cakna pemikiran kontemporari UMNO dan BN iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Ianya amat penting agar parti keramat ini sentiasa kelihatan segar dan relevan serta bersifat ‘centrist’ iaitu satu idea atau amalan yang mempromosi dasar yang sederhana di tengah-tengah politik yang ekstrem,” katanya.

TABUNG BANTU IBU TUNGGAL

Temerloh 19 Jun - Wanita UMNO menyediakan tabung bagi membantu ibu-ibu tunggal menyara kehidupan harian dan pendidikan anak-anak mereka yang masih belum mendapatkan nafkah daripada bekas suami masing-masing.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamalia Ibrahim berkata, bantuan yang diberikan menerusi tabung itu sementara menunggu Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah terhadap bekas suami memberikan nafkah bulanan kepada anak-anak mereka.
Katanya, dengan adanya peruntukan daripada tabung itu ia dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ibu-ibu tunggal selepas diceraikan oleh suami mereka.
"Setakat ini, kita sudah membantu lebih 300 ibu tunggal di seluruh negara yang telah mendapatkan manfaat daripada tabung tersebut.
"Saya berharap ibu-ibu tunggal dan para isteri yang dalam proses menunggu perintah Mahkamah Syariah terhadap tuntutan nafkah anak-anak boleh menghubungi Wanita UMNO peringkat Cawangan dan Bahagian yang terdapat di seluruh negara untuk mendapatkan bantuan berkenaan," kata Kamilia.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan dan Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Temerloh, dekat Mentakab di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Sokongan Keluarga Mahkamah Syariah Malaysia memberitahu, terdapat ramai ibu tunggal yang perlu dibantu kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk mengadu.
Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin Wanita UMNO Cawangan dan Bahagian bertindak proaktif bagi membantu pihaknya mengesan ibu-ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan bagi menyara hidup dan meneruskan pendidikan anak-anak mereka.
Selain itu, pihaknya juga turut membantu ibu tunggal bukan Islam dengan merujukkan kes mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam perkembangan berkaitan, Kamilia memberitahu, terdapat lebih 70 peratus isteri yang diceraikan atau ditinggalkan suami mereka tidak mempunyai tempat tinggal.

Ahad, 20 Jun 2010

MESYUARAT AGUNG PERGERAKAN WANITA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU 2010








 


WANITA TELAH SUSUN JADUAL HADAPI PILIHANRAYA BILA-BILA MASA

TEMERLOH 20 Jun. – Pergerakan Wanita Umno telah menyusun jadual kegiatan jentera pilihan rayanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 jika ia diadakan lebih awal, kata Naib Ketuanya Datuk Kamilia Ibrahim.

Beliau berkata, pergerakan itu telah menyusun jadual kegiatan jentera pilihan raya yang padat termasuk penerangan, pendaftaran anggota dan kempen untuk tujuan tersebut.

“Wanita Umno tidak pernah berhenti mengadakan aktiviti membantu ahli dan rakyat malah usaha turun padang itu akan digandakan lagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, pergerakan itu memberikan tumpuan dalam empat bidang utama dalam usaha membantu golongan wanita iaitu meningkatkan ekonomi mereka, perumahan, pendidikan dan kesihatan.

“Kita akan mempastikan golongan wanita mendapat lebih banyak peluang dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE), selain mempastikan wanita terutamanya ibu tunggal dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.

Katanya, kira-kira 70 peratus wanita yang bercerai tidak memiliki rumah dan menumpang atau menyewa di tempat lain yang mendatangkan pelbagai masalah kepada mereka.

Selasa, 15 Jun 2010

TRADISI BELA RAKYAT TERUS JADI AMALAN

BAGAN DATOH 14 Jun – Seluruh ahli Pergerakan Wanita UMNO akan meneruskan amalan sentias peka dan menjadi peneraju kepada setiap program membela rakyat, kata Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, perhatian mereka juga tidak seharusnya tertumpu kepada ahli-ahli parti sahaja tetapi perlu dikembangkan kepada seluruh rakyat tanpa mengira ideologi politik dan latar belakang.

“Jalinan rakyat ini mesti diperhebatkan. Kita tidak mahu program yang dianjurkan hanya tertumpu kepada ahli-ahli parti kita sebaliknya dikembangkan kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Skuad Sayang Wanita UMNO Parlimen Bagan Datoh di sini kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu Skuad Sayang digerakkan di setiap pelosok negara dengan lebih giat. Beliau juga berharap, aktiviti-aktiviti yang dijayakan dapat merapatkan lagi hubungan antara Wanita UMNO dan masyarakat.