Halaman

Isnin, 30 Mei 2011

PEROKOK WANITA MENINGKAT

PUTRAJAYA: Jumlah perokok wanita di negara ini semakin meningkat kepada tahap yang membimbangkan, terutama di kalangan remaja perempuan berusia antara 13 tahun hingga 15 tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Tinjauan Tembakau Belia Global (Global Youth Tabacco Survey), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2009 menunjukkan peningkatan peratusan perokok remaja perempuan iaitu 12.4 peratus berbanding 11.5 peratus dalam kajian pada 2003.

Katanya, jumlah perokok wanita secara keseluruhan juga menunjukkan peningkatan iaitu 5.3 peratus dalam kajian 2009 berbanding 4.2 peratus pada 2003.

“Ini berbeza dengan peratusan perokok remaja lelaki yang menunjukkan penurunan iaitu 46.7 peratus dalam kajian 2009 berbanding 54.5 peratus pada 2003 manakala peratusan perokok lelaki secara keseluruhannya juga susut daripada 36.3 peratus pada 2003 kepada 30.9 peratus tahun 2009.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, jumlah perokok di kalangan remaja adalah berkurangan iaitu 30 peratus pada 2009 berbanding 33.1 peratus pada 2003,” katanya.

MUHASABAH DIRI, CARI FORMULA KUATKAN PARTI

KUALA LANGAT: Ahli UMNO yang mula berkira-kira untuk menjadi calon pada pemilihan perwakilan peringkat bahagian pada masa akan datang diingatkan untuk melupakan seketika hasrat itu, sebaliknya perlu bermuhasabah mengkaji kelemahan diri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata apa yang lebih penting ketika ini ialah mencipta formula untuk mengembalikan kekuatan parti dan menawan semula negeri yang dimenangi pakatan pembangkang.
“UMNO lemah kerana kita tidak sepakat dan berpecah dengan ada kumpulan yang menyokong orang itu dan sebelah sini pula kumpulan penyokong pemimpin lain.

“Ada juga ahli UMNO yang merajuk dan ini tidak seharusnya berlaku jika kita betul-betul sayangkan parti. Kalau hendak ikutkan hati merajuk, ia hanya akan merugikan dan melemahkan parti,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Langat di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, berkata UMNO Selangor perlu bangkit kembali dan menjadikan semangat ‘Gelombang Biru’ di Terengganu yang berjaya merampas kembali negeri berkenaan dari PAS sebagai contoh perjuangan.

“Pembangkang terutama PAS di Terengganu tidak kuat sebagai mana anggapan pihak tertentu sebaliknya kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum 1999 berpunca daripada sikap ahli UMNO sendiri yang berpecah.

“Keadaan sama berlaku di Selangor ketika ini kerana jika lihat kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid (Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) lemah dan penuh dengan kepincangan,” katanya.
Beliau berkata, UMNO berharap parti komponen Barisan Nasional (BN) akan turut sama bekerja keras dan menggerakkan jentera parti bagi merampas kembali Selangor.

“Semua komponen BN perlu rajin turun padang dan jangan hanya UMNO saja yang bersungguh-sungguh buat kerja untuk menang,” katanya.

PENCERAIAN SELESAI BANYAK MASALAH WANITA

KOTA BHARU: Umat Islam tidak harus melihat kadar perceraian yang tinggi di negara ini satu perkara negatif kerana perpisahan suami isteri mengikut lunas undang-undang itu, sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah dihadapi wanita.

“Saya melihat perkara ini (perceraian) daripada aspek positif iaitu masyarakat Islam kini sudah sedar dan celik undang-undang, boleh menyelesaikannya mengikut lunas yang dibenarkan Islam,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Katanya, perceraian pasangan Islam setiap 15 minit di negara ini menggambarkan satu kesedaran bahawa banyak kes yang tidak menemui jalan penyelesaian sebelum ini, sudah diselesaikan melalui lunas undang-undang.

“Kita jangan lihat perceraian itu satu perkara yang teruk sangat kerana ia perkara yang halal, malah perceraian itu sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi kaum wanita,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Halal Kelantan 2011, di Kompleks Islam Darulnaim, di sini, semalam, yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Mac lalu ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, dengan menyebut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009, menunjukkan purata pasangan Islam yang bercerai mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan bercerai setiap 15 minit.

Berdasarkan rekod JAKIM pada 2009, menunjukkan perceraian terus meningkat setiap tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya golongan muda.

Ditanya sama ada berlakunya perceraian seperti itu disebabkan kekurangan hakim, Mashitah menafikannya dan menegaskan banyak kes sudah diselesaikan.
“Memang tidak dinafikan, setakat ini kita memang memerlukan banyak lagi hakim bagi menyelesaikan kes, namun banyak kes dapat diselesaikan dengan mengadakan perbicaraan pada waktu malam atau hari cuti selain ditambah dengan hakim perempuan,” katanya.

Beliau berkata, berlakunya kes perceraian membabitkan pasangan Islam disebabkan suami dan isteri masing-masing tidak memahami tanggungjawab serta ilmu berumahtangga.

“Dalam kajian yang kita lakukan, perceraian berlaku bukan disebabkan ketidakseragaman undang-undang syariah, namun ia membabitkan pasangan berkenaan iaitu tidak memahami tanggungjawab selain kurang ilmu rumah tangga,” katanya.

Ahad, 29 Mei 2011

PROGRAM KRAF KREATIF


Add Image



WANITA BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA UMUM – SHARIZAT

SEMPORNA 28 Mei – Jentera Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa kerana persediaan itu sudah lama dilakukan.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, persediaan itu bukan sahaja sahaja di peringkat pusat, malah turun membabitkan ahli Wanita UMNO dan BN di semua peringkat sama ada di bahagian mahu pun cawangan.

“Persediaan itu sudah lama dilakukan, ini dibuktikan melalui pembabitan Wanita UMNO dan parti komponen yang lain ketika menghadapi pilihan raya kecil yang banyak diadakan sebelum ini termasuk pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.

“Kami sentiasa turun padang untuk bertemu dengan rakyat melalui program Jalinan Rakyat. Pada program itu kami memberi penerangan serta penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa termasuk fitnah serta dakyah yang dibuat oleh pembangkang,” katanya selepas melancarkan Karnival Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang Parlimen Semporna.

Menurutnya, walaupun ramai pihak mengatakan pilihan raya umum ke 13 sebagai satu pilihan raya yang mencabar kepada BN, namun beliau yakin bahawa rakyat akan tetap terus menyokong BN kerana banyak pembangunan dan perubahan sudah dilaksanakan demi untuk kebaikan rakyat.

“Sokongan rakyat terhadap BN sudah kembali, tranformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri rakyat kini sudah menunjukkan hasilnya, ini dapat dilihat melalui sambutan orang ramai setiap kali Perdana Menteri turun padang,” katannya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, rakyat negara ini seharusnya berterima kasih dengan kerajaan BN yang sentiasa prihatin dengan nasib rakyat terutama ketika menghadapi isu kenaikan harga barangan.

“Pemberian subsidi berterusan untuk barangan keperluan adalah bukti bahawa kerajaan BN sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dan sentiasa berusaha untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Isnin, 23 Mei 2011

PERTAHAN UMNO DENGAN TANGANI SERANGAN PSIKOLOGI PEMBANGKANG


SHAH ALAM, 22 Mei – UMNO boleh hancur sekiranya tidak dapat membendung serangan psikologi yang dilakukan oleh pembangkang, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi.


Beliau berkata pendekatan pembangkang itu boleh mempengaruhi minda anak-anak muda yang tidak memahami sepenuhnya sejarah negara ini dan terlalu memikirkan kebendaan serta kebebasan.

“Pemikiran mereka diganggu dengan pembangkang mewujudkan pelbagai persepsi yang negatif, contohnya konsep 1Malaysia, ia positif tetapi diberi persepsi negatif yang akanmenyebabkan sesetengah pihak yang tidak faham akan terpengaruh.


“Dia (pembangkang) nak orang marah dengan UMNO seterusnya melemahkan kuasa orang Melayu,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata walaupun UMNO pernah diharamkan pada 1988 atas sebab teknikal tetapi ia tidak menghancurkan parti itu disebabkan lima perkara iaitu asas, semangat, cita-cita, perjuangan serta kesetiaan anggota UMNO yang tetap kuat dan kental.


Bagaimanapun beliau berkata serangan psikologi boleh menghancurkan lima perkara tersebut dan atas sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini melakukan transformasi politik agar semua anggota UMNO berpegang kuat kepada lima perkara itu.


Ditanya strategi UMNO untuk membendung serangan psikologi tersebut, Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata UMNO akan menumpukan kepada DAP yang menjadi dalang dalam permasalahan itu dan mendedahkan matlamat buruk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam perjuangan mereka.


“Seterusnya UMNO juga mesti memberikan kekuatan dalaman kepada ahli-ahlinya dari segi program dan latihan. Kita juga perlu mengatasi kelemahan UMNO dari segi media terutama media baru seperti blog, Facebook dan Twitter yang perlu diperkuatkan kerana kekuatan pembangkang dia guna media baru untuk menyerang,” katanya.

Jumaat, 20 Mei 2011

TRAGEDI KORBAN IBU

Kasih Rafidah ke hujung nyawa


ALLAHYARHAM Rafidah Ismail, 36, seorang ibu biasa yang terkorban ketika mengharungi dugaan luar biasa. Namun, apa yang berlaku kepadanya bagai manifestasi betapa agung dan agamnya kasih bonda yang bergadai nyawa demi anak-anak tercinta.


Sebagai ibu, dia bukan sahaja telah mengharungi sengsara sembilan bulan melahirkan zuriat, bahkan dia bergelut dengan api demi mendahulukan kasih sayangnya buat tiga cahaya matanya.

Pada pukul 1.30 petang, Jumaat dua minggu lalu, ketika khutbah berkumandang di mimbar-mimbar masjid, Rafidah dan tiga anaknya, Rashidah Illyana Zamri, 7, Zaim Shahrul Zamri, 6 dan Zaim Iqbal Zamri, 2 melalui detik cemas apabila rumah jenis teres yang didiami mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan terbakar. Punca api dilaporkan bermula dari arah dapur.
Menurut akhbar, Rafidah tidak dapat menemui kunci pintu jeriji besi depan rumahnya mungkin dek kerana panik. Ia menyebabkan empat beranak itu yang berada di ruang tamu terperangkap dalam api yang makin marak.

Api menyambar tubuh

Lantas, Rafidah yang merupakan jururawat di Hospital Kuala Krai kemudian nekad memecahkan cermin tingkap. Dia kemudian memerah sekuat kudrat dengan membengkokkan palang besi tingkap untuk menyelamatkan anak-anaknya terlebih dahulu dengan mengeluarkan mereka menerusi tingkap. Mungkin itu hasratnya kerana jika diukur daripada saiz tubuh Rafidah yang agak besar dengan berat 85 kilogram tidak memungkinkan dia keluar daripada ruang tingkap yang kecil itu.

Bunyi kaca yang pecah telah mengundang tanya di hati jiran sebelah rumahnya, Hasnah Mahmood, 34, seorang wanita yang sedang sarat mengandung lalu bergegas ke rumah Rafidah dan terkejut apabila Rafidah memberitahu rumahnya terbakar.

Hasnah membantu Rafidah menyambut keluar anak-anaknya dari tingkap bermula dengan yang bongsu, anak kedua dan anak sulungnya.

Kala Rafidah mengeluarkan anak sulungnya, Rashidah Illyana, Hasnah sudah pun menyaksikan api menyambar belakang dan kepala Rafidah. Kisah tragis itu berakhir dengan Rafidah membawa naluri kasihnya sehingga ke liang lahad apabila ditemui rentung berdekatan pintu rumahnya oleh bomba setelah kebakaran berjaya dipadamkan.

Suaminya, Zamri Hamat, 38, yang merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah pada masa kejadian kerana bertugas dalam operasi hutan di Grik, Perak. Sebaik sahaja menerima berita itu pada kira-kira pukul 2 petang hari kejadian, dia bergegas pulang dan tiba di Kuala Krai pada pukul 6 petang.

Zamri ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini, nampak tenang namun apa yang tersimpan dalam gejolak rasa lelaki cekal itu tiada siapa yang tahu. Bayangkan, hati suami mana yang tidak luluh apabila kepulangannya ‘disambut’ dengan jasad isteri yang sudah rentung tidak bernyawa.

“Arwah rentung sepenuhnya sehingga identitinya sukar dikenali. Saya tidak sangka ini terjadi kerana ketika saya menghubunginya malam sebelum itu tidak ada apa-apa yang membimbangkan melainkan arwah memberitahu anak yang bongsu demam. Tapi, ini semua ketentuan Ilahi yang tidak mampu dilawan. Sudah ditakdirkan Tuhan arwah dijemput ajal apabila tiba masanya, tidak lebih atau kurang sesaat pun. Saya reda,” ujarnya yang berkahwin dengan Rafidah pada tahun 2004.

Zamri berkata, Rafidah seorang ibu yang tegas, namun amat penyayang. Dia juga seorang yang amat mementingkan keselamatan anak-anak dan suka membantu orang lain.

Baru tiga minggu lalu, Rafidah membelikan banyak kain ela untuk dihadiahkan kepada ibu dan pengasuh anaknya selain untuk mereka sekeluarga bagi dibuat baju raya sempena Aidilfitri Ogos nanti.


“Anak-anak saya pun tidak banyak bercakap tentang hal itu mungkin mereka masih terkejut.


Apabila saya tanya anak sulung, Rashidah cuma kata nampak api,” katanya.

Jeritan sayu Rafidah

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam pertemuan itu, anak bongsu, Zaim Iqbal banyak menangis dan cuba ditenangkan Zamri. Anak kecil itu seolah-olah dapat merasakan ibu yang selalu didampinginya tiada lagi di sisi. Rashidah dan Zaim Shahrul seperti kanak-kanak biasa yang mungkin masih mentah yang adakalanya berlari ke sana sini. Namun, bila disua untuk bercerita tentang tragedi yang membuatkan mereka kehilangan ibu sekelip mata itu, mereka enggan bersuara.

Bapa Rafidah, Ismail Hussin, 63, yang uzur dan adik Rafidah, Roziah Ismail yang berusia 20-an juga menerima trauma yang tidak kurang hebatnya. Mereka yang tinggal di taman perumahan yang sama sempat tiba di depan pintu rumah Rafidah, namun tidak berjaya menyelamatkannya.

Jeritan sayu Rafidah yang merupakan anak sulung: “Abah tolong Along!” dan “Ji, tolong Along Ji!” sehingga teriakan itu lenyap mungkin suatu yang sukar diasing daripada ingatan.

Ismail yang menghidap lelah hanya mampu termengah di depan pintu rumah dan terduduk selepas berlari ke situ, manakala Roziah mencuba pelbagai perkara untuk menyelamatkan kakaknya seperti mengetuk pintu jeriji besi dengan batu dan menghubungi pihak bomba.

Jika Ismail dan Roziah sempat tiba ke rumah Rafidah, ibunya, Romlah Mamat, 56, pula jatuh terguling di tengah jalan ketika berlari untuk ke rumah Rafidah sebaik sahaja dimaklumkan jiran berlaku kebakaran itu.

Bergelar jururawat, sifat membantu sebati dalam diri anak sulung enam beradik itu. Menurut Romlah, Rafidah seorang yang gemar menghulurkan bantuan kepada orang lain dan sebagai kakak dan anak yang sulung, dia sanggup berkorban.

“Sebelum ini dia berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu namun, meminta untuk berpindah ke Hospital Kuala Krai kerana mahu menjaga saya dan suami memandangkan rata-rata adiknya terpaksa tinggal di luar negeri ini atas tuntutan kerjaya dan keluarga.

“Ramai rakannya datang ziarah tadi dan ada yang memberitahu mak cik, Rafidah orang yang paling ceria di hospital. Lepas ini pasti mereka sunyi,” katanya.

Romlah juga tidak dapat membendung tangis, tatkala mengenangkan keanehan apabila anaknya itu menghadiahkannya kain ela untuk dibuat baju raya lebih awal daripada biasa pada tahun ini.
“Selalunya dalam dua bulan nak raya, tapi kali ini lebih awal. Dia sudahpun beri kain ela itu pada mak cik. Dia juga belikan kain ela untuk pengasuh anaknya yang juga adik mak cik,” katanya.

Seorang ibu saudara Rafidah, Raihaniah Yaakob, 62, menyifatkan ketiadaan Rafidah sebagai kehilangan yang besar bagi dirinya.

“Dialah yang banyak membantu apabila mak cik ke hospital dan menghubungi mak cik bertanya khabar kesihatan. Mak cik ni ada macam-macam penyakit, darah tinggi, kencing manis. Dia memang suka menolong siapa-siapa pun terutamanya orang tua. Dia juga merancang untuk membantu ayah mak cik yang sakit tua menjalani proses pembedahan di bahagian perut Julai ini,” katanya sebak.

Jirannya, Hasnah berkata, menyaksikan api yang sudah menyambar di kepala dan belakang Rafidah merupakan visual yang menerbitkan perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya kala melihatnya dan melalui detik genting itu. Saya cuba menenangkan Rafidah untuk mencari kunci dan minta dia bertakbir. Namun, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimanakah kalau perkara sebegitu berlaku kepada saya,” katanya yang menyifatkan Rafidah seorang jiran yang peramah.

Hasnah bagaimanapun tidak tahu bagaimana Rafidah membengkokkan palang besi tingkap itu. Menurut keluarga, ia dipercayai dilakukan dengan tangan Rafidah sendiri. Barangkali ada kekuatan yang diberikan Tuhan saat itu seiring kekuatan nalurinya untuk menyelamatkan anak-anaknya.

Takdir Tuhan juga, di saat semua barangan dalam rumah binasa, dua naskhah al-Quran dan lima helai kain ela yang diletak bersebelahan dengan kitab-kitab suci itu tidak dijilat api seperti yang dilaporkan Kosmo! baru-baru ini.

Walau apapun hikmahnya yang hanya diketahui Tuhan, namun, sekurang-kurangnya kain ela itulah kenangan dan penyambung kasih sayang Rafidah buat anak-anaknya walaupun dia sudah bersemadi di pusara.

Selasa, 17 Mei 2011

UMNO PERLU PEMIKIRAN POLITIK PROGRESIF

Dalam menyambut ulang tahunnya yang ke-65, tentulah fokus UMNO ialah menghadapi PRU13. Dalam konteks ini, tentulah jenteranya perlu dipersiapkan dengan selengkap-lengkapnya dan semantap-mantapnya. Namun demikian, pengalaman politik mutakhir memberi kita iktibar, bahawa di samping persiapan bentuk konvensional, kita juga perlu melakukan persiapan bentuk kontemporarial.

Di tengah-tengah realiti politik kontemporari yang serba memungkinkan ini, antara lain, UMNO perlu melihat dengan serius faktor yang melibatkan sesetengah rakyat, terutamanya golongan berpendidikan, intelektual dan orang muda yang menolak UMNO kerana melihatnya sebagai parti yang ketinggalan dari segi pemikiran politiknya.

Memang UMNO bukan parti yang punya ideologi. Dan saya tidak menyarankan agar UMNO dengan tiba-tiba sahaja menggubal satu ideologi. Tetapi, ini tidak bermakna sampai UMNO tidak mempunyai pemikiran politik tentang demokrasi, konsep penghakupayaan, maksud partisipasi, cara-cara menjadi kerajaan, kesaksamaan gender, pembangunan lestari dan sebagainya.

Kita perlu menerima hakikat bahawa lanskap politik telah berubah. Perubahan ini berlaku bukan kerana PRU12 atau semasa PRU12. Sebenarnya, perubahan ini telah berlaku sejak terbitnya milenium baru ini. Faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan ini banyak. Antaranya ialah globalisasi, liberalisasi, k-ekonomi, kemajuan ICT, kemunculan generasi Y, pengembangan idea tentang alam sekitar dan lain-lain lagi.

Ini menyebabkan peranan dan fungsi negara-bangsa dan kerajaan telah berubah. Ini juga menyebabkan corak, cara dan citra politik dan demokrasi turut berubah. Kerana itu, beberapa bentuk pemikiran politik yang baru telah mula muncul.

Antara pemikir politik kontemporari yang penting ialah pensyarah London School of Economics, Anthony Giddens, yang terkenal dengan bukunya, The Third Way (1998) dan The Third Way and its Critics (2000). Pemikirannya telah mempengaruhi banyak perdebatan tentang amalan demokrasi hari ini.

Giddens dianggap guru politik kepada Perdana Menteri Tony Blair dan mempunyai impak besar terhadap kelahiran “New Labour” di UK. Apa yang kurang diketahui ialah bahawa Giddens juga mempengaruhi pemikiran Presiden Bill Clinton, iaitu tokoh “New Democrat” yang paling terkenal dari US. Di samping itu, Giddens turut diminati pemimpin-pemimpin seperti Gerhard Schroder, Wim Kok dan Massimo D’Alema.

Dalam kata sambutan terhadap buku Giddens (2000), Presiden Brazil, Fernando Henrique Cardoso menyatakan bahawa debat The Third Way telah sampai ke peringkat dunia dari segi penyatuan idea-idea dan kepelbagaian dasar-dasar. Presiden Suruhanjaya Eropah, Romano Prodi pula menyatakan bahawa Giddens telah menyediakan petunjuk penting dalam mencapai pemikiran baru tentang demokrasi dan pembangunan ekonomi yang diperlukan oleh Kesatuan Eropah.

Saya tidak menganjurkan agar UMNO menggunakan pemikiran Giddens. Tetapi, UMNO perlu cakna akan pemikiran-pemikiran politik kontemporari yang berpengaruh, tidak kiralah oleh Giddens atau oleh pemikir yang lain.


Saya mencuba dengan mengetengahkan gagasan Politik Baru. Di samping dua komponennya, iaitu integriti politik dan kerangka governans baru, Politik Baru juga meliputi dua elemen lain, iaitu inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif.


Pada saya, apa yang penting ialah UMNO perlu membina, mengembang dan menyebarkan pemikiran politiknya yang tersendiri tentang apa-apa yang berlaku dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Kita perlu memberikan tafsiran kita tentang mengapa sesuatu itu terjadi. Kita perlu memberikan kupasan tentang mengapa sesuatu tindakan dan keputusan kita lakukan sama ada sebagai parti atau sebagai kerajaan.

Kenyataan biasa, misalnya, “ini adalah bukti kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat” tidak lagi menarik imaginasi sebahagian daripada rakyat. Penerangan biasa, misalnya, “keadaan di negara kita adalah lebih baik daripada negara lain” tidak lagi menarik aspirasi sebahagian daripada rakyat. Malahan, ayat-ayat yang biasa, misalnya “rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan” kini telah diketawakan oleh sebahagian rakyat.


Prinsip perjuangan UMNO, iaitu, berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah suci dan perlu diteruskan. Tetapi, dalam suasana lanskap politik yang telah berubah ini, ia perlu disampaikan, diterangkan dan dipopularkan dengan pendekatan yang sesuai dengan suasana yang baru ini. Prinsip perjuangan ini perlu didefinisikan-semula dan diposisikan-semula agar UMNO sentiasa kelihatan segar dan mekar di tengah-tengah lanskap politik yang baru dan sentiasa berubah ini.

Apa yang saya maksudkan dengan pemikiran politik progresif ialah, contohnya, UMNO perlu memberi pengisian terhadap gagasan 1Malaysia sebagai mencerna idea masyarakat baik (good society). Masyarakat baik perlu punya terasnya. Antara terasnya ialah budaya ilmu, pembinaan tamadun, partisipasi demokratik, perkongsian ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar. Pemikiran ini perlu dilakukan untuk pembangunan di pelbagai peringkat, iaitu kebangsaan, negeri dan tempatan.


Satu contoh pemikiran politik progresif yang praktikal ialah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ini berlaku di peringkat kebangsaan. Di peringkat tempatan, sebagai Ahli parlimen Temerloh, saya menggerakkan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA).


Dalam konteks Model Baru Ekonomi, antara lain, UMNO perlu mencadangkan kepada kerajaan apakah langkah afirmatif baru yang perlu dilaksanakan untuk membantu 40 peratus daripada rakyat yang terendah pendapatannya. Dalam konteks ini, keusahawanan sosial adalah pendekatan yang sesuai.

Satu daripada kelemahan utama kerajaan hari ini ialah di peringkat kerajaan tempatan. Justeru, masanya telah tiba untuk UMNO mempelopori pemikiran politik progresif dari segi “pembangunan komuniti tempatan” (local community development). Ia adalah dasar dan program pembangunan yang dihasilkan sendiri oleh komuniti tempatan. Matlamatnya ialah dengan menghakupayakan komuniti tempatan untuk merancang, melaksana dan menilai pembangunan yang penting dan sesuai untuk kepentingannya, yang bersesuaian dengan dasar dan program pembangunan negeri dan kebangsaan.

Pembangunan komuniti tempatan dapat dilaksanakan dengan penghayatan “ciri-ciri komuniti mikro”: keprihatinan, kesukarelaan, ikatan kepercayaan (trust), perkongsian nilai-nilai, tanggungjawab bersama dan kerjasama ikhlas.

Kini, pengharapan rakyat semakin kompleks. Inisiatif Putrajaya sahaja tidak memadai. Perlu ada inisiatif UMNO yang lahir daripada Ibu Pejabat UMNO. Justeru, UMNO perlu mempunyai pemikiran politik progresifnya untuk diperlihatkan melalui manifestonya dalam PRU13.

Isnin, 16 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU-16 MEI 2011




Ahad, 15 Mei 2011

KEJOHANAN BOWLING TERBUKA WANITA 2011~Anjuran Perg. Wanita UMNO Sektor F&E

Ucapan Perasmian oleh Ketua Wanita Bahagian Wangsa Maju

Balingan Pertama dirasmikan oleh Ketua Wanita Bahagian Wangsa Maju

Gambar Kenangan AJK Wanita Bahagian Wangsa Maju bersama
Wanita Cawangan Sektor F&E

Dari Kiri : Pengerusi Program (AJK Wanita Cawangan), AJK Wanita Bahagian dan
Ketua Wanita Cawangan Sektor F&E

Bergambar dulu sebelum memulakan perjuangan

Sabtu, 14 Mei 2011

PENUBUHAN UMNO

DAFTAR RASMI PENUBUHAN UMNO DI JOHOR~Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Pada awal abad ke-20, orang Melayu tiba-tiba berhadapan dengan fahaman baru yang dibawa oleh golongan terpelajar dalam bidang agama dari Timur Tengah. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Golongan ini telah menyebarkan idea hidup beragama ala moden dan bebas daripada cengkaman penjajah asing. Fahaman Kaum Muda yang agresif ini telah ditolak oleh para ulamak konservatif dan para cendekiawan Melayu secara baik tetapi mereka tetap menghalusi mesej yang dibawa oleh Kaum Muda dan menyerapkannya dalam urusan harian dengan toleransi yang tinggi untuk mengelak kejutan budaya yang boleh menggugat keamanan.

Akibat daripada penolakan itu, Kaum Muda dan para penyokongnya meneruskan agenda mereka melalui penulisan dalam penerbitan akhbar dan majalah. Penerbitan akhbar dan majalah Melayu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Akhbar dan majalah baru terbit seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Melalui media itu, orang Melayu mula mendapat kefahaman dan kesedaran secara menyeluruh. Mereka bersemangat untuk menyumbangkan buah fikiran dan tenaga untuk kebaikan bangsa Melayu.

Apabila Inggeris gagal mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan Jepun, satu bangsa Asia yang diperlekehkan pada tahun 1941, orang Melayu mula membuka mata. Mereka berasa yakin bahawa orang Melayu juga boleh menjadi gagah seperti Jepun lebih-lebih lagi keadaan fizikal orang Jepun lebih kecil daripada orang Melayu sendiri. Pada waktu yang sama, tentera Jepun turut membakar semangat orang Melayu agar berfikiran merdeka melalui slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’. Paradigma minda ini telah berlaku secara menyeluruh dan besar-besaran.

Orang Melayu berasa perlu bertindak untuk kepentingan negara dan bangsa sendiri. Namun, pada kenyataannya mereka masih banyak ketinggalan terutamanya dalam bidang pelajaran dan ekonomi. Mereka berjaya bersatu dan mempunyai kesedaran dan kefahaman yang sama dalam fikiran tetapi apabila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali menjajah mereka terpaksa menerimanya dengan hati yang berbelah bagi.

Di Batu Pahat, pihak Komunis Bintang Tiga telah mengambil kesempatan merampas kuasa semasa kekosongan kuasa mentadbir yang ditinggalkan oleh Jepun. Mereka telah bertindak menjadi pemerintah selama 14 hari dari 17 hingga 31 Ogos 1945. Mereka membunuh banyak orang Melayu dengan kejam . Berikutan dengan itu, wujud perpaduan Melayu yang diketuai oleh Kiai Saleh. Beliau telah menubuhkan tentera Selendang Merah untuk membalas dendam dengan membunuh ahli-ahli komunis dan orang-orang Cina yang disyaki menyokong komunis di Parit Sulong dan di mukim-mukim yang dilalui menghala ke Batu Pahat.

Dato’ Onn berjaya menghentikan kemaraan Kiai Salleh di Bandar Batu Pahat. Kiai Salleh telah dipujuk supaya membubarkan tenteranya dan berhenti memburu orang-orang Cina Komunis . Peristiwa ini memberikan kesan yang amat mendalam kepada orang Melayu tentang betapa perlunya bersatu padu dan memiliki kuasa di tanah air sendiri. Kumpulan komunis dan orang-orang Cina di Batu Pahat amat terkejut dengan keupayaan tentera Selendang Merah dan perpaduan Melayu. Mereka telah meminta maaf dan berterima kasih kepada Dato’ Onn, sebagai Pegawai Daerah dan pemimpin yang telah berjaya menghentikan pertumpahan darah rakyat ketika itu.

Pada 25 Disember 1945, Sir Harold Mac Michael berjaya mendapat tandatangan persetujuan penubuhan Malayan Union daripada kesemua Raja-raja Melayu dari 9 buah negeri. Melalui akhbar-akhbar, Dato’ Onn bin Jaafar segera menyeru orang-orang Melayu bersatu membincangkannya. Pada 3 Januari 1946, beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung di Batu Pahat dan mengusahakan perjumpaan Melayu secara besar-besaran dalam Kongres Melayu Pertama di Kuala Lumpur. Pada 22 Januari 1946, Pemerintahan Tentera British (BMA) telah mengumumkan penguatkuasaan Malayan Union akan bermula pada 1 April 1946.

Orang Melayu yang masih belum reda kemarahannya dan semangat yang sedang membara seperti api dalam sekam ini terus menyala apabila Inggeris terus melaksanakan rancangan penubuhan kerajaan Malayan Union. Pergerakan Melayu Semenanjung Batu Pahat yang juga diketuai oleh Dato’Onn telah menjadi urusetia dan berusaha menjemput seluruh pertubuhan, kelab dan persatuan Melayu supaya hadir di Kongres Melayu Pertama.

Penubuhan Malayan Union mesti dihalang kerana Inggeris hanya bertujuan untuk mengembalikan maruahnya yang telah diragut ketika kalah dalam peperangan dan penubuhkan Malayan Union akan menghilangkan langsung ketuanan Melayu dan mencabar maruah bangsa. Institusi raja hilang kedaulatan dan kuasa. Negeri-negeri Tanah Melayu diletakkan di bawah Pejabat Tanah Jajahan Inggeris dan kerajaan Malayan Union diketuai oleh seorang gabenor. Pihak Inggeris juga tidak mengendahkan langsung suara orang Melayu meskipun penubuhan Malayan Union tidak dipersetujui rakyat.

Orang Melayu berasa terancam dan terus bersatu. Pada 1 hingga 4 Mac 1946, Kongres Melayu Pertama telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur. Dalam kongres ini semua pertubuhan digabungkan di bawah PEKEMBAR atau UMNO. Dato’ Onn terpilih sebagai Yang Dipertua dan menetapkan Majlis pelancaran Malayan Union dan perlantikan gabenor dipulaukan oleh semua orang Melayu dan juga raja-raja.. Kongres ini juga menetapkan semua orang Melayu berkabung membantah Malayan Union dengan keluar di jalan-jalan raya dan memakai songkok dan baju dengan lilitan putih. Tujuan Kongres Melayu Pertama ini ialah untuk mencari jalan dan bersatu menolak penubuhan Malayan Union. Hasil daripada pertemuan pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu ini, satu resolusi menolak Malayan Union dan perlunya perpaduan dengan satu persatuan diwujudkan. Satu tarikh pertemuan setuju diadakan.


Pada 11 Mei 1946 pertemuan itu telah diadakan di Johor Bahru. Persidangan telah diadakan di Istana Besar dan penubuhan PEKEMBAR atau UMNO telah dirasmikan. Dalam kongres ini mereka bersetuju untuk mengembangkan bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union ke seluruh pelosok negara. Ke arah itu mereka perlu mengeluarkan satu memorandum sebulat suara mewakili seluruh orang Melayu dengan satu suara . Berikutan dengan itu satu resolusi ditetapkan agar semua orang Melayu keluar menunjukkan bantahan dan UMNO ditubuhkan.

Mengikut Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan UMNO, penubuhan UMNO bertujuan menjalankan segala ikhtiar dan usaha bagi mendirikan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Perjuangannya adalah untuk memajukan dan menjaga kepentingan orang Melayu khasnya dan rakyat amnya dalam semua lapangan. UMNO juga mengutamakan agama Islam dan adat resam Melayu dan berikhtiar dan berusaha mengembangkannya. UMNO akan memelihara kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai raja berpelembagaan dan menubuh, mengawal dan memelihara asas-asas pemerintahan demokrasi berparlimen.

Tentangan terhadap Malayan Union bertambah hebat melalui UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik yang tersusun. UMNO telah melancarkan rapat-rapat umum dan tunjuk perasaan di seluruh negara hingga berjaya memaksa kerajaan British mengadakan beberapa rundingan hingga tertubuhnya sebuah jawatan kuasa merangka perlembagaan baru yang dipersetujui oleh UMNO. Laporan Jawatankuasa Kerja ini menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah dikeluarkan pada bulan Disember 1947. Pada 21 Januari 1948 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948 menggantikan Malayan Union.

Khamis, 12 Mei 2011

TOKOH WANITA MELAYU TERBILANG TERHARU TERIMA ANUGERAH SEMPENA ULANG TAHUN UMNO KE-65

KUALA LUMPUR 11 Mei – Penerima anugerah Tokoh Wanita Melayu terbilang, Prof Datuk Dr Mazlan Othman terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh UMNO kerana ianya disifatkan bukan sahaja satu penghormatan kepada diri beliau, malah kepada kaum wanita.


Menurut beliau langkah berkenaan adalah satu pengiktirafan yang cukup besar dan satu langkah yang progretif bagi mengangkat kaum berkenaan dan ianya diharap dapat diteruskan lagi selepas ini.


“Saya menerima penghormatan ini dengan besar hati dan dengan segala rendah hati kerana ramai Melayu lain pada pandangan saya yang mungkin terbilang daripada saya.

“Saya bersyukur ini rezeki yang diberi kepada saya, dan saya amat bangga ini adalah penganugerahan dari UMNO kerana UMNO selama ini membela nasib Melayu temasuk saya sebagai seorang Melayu dan bangga men jadi Melayu.

"Bagi saya sebagai seorang wanita, anugerah khas kepada wanita adalah satu langkah yang progretif dan saya harap akan dapat diteruskan selepas ini, “ katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Majlis Tertinggi dan UMNO yang telah memberikan penghormatan berkenaan.

Dilahirkan pada 11 Disember 1951 di Seremban Negeri Sembilan, Dr Mazlan mendapat pendidikan awal di Kolej Tunku Kurshiah sebelum berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai tutor pada tahun 1975.

Ibu kepada dua orang anak ini hasil perkongsian hidup bersama suaminya Professor Ibrahim Komoo seterusnya mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang astrofizik di Universiti of Otago, New Zealand pada tahun 1981. Yang lebih membanggakan beliau merupakan wanita Malaysia pertama membuat pengkhususan dalam bidang astrofizik.

Pada tahun 1990 beliau telah berkhidmat di Bahagian Planetarium, Kajian Sains Angkasa dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarah di bahagian Kajian Sains Angkasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Beliau telah dilantik menjadi Profesor Astrofizik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kebijaksanaan beliau terus mendapat perhatian apabila dilantik menjadi Ketua Pengarah Kajian Sains Angkasa di Jabatan Perdana Menteri dan diamanahkan untuk menerajui mikrosatelit negara iaitu Satelit Tiung-SAT 1 dan RAZAKSAT.

Pada 2002 beliau menubuhkan agensi Angkasa Lepas dan mengetuai Planetarium Malaysia pada Julai 2002.

Bakat kebolehan dan kebijaksanannya terus diiktiraf bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa apabila beliau menjadi wanita pertama dilantik untuk memimpin pejabat hal ehwal angakas lepas di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semenjak penubuhannya 50 tahun lalu.

Beliau juga menjadi wanita pertama dilantik timbalan ketua pengarah PBB di Vienna semenjak penubuhannya 30 tahun yang lalu.

Segala kerja-kerja penyelidikan dan sumbangan besar beliau di dalam bidang ilmu sains angkasa telah pun menjadi perintis untuk melahirkan angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaffar di mana hari-hari depan rakyat Malaysia akan merasa bangga di atas pencapain negara kita di dalam menerokai angkasa lepas menjelang tahun 2020.

Ini seterusnya meletakkan asas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, moden, berinovasi dan menyerlah dlam bidang sains dan teknologi.

Tahniah dan syabas kepada penerima buat julung kalinya Anugerah Wanita Melayu Terbilang sempena hari ulang tahun UMNO ke 65 iaitu Datuk Dr Mazlan Othman.

Selasa, 10 Mei 2011

SU AGUNG SETUJU PANDANGAN MAHATHIR UMNO LEMAH

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersetuju dengan pandangan bekas ketua parti itu, Tun Dr Mahathir Mahathir bahawa komponen teras BN itu kini lemah sambil menambah, ia perlu menjauhkan diri daripada “hubungan-hubungan yang lemah.”


Semalam, bekas presiden Umno itu berkata parti itu sangat lemah sekarang disebabkan kewujudan pemimpin-pemimpin lemah, yang tidak lagi berjuang untuk kepentingan Melayu dan Islam.


Dr Mahathir juga memberi amaran BN akan berhadapan lagi dengan prestasi buruk yang disaksikan pada pilihan raya 2008 jika parti itu tidak menjauhkan diri daripada rasuah dan nepotisme.


Bagaimanapun Tengku Adnan (gambar) mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dan menekankan presiden sedang bekerja keras untuk memperkukuhkan parti.


“Ya, ia perkara baik yang dikatakan oleh bekas presiden saya. Beliau adalah betul. Ada beberapa hubungan lemah dalam Umno sendiri di mana presiden sedang berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan itu.


Dr Mahathir memimpin Umno selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.“Itu sebabnya perdana menteri mengambil tindakan tegas,” kata beliau.


Sebenarnya kata Adnan, Najib sendiri mahu meminda perlembagaan Umno dan mahu memudahkannya mudah agar undi akar umbi tinggi.


“Saya memberitahu beliau bahawa ia kemungkinan satu masalah bagi penyandang. Beliau berkata tidak dan biarkan agar ia lebih bebas,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media hari ini.


Akhir 2009, Umno meminda perlembagaannya dan memansuhkan sistem kuota.
Pindaan itu membolehkan 60,000 perwakilan berbanding 2,600 sebelum itu.


“Ini perkara-perkara yang saya percaya orang ramai akan faham apa yang presiden sedang cuba lakukan.


“Ya, saya tidak boleh menafikan ada kelemahan hubungan, bukan sahaja bagi Umno, tetapi juga Barisan Nasional, malah pembangkang juga lemah berbanding dengan kita buat masa sekarang,” katanya.


Amaran Dr Mahathir itu mirip kritikan yang beliau pernah melontarkan ke arah penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi beberapa tahun selepas melepaskan jawatannya pada Oktober 2003.


Abdullah meletakkan jawatan pada 2009 dengan menyambut baik kepimpinan Najib.
Tengku Adnan mengulangi bahawa Najib melakukan sedaya upaya bagi Malaysia menjadi sebuah negara yang bukan sahaja bagi Melayu tetapi juga bagi komuniti-komuniti lain agar turut berbangga.


“Ia adalah cabaran sebenar ketika harga barangan dan minyak semakin meningkat. Tolong berikan perdana menteri satu peluang dan saya percaya beliau sedang cuba sedaya upaya,” katanya.

Bagaimanapun Tengku Adnan enggan mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa kerajaan harus menangguhkan pilihan raya umum.

Katanya, perkara itu akan ditentukan oleh Najib.

Isnin, 9 Mei 2011

SELAMAT ULANGTAHUN YANG KE 65 TAHUN

11 MAY 2011


Ahad, 8 Mei 2011

MESYUARAT AGUNG PERGERAKAN WANITA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU 2011















Jumaat, 6 Mei 2011

MEMBAHAS USUL~MESYUARAT PERWAKILAN BAHAGIAN WANGSA MAJU 2011

BISMILLAH….



ALHAMDULILLAHI HI ROBBIL A’LAMIN
WASSOLATU WASSALAMU ALA SAIDINA
MUHAMMADIN ASHROFIL EWAL MURSALIN
WAALA ALIHI WASOHBIHI AJMAIN


ROBBISH ROHLI SODRI WAYASIRLI
AMRI WAHLUL U’QDATAM MILLISANI
YAFQOHU QAULI


YANG BERBAHAGIA


1) PENGERUSI TETAP UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU


2) TIMBALAN PENGERUSI TETAP


YANG DIHORMATI


3) Y.BHG DATO’ KETUA BAHAGIAN

4) DAN SAFF2 KEPIMPINAN UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU


5) WAKIL PERHUBUNGAN


6) PARA PERWAKILAN DAN PARA PEMERHATI YANG DIRAHMATI ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA


ASSALAMUALAIKUM WARAHMAHTUALLAHI WA BA ROKATUH


SALAM SEJAHTERA


SALAM 1MALAYSIA


1)  BERDASARKAN KEPADA USUL YANG DIBAWA OLEH SAUDARA AHMAD DZULKARNAIN BIN HJ. ASMONE,      MAKA KAMI PERGERAKAN WANITA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU MENDESAK DAN MENYOKONG
     PENUH AGAR KERUSI PARLIMEN WANGSA MAJU DIKEMBALIKAN KEPADA PARTI UMNO BERDASARKAN
     ATAS FAKTA SEJARAH KERUSI PARLIMEN WANGSA MAJU ADALAH MILIK UMNO YANG TIDAK BOLEH
     DIPERTIKAIKAN DAN DINAFIKAN OLEH PARTI KOMPONEN BARISAN NASIONAL.

2)  SEJARAH MEMBUKTIKAN SEPANJANG PILIHANRAYA YANG LALU, PARTI UMNO TIDAK PERNAH    
     MENGALAMI KEKALAHAN DALAM PILIHANRAYA DI PARLIMEN WANGSA MAJU SEMASA MANTAN YANG
     BERHORMAT DATO KAMAL SALLEH DAN YANG BERHORMAT DATO’ SERI ZULHASNAN RAFIQUE YANG   
     MANA TELAH MEMPEROLEHI KEMENANGAN DENGAN MAJORITI YANG BESAR.


3) PEMBAHAGIAN KERUSI BARISAN NASIONAL HARUS DIKAJI SEMULA TERUTAMA DI BAHAGIAN WANGSA
    MAJU OLEH PUCUK PIMPINAN BARISAN NASIONAL PUSAT MEMANDANGKAN ‘MOOD’ PENGUNDI PADA
    HARI INI TELAH TERBUKTI MEMIHAK KEPADA BARISAN NASIONAL TERUTAMANYA PENGUNDI MELAYU
    SUDAH PULANG KE PANGKUAN UMNO SEMULA. SEBAGAI CONTOH PILIHANRAYA KECIL YANG LALU
    SEPERTI TENANG, GALAS, BAGAN PINANG YANG TERBARU MERLIMAU DAN KERDAU YANG MANA KERUSI
    INI DIWAKILI OLEH CALON UMNO.


4) BERDASARKAN STATISTIK DAN STATUS PENGUNDI WANGSA MAJU SUMBER-SUMBER YANG SAH DARI
    PIHAK SURUHANJAYA PILIHANRAYA BAGI SUKU KE 4 2010 JUMLAH PENGUNDI SERAMAI 57,970 ORANG.


    MANAKALA PECAHAN SEPERTI BERIKUT:

    KAUM MELAYU 30,131 PENGUNDI BERSAMAAN 51.97%
    KAUM CINA 21,863 PENGUNDI BERSAMAAN 37.71%
    LAIN2 KAUM 973 PENGUNDI BERSAMAAN 1.6%
    JAN ~ MAC 2011 (YG BELUM DIWARTAKAN OLEH PIHAK SPR)


   DENGAN STATISTIK INI TERBUKTI BENAR BAHAWA STATUS PENGUNDI MELAYU 51.97% SETAKAT SUKU KE
   4 2010, MAKA KAMI PERGERAKAN WANITA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU SEKALI LAGI MENDESAK
   PUCUK PIMPINAN BARISAN NASIONAL AGAR MEMASTIKAN KERUSI PARLIMEN WANGSA MAJU
   DIKEMBALIKAN KEPADA UMNO.

5)  KAMI PERGERAKAN WANITA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU BERASA BANGGA DIATAS
     SESUNGGUHAN UMNO BAHAGIAN MEMPELBAGAIKAN PROGRAM RAKYAT DENGAN MENAMBAHKAN
     PENGUNDI DI WANGSA MAJU MANAKALA PARTI KOMPONEN BARISAN NASIONAL HANYA BERSIKAP
     BERDIAM DIRI SAHAJA. TAHNIAH KEPADA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU DIDALAM KEMPEN
     PENAMBAHAN PENGUNDI YANG DILANCARKAN BARU-BARU INI.

6) KAMI PERGERAKAN WANITA UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU MERASA PENUH YAKIN DAN AKAN  
    APAT MERAMPAS KEMBALI PARLIMEN WANGSA MAJU (P116) DARI PARTI PEMBANGKANG KE TANGAN
    BARISAN NASIONAL JIKA WAKIL DARI UMNO DIBERI PELUANG MENJADI CALON DALAM PILIHANRAYA 
    PRU 13 YANG AKAN DATANG. INI KERANA, UMNO BAHAGIAN WANGSA MAJU MEMPUNYAI JENTERA
    PILIHANRAYA YANG BEGITU TERATUR DARI PERINGKAT BAHAGIAN HINGGA KE PERINGKAT CAWANGAN.

7) JUSTERU ITU ATAS FAKTA DAN FAKTOR HUJAHAN DIATAS, KAMI PERGERAKAN WANITA UMNO
    BAHAGIAN WANGSA MAJU MENCADANGKAN Y.BHG DATO’ KETUA BAHAGIAN SELAKU PENGERUSI
    BARISAN NASIONAL WANGSA MAJU ADALAH CALON YANG PALING LAYAK BG KERUSI PARLIMEN
    WANGSA MAJU PRU 13.

8) BAGI MENGAKHIRI HUJAHAN DAN BAHASAN, IZINKAN SAYA MEMBACA 2 RANGKAP PANTUN SEBAGAI
     PENUTUP BICARA:-


     DATO SHAFIE BAKAL YG BERHORMAT
     ASAL USUL DARI PEKAN
     SUARA WANITA SUARA KERAMAT
     KEHENDAK KAMI JANGAN ABAIKAN
 
    WANITA UMNO SENTIASA PATUH
    DIBAWAH PIMPINAN KETUA BAHAGIAN
    KAMI WANITA MENYOKONG PENUH
    SEMOGA ALLAH AKAN MAKBULKAN


SEKIAN,
WABILLAHI TAUFIQ WALHIDAYAH,


WASSALAMUALAIKUM WARAHMAHTUALLAHI WA BA ROKATUH