Halaman

Isnin, 18 April 2011

EMPAT FAKTOR KEMENANGAN BESAR DUA PERTIGA BN DI SARAWAK

KUALA LUMPUR, 18 April – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata kemenangan besar lebih dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak Sabtu lalu adalah disebabkan empat faktor.

Empat faktor tersebut jelas beliau ialah rakyat Sarawak memilih dan percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua katanya ialah rakyat masih meletakkan kepercayaan terhadap Tan Sri Taib Mahmud untuk memimpin daripada Baru Bian yang diwar-warkan pembangkang sebagai Ketua Menteri sekiranya mereka menang.

“Rakyat Sarawak khususnya pengundi juga turut menghantar mesej untuk memilih program transformasi BN berbanding laungan perubahan pakatan pembangkang. Dan faktor terakhir ialah rakyat memilih pembangunan dari janji-janji tak pasti pakatan pembangkang”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau yang melakukan kembara politik selama 10 hari dengan mengadakan pelbagai program di 25 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlainan dari Kuching hingga ke Bintulu seterusnya berkata kemenangan BN ini juga memberi isyarat kepada kerajaan pusat dan negeri untuk meneruskan pembangunan ke tahap yang lebih baik.

“Hal-hal prasarana asas yang belum selesai hanya boleh dibereskan dengan peruntukan kerajaan. Rakyat mendambakan janji dan BN jangan persiakan mandat itu.

“Ini penting kerana kerajaan BN dan wakil rakyatnya perlu sedar bahawa mereka akan disemak setiap lima tahun sekali. Janji kita pada mereka akan mereka ingat walaupun kita terlupa”, ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menambah kemenangan BN ini juga pasti memberikan motivasi kepada jentera BN selepas siri kemenangan BN bermula di Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

“Teruslah menjaga kebajikan dan kehidupan rakyat agar sentiasa diusahakan meningkat ke tahap yang lebih tinggi… kemenangan lebih dua pertiga juga menunjukkan tahap keyakinan rakyat yang tinggi kepada BN.

“Tahniah kepada parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berjaya 100 peratus di 35 kawasan yang mereka tandingi dan menang semua… PKR bertanding 49 cuma menang tiga dan ini merupakan prestasi yang amat buruk…PKR semakin ditinggalkan oleh rakyat”, katanya.

Pada pilihanraya negeri Sarawak Sabtu lalu sebanyak 55 kerusi yang dimenangi BN daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, 35 kerusi dimenangi PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang lapan kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik ProgresifSarawak (SPDP) masing- masing enam kerusi. DAP menang 12 kerusi, PKR tiga kerusi dan Bebas satu kerusi.

Jumaat, 15 April 2011

UNDI UNTUK JAMINAN MASA DEPAN BUKAN IKUT SENTIMEN

KAPIT, 15 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pengundi di negeri ini supaya tidak mengundi mengikut sentimen pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 esok.


“Jangan undi ikut sentimen dan isunya kita perlu kerajaan yang mampu (membawa pembangunan),” katanya selepas merasmikan Terminal Penumpang Ekspres untuk bot di sini hari ini.

Beliau berkata pengundian esok berkisar mengenai masa depan Sarawak dalam memberikan kualiti hidup yang tinggi dan masa depan yang terjamin kepada penduduknya.

“Persoalan yang harus difikirkan oleh pengundi Sarawak ialah kerjasama antara pusat dan negeri untuk masa depan yang lebih terjamin (memandangkan) Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dan luas dan perlu banyak pelaburan terutama dari segi prasarana yang maju dan moden.

"Ini persoalan penting. Siapa yang boleh deliver (membawa pembangunan), dan bukan saja (sekadar) slogan atau retorik atau kempen yang memburukkan peribadi seseorang,” kata Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai pengundi bandar yang dilihat lebih memihak ke arah pembangkang, Najib berkata pengundi harus sedar kerjasama antara parti-parti pembangkang adalah rapuh dan tidak ada kekuatan dalam melaksanakan janji.

“Ia bukan satu alternatif yang berdaya maju (berbanding dengan BN),” katanya pada hari terakhir lawatannya ke negeri ini sejak Selasa lepas.

Najib dalam lawatan kerjanya itu telah berkunjung ke serata pelusuk kawasan pedalaman negeri ini termasuk Serian, Ba’Kelalan dan Lawas.

Mengenai jentera BN dalam kempen pilihan raya Sarawak, Najib yang juga pengerusi BN berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja yang dilakukan, bagaimanapun mereka perlu terus mengkukuhkan kerjasama dan bekerja keras sehingga ke saat akhir.

“Saya perlu ingatkan petugas BN bahawa mereka menghadapi tentangan yang lebih berat berbanding pilihan raya negeri lalu,” katanya.

RAKYAT MESTI TOLAK BUDAYA POLITIK EKSTREM

MUKAH, 14 April – Rakyat Sarawak patut menolak “budaya politik ekstrem” pembangkang dari Semenanjung, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Budaya politik ekstrem PKR, Pas dan DAP bakal merisikokan keamanan, keselamatan dan perpaduan yang sedang dinikmati penduduk Sarawak,” katanya pada majlis “Keluarga Sihat” di Kampung Pulat di Dalat dekat sini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pengundi di Balingian harus memberikan kemenangan menyakinkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pengerusi Barisan Nasional negeri dan Presiden Parti Pesaka BumiputeraBersatu (PBB) itu terbabit dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR Suriati Abdullah dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin.

Shahrizat menyifatkan Taib sebagai seorang pemimpin yang mempunyai wawasan yang jelas dan prihatin terhadap kebajikan semua rakyat Sarawak.

Beliau berkata kementerian itu membelanjakan kira-kira RM103 juta setahununtuk bantuan kebajikan di Sarawak.

Shahrizat turut mengumumkan bantuan RM50,000 masing-masing untuk Institut Wanita cawangan Balingian dan penganjur program masyarakat penyayang di kawasan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah anggota Parlimen Mukah Datuk Seri DrMuhammed Leo Michael Toyad. -->