Halaman

Khamis, 24 September 2009

TUJUH KAEDAH MENDIDIK ANAK-ANAK

1. Pendidikan Iman


Iaitu kelahiran anak hendaklah dimulai dengan sebutan nama-nama Allah dan kemudian disusuli dengan mendengarkan kepada anak-anak suatu yang boleh menumbuhkan bibit-bibit iman di dadanya. Ibu bapa tidak seharusnya mencemari sebutan nama Allah melalui azan selepas lahir denganbunyian lagha dalam proses tumbesarannya.

2. Pendidikan Akhlak


Anak-anak seharusnya didedahkan dengan amalan-amalan dan nilai-nilai mulia seperti tutur kata sopan, menghormati orang tua, belas kasihan kepada orang susah dan sebagainya. Ini semua boleh diterapkan dengan berkesan melalui contoh tauladan yang dipertontonkan oleh ibu bapa dan ia bermula dari dalam kandungan lagi sehinggalah dilahirkan.

3. Pendidikan Intelektual


Ibu bapa hendaklah menghidupkan budaya ilmu di rumah agar anak-anak terbiasa dengannya dan lahirnya rasa cintakan ilmu. Ia boleh dipupuk melalui tauladan membaca, berdiskusi dan sebagainya. Di rumah sebaiknya diwujudkan perpustakaan mini atau rak-rak buku yang boleh mencetuskan naluri ingin membaca. Minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana membaca adalah jambatan ilmu.

4. Pendidikan Fizikal
Anak-anak juga perlu didedahkan dengan aktiviti fizikal iaitu melalui riadah dan bersukan. Kerana seperti kata pepatah 'akal yang cerdas dari tubuh badan yang sihat'. Oleh itu ibu bapa wajar membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti lasak rumah agar mereka menjadi cergas dan mampu melakukan kerja-kerja berat.


5. Pendidikan Psikologi
Ibu bapa hendaklah memastikan agar anak-anak sentiasa terdidik dengan naluri dan perasaan yang positif kerana ia dapat membantu kematangan mereka. Anak-anak perlu diterapkan dengan sifat berani, kuat semangat, tabah, sabar, benar dan sebagainya. Mereka hendaklah dihindari dari sifat-sifat negatif seperti panakut, panas baran dan sebagainya. Ini boleh diterapkan melalui teguran dan contoh dari ibu bapa.

6. Pendidikan Sosial
Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling dan pandai menyesuaikan diri. Sikap ini boleh dipupuk melalui pendedahan pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Ibu bapa boleh menerapkan dengan membawa anak-anak ke tempat perhimpunan orang ramai seperti di masjlis-majlis kenduri, gotong royong ataupun solat berjemaah di masjid.
7. Pendidikan Seksual
Anak-anak juga perlu didedahkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hubungan lelaki dan perempuan, batasan aurat, adab pergaulan dengan bukan mahram dan nilai-nilai mulia seperti sifat malu dan sopan dalam membicarakan soal berkaitan dengan seks. Mereka juga hendaklah didedahkn tentang hukum haram berkhalwat dan berzina. Ini dapat memelihara maruah dan nama baik keluarga dan ibu bapa.