Halaman

Khamis, 22 April 2010

PENGUNDI WANITA KESAL CARA PKR








HULU SELANGOR 21 April - Pengundi-pengundi wanita di sini kesal kerana kebajikan ibu tunggal, warga emas serta keluarga miskin terabai tanpa sebarang pembelaan sejak pakatan pembangkang memerintah Selangor dua tahun lalu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal sedemikian berlaku kerana kerajaan negeri tidak menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum 2008 dan kini terbukti semuanya adalah palsu bagi mengaburi fikiran rakyat.

Menurutnya, rasa serik kumpulan itu yang mewakili 52 peratus daripada jumlah keseluruhan 64,500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor disuarakan ketika jentera Wanita UMNO, 'Jalinan Rakyat' membuat lawatan rumah ke rumah berkempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung sekarang.

"Ekoran tiada bantuan kerajaan negeri, masyarakat hanya bergantung kepada peruntukan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memenangi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

"Maklumat balas yang diterima bahawa pengundi-pengundi wanita tidak mahu lagi memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga tidak mahu mensia-siakan peluang untuk memilih calon BN pada pilihan raya kali ini," katanya.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan demikian selepas melawat rumah warga emas, Napsiah Abdul Rahman, 86, di Kampung Pasir Putih, Kalumpang dekat sini hari ini.

Beliau menambah, ekoran itu pengundi-pengundi wanita tidak lagi mahu tertipu dengan helah pembangkang setelah tiada pembangunan yang dibawa sejak dua tahun diberi peluang menguasai Parlimen Hulu Selangor.

Sebaliknya, tegas beliau, kemajuan yang dilihat berjaya dibawa ialah jumlah rumah urut bertambah daripada 200 buah ketika BN memerintah dahulu kepada kira-kira 4,000 buah di seluruh Selangor sekarang.

"Inilah perjuangan sebenar yang dicerminkan pakatan pembangkang bahawa mereka tiada program masa depan yang jelas untuk rakyat seperti yang dilaung-laungkan," ujarnya.

Sementara itu, Shahrizat memberitahu, tindakan pemimpin-pemimpin kanan PKR keluar parti itu sejak kebelakangan ini menunjukkan kepimpinan parti itu adalah rapuh dan menuju kehancuran.

Katanya, lebih ketara kerana mereka yang terlibat adalah rapat dengan pucuk pimpinan parti sekali gus menggambarkan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti tersebut kerana lebih mengutamakan pihak tertentu sahaja.

"Dalam tempoh dua tahun macam-macam berlaku menunjukkan kepimpinan PKR lemah. Mereka umpama tin kosong, buat bising sahaja tetapi isi di dalamnya tak ada," kata beliau.