Halaman

Selasa, 18 Mei 2010

BANGKIT SEMULA DENGAN SEMANGAT, KEKUATAN BARU

KUALA LUMPUR 17 Mei – Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu Barisan Nasional (BN) menjadikan kekalahan dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu sebagai peluang untuk bangkit semula dengan semangat dan kekuatan baru supaya dapat merampasnya kembali pada pilihan raya umum nanti.

Bercakap kepada pemberita di sini Isnin, Perdana Menteri berkata kekuatan BN di Sibu masih kekal kerana penyokong-penyokong tradisional tetap bersama BN.Calon DAP Wong Ho Leng menewaskan calon Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew dengan kelebihan 398 undi bagi kerusi yang sebelum ini diwakili oleh BN.

Sambil melahirkan rasa kecewannya, Najib berkata sebenarnya kekalahan itu terlalu tipis dan apa yang BN perlu lakukan sekarang ialah mengkaji segala kekurangan yang mungkin wujud dan melakukan pembaharuan dan penambahbaikan termasuk kepada jentera BN.

“Kita terima keputusan itu kerana sebagai sebuah parti yang berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen maka keputusan pengundi adalah keputusan yang perlu diterima dan dihormati,” katanya selepas memberikan ucapan khas pada mesyuarat pertama Forum Pegawai Institusi Kewangan dan Monetari di Bank Negara Malaysia di sini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata walaupun kalah, tidak perlu berlaku sebarang proses menuding jari sebaliknya semua pihak dalam BN perlu melihat secara mendalam apa yang telah berlaku terutama sekali sekiranya ada kelemahan yang perlu diatasi manakala mesej sebenar pengundi Sibu perlu dihalusi.

“Tapi gelombang perubahan di bandar yang kita selalu sebut itu satu fenomena yang perlu kita kaji dan mengetahui sebab musababnya berlakunya fenomena ini,” katanya.
Najib, yang turut berkempen pada pilihan raya kecil itu, berkata satu daripada faktor yang beliau lihat menyumbang kepada kekalahan BN ialah cara jentera BN yang masih bergerak pada kaedah dan cara lama.

“Sepatutnya mereka perlu lebih kreatif dan bertenaga lagi,” katanya. Najib berkata BN di semua peringkat termasuk bahagian dan negeri perlu menggunakan kekalahan ini sebagai satu pengalaman dan pengajaran untuk melakukan pembaharuan yang perlu.

“Kerana salah satu daripada kekuatan BN selama ini ialah jenteranya tapi kalaulah jentera BN ini kurang bertenaga dan kurang dari segi kretivitinya, maka kita agak kehilangan kelebihan kita,” katanya.

Mengenai sama ada berlaku trend penolakan masyarakat Cina terhadap BN melalui pilihan raya ini, Najib berkata BN kena mengkaji segala-galanya. “Sama ada ini merupakan apa pertimbangan mereka sebenarnya, adakah isu nasional, isu tempatan atau isu negerikah? Semua perlu kita ambil kira,” katanya.

Najib juga berkata antara sebab lain punca kekalahan BN ialah kerana ramai juga penyokong BN tidak turun mengundi dan ini juga BN perlu mengkaji. Ditanya impak keputusan di Sibu pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang, Perdana Menteri berkata: “Kita akan menghadapi cabaran lebih besar, oleh itu semua pihak terutama di Sarawak harus mengambil kira apakah yang harus kita lakukan untuk menghadapi piliha raya negeri nanti.”

Diminta mengulas sama ada kempen memburukkan kerajaan oleh DAP berjaya mempengaruhi pengundi, Najib berkata parti itu telah berkempen secara agresif dan menggunakan isu sensitif selain menjalankan banyak program dan perjumpaan.

“Dan tentu apa yang mereka lakukan sedikit sebanyak telah mempengaruhi pengundi di Sibu, sebab tindak balas daripada jentera kita agak tidak setimpal dengan apa yang mereka (pembangkang) lakukan,” kata Najib.