PETALING JAYA , 4 Julai – Kerajaan didesak supaya menyemak semula peruntukan yang termaktub dalam Seksyen 309A dan 309B, Kanun Keseksaan yang hanya mensabitkan kesalahan membunuh dan membuang bayi ke atas wanita sahaja.
Sehubungan itu, Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kelana Jaya hari ini meminta kerajaan meminda peruntukan tersebut dengan alasan lelaki atau bapa kepada bayi yang dibunuh atau dibuang itu sebenarnya menjadi punca wanita tersebut hamil.
“Sehubungan itu, lelaki atau bapa yang mendorong kepada perbuatan pembunuhan dan pembuangan bayi mesti mendapat hukuman yang setimpal,” tegas satu daripada lapan usul sosial dan pendidikan yang diluluskan pada mesyuarat yang diadakan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya tersebut.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Mesyuarat tersebut turut meluluskan usul supaya dijalankan kajian hukuman maksimum ke atas ibu bayi tersebut kerana membunuh atau sengaja membuang dengan niat membunuh.