Halaman

Khamis, 29 Oktober 2009

14 OKT-SKUAD SAYANG IMEJ BARU WANITA DEKATI MASYARAKAT


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Projek Sayang dicetuskan Wanita Umno untuk melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kemasyarakatan mampu menampilkan imej baru pergerakan itu dan Umno keseluruhannya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Wanita Umno, Perdana Menteri berkata, beliau yakin dan percaya apa juga yang dilakukan oleh Skuad Sayang yang diwujudkan daripada projek itu akan dapat mendekatkan Wanita, Umno serta Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.
"Insya-Allah program ini akan memberi kesan besar... saya berharap semua bahagian Umno termasuk parti komponen BN hendaklah melaksanakan aktiviti Skuad Sayang dengan penuh semangat sebagai satu lagi program baru yang boleh meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada BN.
"Teruskan perjuangan kita dan tahniah kepada Ketua Wanita Umno atas inisiatif yang sangat baik dan bermakna ini,' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Sayang dan majlis rumah terbuka Wanita Umno di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Projek Sayang adalah jenama baru Wanita Umno serta Wanita BN untuk melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kema-syarakatan sebagai menepati hasrat Umno serta memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Projek itu mengambil konsep yang mudah dan praktikal untuk merealisasikan ikatan kasih sayang dan kebajikan serta mengekalkan hubungan silaturahim bersama rakyat melalui pendekatan yang mesra, mudah dan pantas.
Melalui Projek Sayang, Wanita Umno mewujudkan Skuad Sayang dan Stor Sayang di setiap negeri sebagai langkah proaktif memberi perkhidmatan di waktu kecemasan dan lain-lain waktu kesusahan untuk rakyat yang memerlukan.
Sementara itu Rosmah dalam ucapannya, berkata beliau yakin Skuad Sayang akan memberi peluang kepada ahli pergerakan turun padang bukan saja untuk bermesra, tetapi mendekati dan mendampingi rakyat sekali gus merapatkan jurang hubungan Umno dengan masyarakat.
Beliau berkata, rakyat Malaysia kini semakin matang, dewasa dan prihatin terhadap hak mereka sebagai rakyat, di samping amat memahami kuasa yang ada pada tangan mereka.
Sehubungan itu, katanya mereka menjadi amat kritikal, lantang, dan berani menuntut apa yang dianggap sebagai hak mereka.
"Menyedari realiti ini, saya berpendapat parti politik seharusnya perlu lebih kreatif, inovatif dan juga proaktif dalam merencanakan aktiviti mereka bagi mendampingi rakyat supaya sentiasa relevan dan selaras dengan kehendak semasa rakyat dan juga kumpulan sasar," katanya.
Bagaimanapun, katanya dalam usaha Wanita Umno melaksanakan Projek Sayang, kita tidak seharusnya menumpukan kepada sesuatu kaum atau kumpulan saja, sebaliknya usaha itu seharusnya digembleng dengan mendekati setiap golongan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan.
"Ini selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri. Dengan berpaksikan kepa-
da aspirasi 1Malaysia, maka kita akan dapat menyuburkan lagi perpaduan antara kaum. Perpaduan kaum yang subur akan membolehkan masyarakat terus hidup aman dan sejahtera," katanya.
Sumber: Berita Harian