Halaman

Jumaat, 6 November 2009

SEJARAH WANITA

Penglibatan wanita dalam politik bermula bersama gerakan semangat kebangsaan untuk memerdekakan tanah air. Cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 bagi menamatkan hak orang-orang Melayu telah membangkitkan penentangan secara besar-besaran.

Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam gerakan politik tanah air. Dalam Mesyuarat Agung UMNO pada tahun itu, tiga tokoh wanita UMNO iaitu Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu.

Ekoran pertemuan itu Jabatan Kaum Ibu telah ditubuhkan pada 1947 dengan Putih Mariah dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun kemudian Jabatan Kaum Ibu diperbesarkan menjadi Pejabat Setiausaha.

Pada 25 Ogos 1949, bertempat di Butterworth, UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agung Wakil Wanita dari bahagian-bahagian UMNO bagi menubuhkan satu badan yang dinamakan Ahli-ahli Perempuan UMNO (APU) dengan Putih Mariah sebagai ketuanya. Inilah pertubuhan politik wanita pertama wujud di Tanah Melayu.
Setahun kemudian kepimpinan APU diterajui oleh Tan Sri Zainun Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain. Di bawah kepimpinannya, APU telah menambah ahli dan jumlah cawangannya.Beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air bersama sekeping peta Tanah Melayu dan sehelai bendera UMNO di tangan, untuk memberi penerangan mengenai politik dan kemerdekaan.
Tetapi antara September 1953 hingga Oktober 1954, kepimpinan APU menghadapi masalah apabila Ibu Zain terpaksa mengundurkan diri atas sebab-sebab kesihatan.Masalah timbul apabila Ibu Zain mencadangkan supaya Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah mengambil alih sebagai ketua, tetapi beliau hanya bersetuju mengambil alih selama tiga bulan sahaja.
Oleh sebab itu, Jawatankuasa Kerja Agung UMNO telah mengambil keputusan melantik Khadijah Sidek menjadi Setiausaha Hal-Ehwal Kaum Ibu UMNO dan Oegawai Penerangan Perempuan.Kemudiannya, Khadijah dilantik mengetuai Pergerakan itu sehingga 1956 apabila beliau diberhentikan dan diganti oleh Fatimah Hashim sebagai pemangku jawatan itu atas persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Pada 1956 nama APU ditukar kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO. Fatimah telah dipilih menjadi ketua dalam Perhimpunan Ahung UMNO pada 1957 dan beliau menerajui Pergerakan itu hingga 1972.Bagi menguji sokongan rakyat pada UMNO, Kerajaan Brtish mencadangkan pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan Pertama diadakan pada 1955. Dalam pilihan raya itu Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi.
Dalam pilihan raya tersebut juga calon wanita tunggal, Halimahton Abdul Majid telah bertanding dan menang. Beliau merupakan Wakil Rakyat wanita pertama.Kemerdekaan Tanah Melayu membuka lebih banyak peluang kepada wanita. Dari pilihan raya 1959 di mana Ibu Zain dan Fatimah Hashim bertanding kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang, bilangan tokoh wanita bertanding dalam pilihan raya bertambah.
Peristiwa 12 Mei 1969 telah turut mempengaruhi corak politik tanah air. Pada Ogos 1971, UMNO mengadakan Persidangan Agung Khas bagi mengatur corak perjuangan UMNO.Perlembagaan UMNO telah dipinda dan Pergerakan Kaum Ibu telah ditukar namanya kepada Pergerakan Wanita UMNO bagi melambangkan imej dinamik.Selepas Fatimah mengundurkan diri pada 1972, kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO diterajui oleh Aishah Ghani sehingga 1984, apabila dipimpin pula oleh Datuk Seri Rafidah Aziz sehingga sekarang.
Pergerakan Wanita UMNO bertindak sebagai penyokong kuat kepada UMNO dalam sebarang perjuangan bagi mendaulatkan bangsa dan memajukan Negara. Dalam setiap kali pilihan raya peranan ahli Pergerakan Wanita UMNO sangat besar dalam memenangkan calon-calon Barisan Nasional. Selain itu, ia juga terus mendapat tempat yang sewajarnya di Negara merdeka.Kemajuan yang dicapai oleh wanita Malaysia sehingga hari ini adalah atas perjuangan Pergerakan Wanita UMNO yang sentiasa bersama arus pembangunan Negara.