Halaman

Selasa, 2 Mac 2010

BEBASKAN DIRI DARIPADA TEKANAN

Tekanan atau stres berpunca daripada sifat semula jadi yang tidak stabil seperti terlalu inginkan kemenangan, bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan, suka mendesak, risau keterlaluan, tidak mahu menerima teguran, berprasangka buruk dan berdendam.
Bagi menghindarkan diri daripada keadaan ini, kita perlu menanganinya dengan bijak. Jika tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal perasaan tersebut agar tidak terus menganggu kehidupan seharian.
Cabaran hidup sekarang mendedahkan setiap individu kepada pelbagai bentuk tekanan dan cara menghadapinya banyak bergantung kepada ketahanan diri.
Mereka yang berjaya menangani tekanan akan berjaya menguruskan diri dengan baik. Hakikatnya, tekanan adalah perkara lumrah selagi kita bergelar manusia. Ujian yang mendatang sama ada dalam bentuk yang kita suka atau sebaliknya ada kalanya menjadikan seseorang itu lebih kuat.
Namun, tidak kurang yang terjebak dalam perkara negatif kerana gagal menangani tekanan seperti bergantung hidup kepada pengaruh dadah, membiarkan diri tidak terurus serta meneruskan hidup dalam tekanan.
Antara punca tekanan ialah sifat terlalu mengharap yang terbaik, tidak dapat menerima teguran orang lain, cemburu dengan kejayaan orang lain, kerja yang membosankan dan pelbagai sebab lagi bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat sesuatu keadaan.
Punca tekanan boleh dikenal pasti melalui perubahan emosi seperti cepat marah, mudah menangis dan sentiasa bersedih, kecewa, hampa, mudah mengamuk, prestasi merosot, kekeringan idea, sukar tidur dan hilang selera makan.
Di bawah terdapat beberapa kaedah yang boleh mengurangkan atau mengatasi tekanan dalam menghadapi dugaan hidup.
Senyum
Kebanyakan kita bila berhadapan dengan masalah pasti akan bermasam muka. Paling tak pun kita akan mengeluh atau mengomel sendirian? Apa kata bila kita hadapi tekanan seperti ini kita senyum dahulu. Bila kita senyum, pasti sedikit tekanan akan reda. Cubalah, pasti merasai kelainan.
Bersendirian
Ada sesetengah orang suka bersendirian, memencil diri untuk mencari ketenangan seketika. Renungkan kembali apa yang berlaku dan ambil iktibar dari sudut yang positif setiap perkara yang terjadi itu kemudian perbaiki pada keadaan yang lebih baik.
Bertenang
Janganlah serabutkan lagi keadaan yang sedia ada. Tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan secara perlahan-lahan. Cuba elakkan diri daripada membuat sebarang keputusan dalam keadaan tertekan.
Ini kerana keputusan itu mungkin bersandarkan pada emosi anda semata-mata. Bukan itu sahaja malahan jika tiada perincian yang dibuat dalam keputusan tersebut takut sebarang kemudaratan akan berlaku nanti.
Berbuat baiklah pada insan. Cuba kurangkan perbuatan dari menyakiti hati orang di sekeliling. Jadilah insan yang berhati luhur dan pemaaf. Bunyi memang senang tapi bila kita hendak melakukannya mungkin agak sukar. Tapi itulah yang harus anda lakukan. Hanya dengan cara inilah pasti hati kita akan berlapang dada tekanan yang dihadapi juga akan berkurang.
Peluk sesuatu
Anda pasti akan rasa lebih tenang dan damai di dalam hati jika dapat memeluk makhluk lain. Maksud di sini jika anda mempunyai teman baik perempuan sama perempuan anda peluklah dia, dengan cara ini ia dapat meredakan sedikit tekanan atau kemarahan anda.
Lavender
Bagi yang suka pada aroma terapi minyak pati lavender amat sesuai sekali untuk meredakan tahap tekanan anda. Ini kerana minyak lavender dikenali sebagai herba penenang yang boleh mengurangkan tekanan.
Kasih sayang
Terapi yang mudah kita dapat melalui kawan-kawan, anak-anak atau pasangan (yang berkahwin), anak saudara, ibu bapa. Kasih sayang daripada mereka adalah sumber kekuatan anda dan sebenarnya anda tidak berseorangan di dunia ini.
Allah
Ikutilah perintah dan suruhan Allah serta tinggalkan perkara yang dilarang. Hayatilah suruhan Allah nescaya anda tidak akan rugi walau sesaat. Dekatkan diri terhadap-Nya.
Ceria
Janganlah bebankan fikiran dengan semua perkara yang ada di sekeliling anda setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hidup di dunia ini hanya untuk sementara jadi, nikmatilah hari ini dengan seadanya.