KUALA LUMPUR 29Julai –“Pas dalam beberapa isu terutama hak keistimewaan Bumiputera dan orang Melayu, kita lihat Pas memang tersepit, mereka tidak mampu bersuara untuk mempertahankan terutamanya orang Melayu,” kata Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Katanya, banyak perkara yang membabitkan orang Melayu, pemimpin Pas dan Melayu dalam PKR lebih banyak mendiamkan diri dan tidak berani menentang atau mempertahankan isu yang dibawa oleh DAP.
“Saya tengok cara Pas berpolitik amat mengecewakan, saya tengok bukan sahaja agama budaya dan hak-hak, Pas memang tidak menjadi benteng yang kukuh untuk orang Melayu.
“Sebenarnya dalam pakatan pembangkang, kombinasi dan menentukan masa depan pakatan itu bukan PKR, bukan Pas tetapi DAP, jadi prinsip perjuangan DAP-lah akan menjadi semangat kepada perjuangan politik mereka,” katanya ketika diminta mengulas ingatan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak supaya DAP tidak terlalu menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengingatkan kepada pakatan pembangkang terutama DAP supaya tidak membangkitkan isu-isu, hak dan semua yang sudah dipersetujui serta termaktub dalam perlembagaan.
Menurutnya, berikutan pengongkongan DAP dalam pakatan pembangkang menjadikan isu-isu membabitkan agama dan orang Melayu sudah mula dipinggirkan, dan tidak diperjuangkan oleh mereka dalam pakatan pembangkang.
“Kita mahu wujudnya kestabilan negara terutama kestabilan politik, saya nak minta kepada semua pihak jangan bangkitkan isu-isu, hak dan perkara yang dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Kalau mana-mana pihak yang mula untuk mempersoal dan meruntuhkan hak-hak keistimewaan itu, ia membawa kepada implikasi serius, dan kita Wanita UMNO berdiri teguh menyokong pendirian Presiden parti,” katanya.
Rentetan kenyaataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mahu Kerajaan Selangor memansuhkan diskaun Bumiputera dalam pemilikan harta di negeri berkenaan, ia telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu terutama pemimpin UMNO.
Shahrizat berkata, pakatan pembangkang terutama DAP perlu berhati-hati dalam membangkitkan sesuatu perkara dan jangan cuba mengambil kesempatan memainkan sesuatu isu kerana boleh mengugat ketenteraman perpaduan yang sudah dibina oleh pemimpin terdahulu sejak sebelum merdeka.
Beliau mengingatkan, pemimpin pembangkang jangan memainkan isu sensitif dalam usaha untuk mendapat sokongan politik semata-mata sedangkan ketenteraman awam terancam oleh resah, tidak puas hati, jurang perkauman dan masa depan negara terancam