Halaman

Isnin, 18 Oktober 2010

PERHIMPUNAN AGUNG MEDAN TERBAIK PERJELAS SISTEM BARU PEMILIHAN PARTI

PEMILIHAN dalam UMNO akan diadakan tahun depan, tetapi entah mengapa kalangan pemimpin parti yang ditemui rata-rata enggan memberi ulasan mengenai proses itu sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada perwakilan.
Memilih untuk meneruskan pertandingan dalam UMNO bukan satu kesalahan. Tetapi untuk menangguhkan proses itu sementara waktu bagi membolehkan parti membuat persiapan dan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13, memerlukan keputusan berani.
Membenarkan pemilihan parti dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan dan sokongan dalaman parti. Pertandingan akan mewujudkan kelompok serpihan yang dicipta pemimpin yang kecewa atau tewas. Mereka akan berubah sifat menjadi kelompok atas pagar, menikam dari belakang atau mensabotaj parti.
Lebih membimbangkan, kemuncak pertandingan bakal berlaku pada suku ketiga atau keempat 2011. Ia terlalu hampir dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mungkin diadakan bila-bila masa pada 2012 atau selewat-lewatnya awal 2013. Jika UMNO mengalami perpecahan akibat pemilihan jawatan dalam parti, keadaan itu boleh menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum itu.
Justeru, Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 mulai Khamis ini, wajar membuat keputusan mengenai perkara itu. Meneruskan pemilihan bermakna UMNO membenarkan pemimpinnya membentuk momentum ke arah unsur melobi dalam perhimpunan ini sebagai persiapan memperkukuhkan kedudukan menjelang pemilihan tahun depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika diminta mengulas perkara itu berkata: “Yang itu kita tak buat keputusan lagi. Tetapi kalau mengikut lunas peraturannya, memang patutnya ada (pemilihan). Tetapi amalan yang dulu memang ada (pemilihan ditangguhkan),” katanya.
Ditanya sama ada kemungkinan untuk tidak menangguhkan pemilihan itu, beliau berkata: “Agak terlalu awal bagi saya untuk menyatakan perkara itu sama ada perlu atau tidak perlu.”
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketika mengulas perkara sama berkata: “Saya dari segi ini (pemilihan), kita serah dulu (kepada parti) sebab saya ahli Majlis Tertinggi (MT). Kalau kita buat keputusan, biasanya orang ramai akan ikut kita,” katanya
Ditanya kesan kepada UMNO dalam PRU Ke-13 jika parti mengadakan pemilihan 2011, beliau yang juga ahli MT UMNO berkata: “Saya fikir itu semua tak nak sentuh. Yang ini saya serah kepada ahli parti. Kita tidak mahu membawa ahli parti untuk berfikir menjurus kepada satu-satu jawapan.
“Soal pertandingan itu biar ahli parti putuskan sendiri. Kita beri dia kebebasan,” katanya. UMNO Melaka yang tidak pernah kecundang dalam pilihan raya sejak merdeka lagi juga membuktikan keupayaan perancangan dan pentadbirannya apabila Melaka akan diisytiharkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai negeri maju pertama di Malaysia, Rabu ini.
Justeru, keupayaan sama juga ada pada Datuk Seri Najib Razak untuk menukar status Malaysia menjadi negara maju pada 2020 berlandaskan projek dan program komprehensif khususnya transformasi dan ekonomi berskala mega.
Ketua UMNO bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, pula berkata perhimpunan kali ini walaupun ia dilihat kurang meriah berikutan tiada pemilihan MT UMNO, tetapi sangat penting bagi parti memastikan hala tuju serta dasar ke arah mencapai Wawasan 2020 yang tinggal hanya sembilan tahun lagi.
“Perhimpunan kali ini juga medan terbaik mencari rumusan untuk meningkatkan nasib Melayu supaya tidak terus dilihat terlalu bergantung kepada kerajaan sebaliknya, boleh bersaing dengan kaum lain dalam mengecapi kemakmuran dan kekayaan negara.
“Selain itu, pucuk pimpinan parti perlu mengambil peluang menerangkan kepada perwakilan kaedah pemilihan parti dijadualkan pada 2011 yang menggunakan sistem baru di semua peringkat bermula daripada cawangan.
“Pelaksanaan kaedah pemilihan baru itu turut memberi gambaran positif bahawa UMNO sudah berubah. Ini isyarat jelas kepada rakyat Malaysia bahawa parti ini akan dan mampu terus menerajui negara menuju matlamatnya,” katanya.
Sementara itu, Berita Harian difahamkan bahawa Najib cenderung untuk mengembalikan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri yang diperintah parti pembangkang kepada pemimpin asal negeri masing-masing.
Negeri terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan selain Terengganu. Difahamkan, ada pertukaran pemimpin bagi jawatan sama di beberapa negeri lain.