Halaman

Isnin, 18 Oktober 2010

PENDARAHAN DALAMAN UMNO PERLU DIRAWAT

Parti harus mengakui hakikat bahawa khalayak sudah berubah, tak boleh disogok apa dirasakan sesuai UMNO mengalami pendarahan dalaman dan perlu suntikan ubat untuk merawat luka itu, demikian pengakuan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut membangkitkan soal kepemimpinan tertinggi, pendidikan serta perlunya perubahan dalam parti sejajar tuntutan semasa khalayak.
“Saya fikir begitu kerana kita sudah ‘terhantuk ke dinding’ pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Jadi, mungkin luka dan pendarahan dalaman politik UMNO ini harus kita ubati pada kadar segera. Keadaannya sangat merbahaya dan kritikal! Ia bukan saja perlu bedah siasat, tetapi pemantauan dan suntikan ubat pelali yang baru bagi menyembuhkan penyakit dalaman politik ini,” katanya.
Beliau berani menyatakan kelemahan parti sendiri kerana pada peringkat mutakhir ini, pemimpin dan ahli UMNO perlu melakukan muhasabah diri dan harus berani mengkritik diri sendiri.
“Soalnya, ramai orang yang bercakap mengenai kelemahan tetapi tidak ramai orang yang memperbaiki kelemahan. Tudingan jari itu dihalakan kepada orang lain, tidak kepada dirinya sendiri. Tiba masanya untuk kita menuding jari itu kepada diri sendiri,” katanya ketika ditemui.
Diminta menjelaskan sama ada kepemimpinan tertinggi UMNO juga mengakui kesilapan itu yang turut menyumbang kepada keseluruhan kelemahan parti sekarang, Zahid berkata perkara itu bukan sekadar membabitkan kepemimpinan tertinggi sekarang tetapi juga kepemimpinan terdahulu.
Namun, bagi Naib Presiden itu, soal sama ada kepemimpinan tertinggi juga sudah benar-benar berubah adalah terlalu subjektif untuk dibuat penilaian tetapi UMNO harus melakukan bukan saja melalui pendekatan empirikal tetapi secara praktikal.
“UMNO harus mengakui hakikat bahawa khalayak sudah berubah. Pendekatan juga harus berubah mengikut kehendak khalayak. Kita tidak boleh menyogokkan apa yang kita rasakan sesuai untuk khalayak tetapi satu kajian hendaklah dilakukan apa yang khalayak mahu daripada parti.” katanya.
Beliau berkata, UMNO mempunyai ‘war room’ yang bergerak di setiap bahagian tetapi parti mahu melihat keberkesanan tindakan bukan perancangan sebab terjemahan dalam tindakan untuk semua perancangan ini harus dilakukan oleh nadi dan jentera parti.
Ditanya apakah antara maklum balas dari ‘war room’ bahagian, Zahid berkata, parti harus menumpukan gerak kerja bukan saja di kalangan ahli parti komponen tetapi menjurus ke arah meraih sokongan kelompok atas pagar.
Beliau berkata, dalam plot penceritaan UMNO, penonton dan pembaca cerita parti itu sudah berubah.
“Bagi saya, watak di luar UMNO adalah watak antagonistik. Oleh itu, kita harus mempunyai pendekatan bagi merubah lakaran di luar lingkungan UMNO itu,” katanya.
Namun, beliau yakin tahap kepercayaan kepada UMNO sebenarnya masih ada dan soal persepsi bukan kepada UMNO tetapi watak dalam parti yang diharapkan oleh khalayak untuk diubah.
“Watak ini boleh diubah. Ia tidak perlu tunggu lama untuk diubah kerana kalau kita lama, jadilah nasib kita seperti parti pemerintah di Jepun dan Indonesia. Kita mesti berubah seperti berlaku kepada parti pemerintah di India apabila kehilangan kuasa, kemudian mendakap semula kuasa apabila perubahan dalaman dilakukan. Maka pelajaran dialami parti dari ketiga-tiga negara ini dan UMNO tidak seharusnya kehilangan kuasa,” katanya.
Menjawab soalan apakah UMNO mahu menjadi sedikit ekstrem atau lebih pre-emptif, beliau berkata, UMNO bukan hanya sebuah parti politik tetapi institusi sosial Melayu yang mencakupi di luar sebuah parti politik. Ini harus difahami mereka yang mendarahdagingi perjuangan UMNO.
“Ia boleh diubah berdasarkan dua konsep tadi itu menolak ekstremisme dalam akar umbi Melayu serta keagamaan iaitu Islam dan sebaliknya mengamalkan kesederhanaan,” katanya.
Beliau turut melihat transformasi sudah berlaku dalam jentera kerajaan tetapi belum sepenuhnya dalam jentera parti walaupun Presiden, Datuk Seri Najib Razak, sudah menyediakan pelan dan program besar transformasi ini tetapi ia belum dirasai pada peringkat akar umbi. Justeru, pada hemat beliau dengan ada gerak kerja dilakukan Ibu Pejabat UMNO maka cara terbaik sekarang ialah kepemimpinan peringkat nasional harus turun ke bawah menjelaskan sendiri transformasi yang akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan pada peringkat bawah.
Katanya, ada dua isu seharusnya menjadi tema ucapan dasar presiden Khamis ini dan menjadi agenda nasional keseluruhannya iaitu UMNO tidak mahu ada ekstremisme dalam parti tetapi meneruskan pendekatan pertengahan atau moderasi.
“Sebabnya, kita tidak mahu dianggap agenda Melayu tidak lagi diperjuangkan oleh UMNO tetapi diperjuangkan satu pihak lain. Apa yang perlu ada pada agenda nasional UMNO ialah parti harus terus berada di landasan untuk memperjuangkan agenda UMNO. Kemelayuan adalah akar umbi kepada perjuangan UMNO dan bangsa Melayu adalah bangsa induk kepada pembentukan negara bangsa.
“Aspek kedua ialah ekstremisme dalam Islam. Kita harus membina pembentukan yang tidak ekstrem ke kanan atau ke kiri kerana Islam itu juga mahu kesederhanaan dalam pendekatan menyogokkan ajaran kepada bangsa Melayu yang beragama Islam kerana di Malaysia, Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam mengikut konteks Perlembagaannya.
“Jadi, kalau UMNO itu dianggap tidak lagi memperjuangkan Islam maka itu salah. Khalayak mesti diberitahu UMNO memperjuangkan Melayu dan agama Islam seperti ditegakkan apabila UMNO itu terbentuk,” katanya.
UMNO juga perlu menyedari realiti landskap baru ekonomi global dan parti harus tahu di mana hendak diletakkan usahawan dan perniagaan Melayu dalam persaingan ini. Baki hanya tinggal sembilan tahun untuk kita mencapai tahap negara maju dengan pertumbuhan ekonomi berada pada tahap 7 peratus. Untuk mempertahankan pertumbuhan ini, ia harus dirasai secara melata oleh semua bangsa tanpa meminggirkan roh yang ada pada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kini diterjemahkan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
Oleh demikian, penghayatan terhadap MBE tidak hanya harus dirasai orang politik tetapi kalangan birokrat yang melaksanakan agenda ini dan juga pemimpin pendapat serta ‘gate keeper’ yang mahu melihat sejauh mana keberkesanan terhadap penterjemahan roh DEB ini dalam pelaksanaan MBE.
Zahid juga berharap kerajaan mampu mencari titik pertemuan bagi mempertemukan pelajaran yang dilahirkan melalui tiga kluster sistem pendidikan iaitu kebangsaan, Cina dan agama.
“Dalam hal ini, sistem pendidikan kita sudah ada agenda ke arah itu. Cuma kita tidak mahu sistem pendidikan yang terpecah kepada tiga kluster iaitu pendidikan kebangsaan, Cina serta agama dan mesti ada titik pertemuan bagi ketiga-tiga pendidikan itu berlandaskan roh Penyata Razak dan Rahman Talib, di mana bahasa ibunda digalakkan tetapi mesti ada usaha mempertemukan pelajar ini pada satu titik pertemuan supaya perpaduan nasional dapat diwujudkan melalui sistem pendidikan dan juga bagaimana terhadap silang budaya, agama dan sejarah diambil untuk mencapai objektif nasional secara holistik,” katanya.
Difahamkan ada perwakilan akan menyentuh mengenai sikap UMNO dan pendirian kerajaan yang didakwa tidak tegas dalam beberapa isu membabitkan soal perundangan, kes membabitkan perkauman dan agama mahupun tidak bertindak tegas terhadap parti pembangkang dalam kes tertentu.
Menjawab ura-ura itu, Zahid berkata, kita harus melihat bahawa situasi pra-1999 dan landskap politiknya berbeza dengan pasca 1999. Keadaan jauh lebih berubah selepas pilihan raya umum 2004 di mana keterbukaan dasar kerajaan dan parti mendedahkan rakyat terhadap beberapa liberalisasi pendekatan kepada rakyat.
Ia ditambah dengan perolehan maklumat yang tidak hanya terdorong daripada maklumat yang dicerna melalui media konvensional tetapi diperoleh daripada media maya yang etikanya berada di luar batas kewartawanan.
“Yang demikian, pendapat peribadi dianggap sebagai pendapat yang dipanggil ‘gospel truth’ dan ini cukup merbahaya jika tiada tindakan bukan saja untuk melakukan ‘rebuttal’ tetapi menjelaskan rasional yang di luar daripada jangkauan pemberi maklumat melalui media maya itu,” katanya.
Beliau juga tidak nampak ketegasan itu harus menjurus ke arah tindakan bagaimana pra-1969 dan pasca 1969 tetapi harus dilihat dalam situasi sekarang.
“Jangan dianggap kerajaan tidak tegas. Jangan dianggap berlaku keterlambatan dalam tindakan tetapi apa yang dilakukan sekarang bersesuaian dengan era semasa yang berlandaskan kepada keterbukaan. Perbandingan yang dulu tidak boleh lagi dibawa ke hadapan sebab kita mempunyai kumpulan khalayak yang berbeza sekarang,” katanya.
Mengenai konsep 1Malaysia yang juga bakal menjadi tumpuan perbahasan dan kalangan pemimpin tertinggi akan memberi penjelasan, Zahid berkata: “Adakah gagasan 1Malaysia ini dapat diterima dengan maksud sebenar Perdana Menteri berbanding tafsiran yang pelbagai daripada rakyat. Oleh demikian, falsafah dan konsep bukan saja harus dikembangkan tetapi rakyat mahu melihat apakah isi kandungan gagasan 1Malaysia”.
“Apa yang sedang dilakukan Perdana Menteri memperlihatkan satu iltizam yang tinggi di mana inti pati yang berada dalam landasan antaranya pembentukan Klinik 1Malaysia yang terus menyentuh denyut nadi rakyat.
“Rakyat harus diberikan suntikan bahawa kerajaan tidak lagi memberikan kesukacitaan lahiriah tetapi diberikan kesukacitaan yang boleh menambat semula hati mereka untuk terus memberikan penghayatan terhadap agenda kerajaan,” katanya