Halaman

Isnin, 31 Januari 2011

BN MELAKA ATUR STRATEGI KUATKAN JENTERA PARTI PERTAHAN MERLIMAU

MELAKA, 29 Jan – Barisan Nasional (BN) Melaka telah mengatur strategi bagi memperkuatkan jentera parti sebagai persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau Mac ini.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata jentera parti pada keseluruhannya telah bersedia untuk memastikan BN mempertahankan kerusi DUN itu.

“Saya sudah mula buat lawatan lebih kerap dan selami keperluan rakyat di DUN Merlimau dan tempoh empat minggu sebelum penamaan calon, kita akan lipat gandakan usaha dan tenaga jentera BN,” katanya.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian selepas merasmikan Beruang Hill Resort di Bukit Beruang di sini, hari ini.

Beliau berkata BN Melaka akan mengerahkan lebih 1,000 anggotanya bagi melancarkan proses kempen yang akan dimulakan selepas penamaan calon pada 26 Feb.

Mengenai senarai calon bagi pilihan raya kecil itu, Mohd Ali berkata beliau akan menyerahkan nama kesemua tujuh calon yang telah disenaraikan oleh UMNO Bahagian Jasin kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa beberapa hari lagi.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Feb manakala hari pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon Pas, JasmeTompang dengan majoriti 2,154 undi.