KAPIT, 15 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pengundi di negeri ini supaya tidak mengundi mengikut sentimen pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 esok.
“Jangan undi ikut sentimen dan isunya kita perlu kerajaan yang mampu (membawa pembangunan),” katanya selepas merasmikan Terminal Penumpang Ekspres untuk bot di sini hari ini.
Beliau berkata pengundian esok berkisar mengenai masa depan Sarawak dalam memberikan kualiti hidup yang tinggi dan masa depan yang terjamin kepada penduduknya.
“Persoalan yang harus difikirkan oleh pengundi Sarawak ialah kerjasama antara pusat dan negeri untuk masa depan yang lebih terjamin (memandangkan) Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dan luas dan perlu banyak pelaburan terutama dari segi prasarana yang maju dan moden.
"Ini persoalan penting. Siapa yang boleh deliver (membawa pembangunan), dan bukan saja (sekadar) slogan atau retorik atau kempen yang memburukkan peribadi seseorang,” kata Perdana Menteri.
Menyentuh mengenai pengundi bandar yang dilihat lebih memihak ke arah pembangkang, Najib berkata pengundi harus sedar kerjasama antara parti-parti pembangkang adalah rapuh dan tidak ada kekuatan dalam melaksanakan janji.
“Ia bukan satu alternatif yang berdaya maju (berbanding dengan BN),” katanya pada hari terakhir lawatannya ke negeri ini sejak Selasa lepas.
Najib dalam lawatan kerjanya itu telah berkunjung ke serata pelusuk kawasan pedalaman negeri ini termasuk Serian, Ba’Kelalan dan Lawas.
Mengenai jentera BN dalam kempen pilihan raya Sarawak, Najib yang juga pengerusi BN berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja yang dilakukan, bagaimanapun mereka perlu terus mengkukuhkan kerjasama dan bekerja keras sehingga ke saat akhir.
“Saya perlu ingatkan petugas BN bahawa mereka menghadapi tentangan yang lebih berat berbanding pilihan raya negeri lalu,” katanya.