Halaman

Jumaat, 15 April 2011

RAKYAT MESTI TOLAK BUDAYA POLITIK EKSTREM

MUKAH, 14 April – Rakyat Sarawak patut menolak “budaya politik ekstrem” pembangkang dari Semenanjung, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Budaya politik ekstrem PKR, Pas dan DAP bakal merisikokan keamanan, keselamatan dan perpaduan yang sedang dinikmati penduduk Sarawak,” katanya pada majlis “Keluarga Sihat” di Kampung Pulat di Dalat dekat sini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pengundi di Balingian harus memberikan kemenangan menyakinkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pengerusi Barisan Nasional negeri dan Presiden Parti Pesaka BumiputeraBersatu (PBB) itu terbabit dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR Suriati Abdullah dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin.

Shahrizat menyifatkan Taib sebagai seorang pemimpin yang mempunyai wawasan yang jelas dan prihatin terhadap kebajikan semua rakyat Sarawak.

Beliau berkata kementerian itu membelanjakan kira-kira RM103 juta setahununtuk bantuan kebajikan di Sarawak.

Shahrizat turut mengumumkan bantuan RM50,000 masing-masing untuk Institut Wanita cawangan Balingian dan penganjur program masyarakat penyayang di kawasan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah anggota Parlimen Mukah Datuk Seri DrMuhammed Leo Michael Toyad. -->