Halaman

Selasa, 28 Februari 2012

PENGUNDI WANITA PENGARUHI KEPUTUSAN PILIHAN RAYA

SHAH ALAM - Pengundi wanita yang digambarkan lebih ramai berbanding lelaki diyakini mampu mempengaruhi dan menentukan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Tinjauan di sini semalam mendapati ramai bersetuju bahawa golongan wanita turut memainkan peranan dalam menentukan masa depan negara melalui undi.

Pekerja swasta, Mimi Harianie Alias, 28, berkata, melalui sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, golongan wanita turut mempunyai peranan bagi menentukan masa depan negara.

Bagaimanapun, katanya, golongan wanita perlu bijak memilih parti yang bakal memerintah negara kerana kuasa satu undi mereka boleh mengubah segala-galanya.

"Negara akan terus maju dan rakyat kekal hidup dalam keadaan aman dan damai seandainya kita bijak memilih kerajaan yang prihatin kepada rakyat.

"Jika kita tersilap pilih, ia sudah tentu akan merugikan negara dan mampu memusnahkan kemajuan yang dibina selama ini," katanya yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama.

Aziana Mohd. Aripin, 37, pula berkata, masih ramai golongan wanita muda yang belum mendaftar sebagai pengundi sedangkan undi mereka boleh mengubah senario negara melalui pilihan raya.

"Oleh itu, bagi menarik lebih ramai wanita muda untuk menjadi pengundi, kempen kesedaran perlu diadakan dengan lebih agresif kerana mereka akan rugi jika tidak mengundi.

"Suruhanjaya Pilihan Raya perlu membuka lebih banyak kaunter di tempat-tempat orang muda selalu berada seperti di panggung-panggung wayang dan pusat beli-belah," ujarnya yang merupakan seorang penjawat awam.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd. Jimmy Yusri, 24, mengakui kuasa mengundi golongan wanita lebih besar berdasarkan jumlah penduduk wanita yang lebih ramai daripada lelaki.

Oleh itu, tegasnya, peranan mereka dalam menentukan keputusan pilihan raya kelak tidak boleh dipandang ringan.

"Kita mesti akur peranan wanita muda dalam menentukan keputusan pilihan raya kerana jumlah mereka yang ramai tetapi ia tidak bermakna jika mereka masih belum mendaftar sebagai pengundi," katanya