Halaman

Isnin, 26 Mac 2012

WANITA UMNO PERLU PERKUKUHKAN PERSEFAHAMAN ~ AHMAD MASLAN

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Wanita UMNO perlu perkukuhkan persefahaman untuk menghadapi segala cabaran di dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kerana pergerakan itu merupakan senjata, jentera serta tunjang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata Wanita UMNO tidak boleh berpecah dan perlu menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul dengan bijak.

“Saya harap mereka dapat menghadapi segala cabaran yang mendatang dengan jayanya…hidup ini tidak lengkap tanpa cabaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang 2012 di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO Selasa lepas berhubung pengekalan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO memandangkan Shahrizat dipilih oleh anggota-anggota pergerakan itu sebagai ketua.

Katanya beliau menyanjung persefahaman antara Shahrizat dan Naib Ketuanya Datuk Kamilia Ibrahim selama ini dan berharap mereka dapat menumpukan perhatian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Kerjasama mereka (Shahrizat dan Kamilia) sebelum ini jelas menunjukkan kewibawaan serta kepimpinan masing-masing dan ia dapat dilihat dengan kewujudan program Skuad Sayang, Jalinan Rakyat, Jelajah Sayang dan sebagainya yang mendapat sambutan hangat,” katanya.

Ahmad mengakui Wanita UMNO selama ini telah menjalankan tanggungjawab dengan baik selain setia, aktif serta rajin.

Beliau turut menggesa jentera parti supaya meneruskan usaha mendaftarkan ahli-ahli baru yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

“Bagi saya mereka boleh sahaja mendaftar tidak kiralah sama ada pilihan raya sudah dekat ataupun tidak. Jangan pula timbul cerita-cerita yang mengatakan seseorang itu tidak boleh mengundi meskipun nama sudah tersenarai di dalam senarai pengundi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya mereka ini tidak dapat mengundi pada PRU-13 namun mereka layak mengundi untuk pilihan raya seterusnya memandangkan mereka sudah mendaftar sebagai pengundi.

Pada majlis hari ini, Ahmad turut menyampaikan sijil serta hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang bagi Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Empat serta menyampaikan anugerah pelajar cemerlang di dalam PMR dan SPM 2011.