Halaman

Ahad, 3 Januari 2010

WANITA WANGSA MAJU MANTAPKAN JATI DIRI




Selasa, 29 Disember 2009

PERSONALITI MENJULANG ~25 DIS.HINGGA 26 DIS 2009 @ Kem Lambaiana, Sg Gabai, Ulu Langat

Program ini merupakan satu misi bagi membangunkan peserta-peserta yang meliputi wanita-wanita di Bahagian Wangsa Maju bagi menghasilkan wanita yang berketerampilan, bersemangat patriotik, berdisplin, bertanggungjawab terhadap diri sendiri, penyediaan asas diri dan mempunyai nilai-nilai murni ke arah pembentukkan sumber tenaga manusia yang mempunyai personaliti menjulang (towering personality) dan holistik.

Integriti + Jati Diri = “PERSONALITI MENJULANG”
Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk:
1) Menyemai semangat cintakan keharmonian dan perpaduan (integrasi) yang tinggi di kalangan
wanita dan masyarakat.

2) Mendekati masyarakat secara formal dan non-formal yang mampu menarik sokongan masyarakat terhadap kerajaan.

3) Memupuk semangat Patriotisma di kalangan wanita dan masyarakat.

4) Memupuk sikap kepimpinan dan tanggungjawab di kalangan wanita dan masyarakat.

5) Memupuk sikap kebajikan dan kesukarelawan terhadap masyarakat.

6) Menjadi daya tarikan kepada masyarakat yang lebih mengemari aktiviti di lapangan berbanding dengan aktiviti formal lain seperti ceramah dan sebagainya. Memberi keyakinan kepada wanita terhadap masyarakat supaya dapat menghadapi segala rintangan dengan tenang
dan bersemangat tinggi.
Bergerak dari Pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju

Pendaftaran para peserta
Peserta sudah sedia untuk sessi kelas yang akan bermula tidak lama lagi

Add Video Lagunya "angkat tangan kanan, goyang-goyang.......
[ada bau tak??]
Sessi 'Ice Breaking' oleh Ustaz Kamal
Peserta sedang cuba sedaya-upaya
[sabar separuh dari imannnn]

Inilah buktinya bahawa klip kertas boleh terapung di permukaan air...Ustaz Kamal
[pada mulanya peserta tidak percaya bahawa klip kertas boleh terapung di permukaan air, jangan buat andaian/putus asa dengan cepat]

Inilah permainan yang menguji kesabaran diri sendiri
[peserta harus buat klip kertas terapung di permukaan air]
Sessi memperkenalkan diri rakan peserta
[kerut dahi nak mengingatkan biodata teman kita]
Sessi berbuai bersama pasangan
[sehingga ada yang tertidur apabila ditepuk oleh teman]

Beriadah bersama peserta di Air Terjun Sg. Gabai, Ulu Langat
[senyum...nasib baik camera women tak terjatuh]

Solat Maghrib dan Isyak
[peserta khusyuk mendengar kuliah magrib]

Sessi 'Blind Conductor' dimana karektor seseorang terserlah di sessi ini
[peserta menari mengikut rentak muzik, peserta menonjolkan bakat terpendam]

Perasmian Penutup oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, turut hadir Ketua Wanita UMNO, En. Drs Mawardi, Penolong Setiausaha Wanita











[selepas peserta menerima sijil kursus]




















































































Selasa, 15 Disember 2009

APA ITU I.S.A

PENJELASAN MENGENAI AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) 1960 Ditulis Oleh : PANEL PEMIKIR JABATAN HAL EHWAL KHAS

Penjelasan Isu Apakah itu AKDN atau ISA?Akta ini adalah salah satu undang-undang pencegahan yang digubal di bawah perkara 149,Perlembagaan Persekutuan. Ia telah dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia pada 1 Ogos 1960 dan diperluaskan penguatkuasaannya di Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.
Apakah tujuan tujuan ISA?Tujuan ISA adalah untuk mengelakkan dari berlaku ancaman keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan negara yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu yang bertujuan menganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara.
Pernahkah ISA dipinda?ISA pernah dipinda beberapa kali pada tahun-tahun berikut:
1) 1962 2) 1963 3) 1964 4) 1965 5) 1966 6) 1969 7) 1989

Apakah contoh-contoh kes yang membabitkan tindakan ISA?
PKMMei 13Al-MaunnahJamaatul IslamiyahJundul-IlahPenculikan di SabahHindraf

Kenapa tidak digunakan Ordinan Jenayah sedia ada?ISA tidak bermotif untuk menganayai sesiapa juga yang ditahan oleh polis. Mereka ditahan berasaskan kepada kegiatan-kegiatan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah sabotaj, subversif, pengintipan(espionage), ekstremis agama dan kaum, keganasan dan militan.Selain itu, maklumat risikan dari dalam dan luar negera terutamanya dari badan-badan keselamatan awam negara luar juga diambil kira.Penilaian tahanan ISA diasaskan kepada maklumat terperinci pihak polis. Sekiranya tiada sebarang bukti, tahanan dibebaskan mengikut masa tertentu.Peruntukan undang-undang Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan, tidak mempunyai peruntukan untuk membicarakan kes-kes ISA.

Apakah yang dimaksudkan dengan penahanan?Seksyen 73 (1) ISA memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awalan menahan mana-mana individu/kumpulan yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Seksyen ini membolehkan polis menahan individu berkenaan selama;a) 1 hari 1 malam (24 jam)b) 2 hari 2 malam (48 jam)c) 1 minggu (168 jam)d) 60 hari (1440 jam)Jika pihak polis belum berpuas hati selepas 60 hari, ia perlu memaklumkan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dengan mengemukakan hujah-hujah yang kukuh bagi membolehkan tahanan dilanjutkan lebih daripada 60 hari.Benarkah ISA dikatakan bertentangan dengan hak asasi manusia?Sebenarnya dalam masa 3 bulan tahanan boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat Tahanan mengenai hak mereka dengan membawa peguam mereka bersama-sama dengan Lembaga Penasihat Tahanan. Sekiranya Lembaga Penasihat mendapati tahanan berkenaan masih ada ancaman keselamatan maka, tahanan boleh dilanjutkan sehingga 60 hari.

Adakah ruang rayuan untuk mereka yang ditahan?Walaupun peruntukan 73(1) menyatakan pihak polis tidak perlu merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, namun tahanan mempunyai hak untuk mencabar kesahihan penahanan mereka dan juga berhak membawa keluarga bersama peguam berhadapan dengan Lembaga Penasihat.
Selepas 60 hari, jika pihak polis mendapati masih ada ancaman kepada keselamatan negara maka perakuan hendaklah dibuat kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengikut peruntukan seksyen 8(1) atau 8(5) dimana Menteri akan melihat hujah-hujah pihak polis untuk menahan individu berkenaan melebihi 60 hari.

Selepas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengkaji hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak polis Menteri perlu menurunkan tandatangan ke atas dokumen yang dipanggil perintah terhad (Detention Order).

Adakah negera-negera lain mempunyai akta yang serupa ISA?Beberapa negara lain turut mempunyai undang-undang yang meyerupai ISA untuk mempertahankan keselamatan negara mereka dari ancaman dalam dan luar.
Singapura mempunyai ISAnya tersendiri bagi tujuan menahan individu yang dianggap boleh mengancam keamanan dan keselamatannya. Pada 1963 dalam operasi Coldstore seramai 100 individu-individu terdiri dari ahli-ahli politik dan persatuan telah ditahan. Pada 2006, Singapura menahan Mas Selamat Bin Kastari, anggota (JI) Jamaatul Islamiyyah.
Brunei juga berhadapan dengan ancaman tertentu dan ISA telah digunapakai. Filipina, Thailand dan Indonesia tidak mempunyai akta bertulis seperti ISA. Mereka menggunakan undang-undang sedia ada untuk menangani individu-individu yang menjejaskan keselamatan negara mereka.

Di Indonesia, aktivis-aktivis Jamaatul Islamiyyah (JI) begitu aktif dan mereka telah melakukan pengeboman di beberapa hotel terkemuka di Jakarta pada 17 Julai 2009. Pada 2002, Bali juga menghadapi pengeboman yang telah mengorbankan 202 orang, majoritinya pelancong dari Australia.

Negara Thailand mengakui bahawa Malaysia adalah satu-satunya Negara aman yang mempunyai akta khusus untuk menghadapi ancaman yang memudaratkan Negara.
Amerika Syarikat sebuah negara yang mengagungkan demokrasai dan hak asasi turut mempunyai akta yang serupa yang dipanggil The USA Patriot Act (Providing Appopriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism Act).

Akta yang komprehensif itu melibatkan pindaan-pindaan akta lain demi mengukuhkan perpaduan Amerika Syarikat. Misalnya, Patriot Act membolehkan pindaan dibuat kepada akta Immigration and Nationality Act (INA).

Ia membolehkan menahan seseorang asing yang membahayakan keselamatan AS sehingga 90 hari dan paling lama 6 bulan jika diperlukan.

Dalam kes pengeboman New York Trade Centre pada 9 September, ramai individu dari negara asing yang disyaki terlibat dalam tragedi itu ditahan dan dipenjarakan di penjara Guantanamo Bay sehingga kini, termasuk 2 dari rakyat Malaysia.

Akta ini walaupun diterima oleh majoriti ahli kongres tetapi telah dikritik keras oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, namaun kerajaan AS tetpa mempertahankannya.
Di United Kingdom, akta seperti ISA yang dipanggil Terrorism Act yang bukan baru telah diguna pakai untuk berdepan dengan terrorism di utara Ireland.

Adakah ISA releven dengan pandangan Islam?Doktor Borhanuddin Al Hilmi pengasas Parti Islam SeMalaysia (PAS) membuat perbandingan tentang ISA dengan sebilah pisau yang tajam yang boleh digunakan untuk kebaikan, dan pada masa yang sama juga boleh digunakan untuk keburukan.

Ibnu Najim berpendapat:“Sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya boleh dilaksanakan”.

Doktor Mohamad Mahmud Al Khalidi dalam kitabnya ”Qawa’id Nizam Al Hukmi Fi Al Islam” sebuah tesis Ph.D beliau menyatakan:“Para sahabat juga sependapat mengatakan bahawa melaksanakan peraturan yang didokong oleh pemerintah adalah wajib dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum, undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain dari apa yang ditentukan oleh pemerintah”.

Misalnya, apabila pemerintah telah menentukan undang-undang berkaitan jalan raya, seluruh umat wajib disisi syarak mematuhi apa yang diperintah oleh Ketua Negara. Prinsip Sad Az Zara’ie iaitu: “Membendung Punca Keburukan”

PenutupPepatah Arab“Al-Wiqayatu Khairun Mina Alillaj”“Mencegah lagi baik daripada mengubat ”

Disediakan Oleh:PANEL PEMIKIR JABATAN HAL EHWAL KHAS
Disunting oleh:KETUA UNIT KOMUNIKASI MEDIAJABATAN HAL EHWAL KHAS

Jumaat, 6 November 2009

SEJARAH PENUBUHAN UMNO

Satu himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.

Dato’ Onn bin Jaafar dari Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak.
Tiga usul telah dululuskan oleh Kongres seperti berikut:1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu2. Membantah pertubuhan Malayan Union3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu.

Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.
Walaupun ada bangkangan yang hebat dari kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 mengwujudkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) telah berlangsung dan Piagam atau Perlembagaan (UMNO) telah diterima dan diluluskan oleh para peserta dan UMNO pun lahirlah secara rasmi.

SEJARAH WANITA

Penglibatan wanita dalam politik bermula bersama gerakan semangat kebangsaan untuk memerdekakan tanah air. Cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 bagi menamatkan hak orang-orang Melayu telah membangkitkan penentangan secara besar-besaran.

Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam gerakan politik tanah air. Dalam Mesyuarat Agung UMNO pada tahun itu, tiga tokoh wanita UMNO iaitu Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu.

Ekoran pertemuan itu Jabatan Kaum Ibu telah ditubuhkan pada 1947 dengan Putih Mariah dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun kemudian Jabatan Kaum Ibu diperbesarkan menjadi Pejabat Setiausaha.

Pada 25 Ogos 1949, bertempat di Butterworth, UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agung Wakil Wanita dari bahagian-bahagian UMNO bagi menubuhkan satu badan yang dinamakan Ahli-ahli Perempuan UMNO (APU) dengan Putih Mariah sebagai ketuanya. Inilah pertubuhan politik wanita pertama wujud di Tanah Melayu.
Setahun kemudian kepimpinan APU diterajui oleh Tan Sri Zainun Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain. Di bawah kepimpinannya, APU telah menambah ahli dan jumlah cawangannya.Beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air bersama sekeping peta Tanah Melayu dan sehelai bendera UMNO di tangan, untuk memberi penerangan mengenai politik dan kemerdekaan.
Tetapi antara September 1953 hingga Oktober 1954, kepimpinan APU menghadapi masalah apabila Ibu Zain terpaksa mengundurkan diri atas sebab-sebab kesihatan.Masalah timbul apabila Ibu Zain mencadangkan supaya Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah mengambil alih sebagai ketua, tetapi beliau hanya bersetuju mengambil alih selama tiga bulan sahaja.
Oleh sebab itu, Jawatankuasa Kerja Agung UMNO telah mengambil keputusan melantik Khadijah Sidek menjadi Setiausaha Hal-Ehwal Kaum Ibu UMNO dan Oegawai Penerangan Perempuan.Kemudiannya, Khadijah dilantik mengetuai Pergerakan itu sehingga 1956 apabila beliau diberhentikan dan diganti oleh Fatimah Hashim sebagai pemangku jawatan itu atas persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Pada 1956 nama APU ditukar kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO. Fatimah telah dipilih menjadi ketua dalam Perhimpunan Ahung UMNO pada 1957 dan beliau menerajui Pergerakan itu hingga 1972.Bagi menguji sokongan rakyat pada UMNO, Kerajaan Brtish mencadangkan pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan Pertama diadakan pada 1955. Dalam pilihan raya itu Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi.
Dalam pilihan raya tersebut juga calon wanita tunggal, Halimahton Abdul Majid telah bertanding dan menang. Beliau merupakan Wakil Rakyat wanita pertama.Kemerdekaan Tanah Melayu membuka lebih banyak peluang kepada wanita. Dari pilihan raya 1959 di mana Ibu Zain dan Fatimah Hashim bertanding kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang, bilangan tokoh wanita bertanding dalam pilihan raya bertambah.
Peristiwa 12 Mei 1969 telah turut mempengaruhi corak politik tanah air. Pada Ogos 1971, UMNO mengadakan Persidangan Agung Khas bagi mengatur corak perjuangan UMNO.Perlembagaan UMNO telah dipinda dan Pergerakan Kaum Ibu telah ditukar namanya kepada Pergerakan Wanita UMNO bagi melambangkan imej dinamik.Selepas Fatimah mengundurkan diri pada 1972, kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO diterajui oleh Aishah Ghani sehingga 1984, apabila dipimpin pula oleh Datuk Seri Rafidah Aziz sehingga sekarang.
Pergerakan Wanita UMNO bertindak sebagai penyokong kuat kepada UMNO dalam sebarang perjuangan bagi mendaulatkan bangsa dan memajukan Negara. Dalam setiap kali pilihan raya peranan ahli Pergerakan Wanita UMNO sangat besar dalam memenangkan calon-calon Barisan Nasional. Selain itu, ia juga terus mendapat tempat yang sewajarnya di Negara merdeka.Kemajuan yang dicapai oleh wanita Malaysia sehingga hari ini adalah atas perjuangan Pergerakan Wanita UMNO yang sentiasa bersama arus pembangunan Negara.

Khamis, 29 Oktober 2009

14 OKT-SKUAD SAYANG IMEJ BARU WANITA DEKATI MASYARAKAT


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Projek Sayang dicetuskan Wanita Umno untuk melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kemasyarakatan mampu menampilkan imej baru pergerakan itu dan Umno keseluruhannya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Wanita Umno, Perdana Menteri berkata, beliau yakin dan percaya apa juga yang dilakukan oleh Skuad Sayang yang diwujudkan daripada projek itu akan dapat mendekatkan Wanita, Umno serta Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.
"Insya-Allah program ini akan memberi kesan besar... saya berharap semua bahagian Umno termasuk parti komponen BN hendaklah melaksanakan aktiviti Skuad Sayang dengan penuh semangat sebagai satu lagi program baru yang boleh meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada BN.
"Teruskan perjuangan kita dan tahniah kepada Ketua Wanita Umno atas inisiatif yang sangat baik dan bermakna ini,' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Sayang dan majlis rumah terbuka Wanita Umno di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Projek Sayang adalah jenama baru Wanita Umno serta Wanita BN untuk melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kema-syarakatan sebagai menepati hasrat Umno serta memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Projek itu mengambil konsep yang mudah dan praktikal untuk merealisasikan ikatan kasih sayang dan kebajikan serta mengekalkan hubungan silaturahim bersama rakyat melalui pendekatan yang mesra, mudah dan pantas.
Melalui Projek Sayang, Wanita Umno mewujudkan Skuad Sayang dan Stor Sayang di setiap negeri sebagai langkah proaktif memberi perkhidmatan di waktu kecemasan dan lain-lain waktu kesusahan untuk rakyat yang memerlukan.
Sementara itu Rosmah dalam ucapannya, berkata beliau yakin Skuad Sayang akan memberi peluang kepada ahli pergerakan turun padang bukan saja untuk bermesra, tetapi mendekati dan mendampingi rakyat sekali gus merapatkan jurang hubungan Umno dengan masyarakat.
Beliau berkata, rakyat Malaysia kini semakin matang, dewasa dan prihatin terhadap hak mereka sebagai rakyat, di samping amat memahami kuasa yang ada pada tangan mereka.
Sehubungan itu, katanya mereka menjadi amat kritikal, lantang, dan berani menuntut apa yang dianggap sebagai hak mereka.
"Menyedari realiti ini, saya berpendapat parti politik seharusnya perlu lebih kreatif, inovatif dan juga proaktif dalam merencanakan aktiviti mereka bagi mendampingi rakyat supaya sentiasa relevan dan selaras dengan kehendak semasa rakyat dan juga kumpulan sasar," katanya.
Bagaimanapun, katanya dalam usaha Wanita Umno melaksanakan Projek Sayang, kita tidak seharusnya menumpukan kepada sesuatu kaum atau kumpulan saja, sebaliknya usaha itu seharusnya digembleng dengan mendekati setiap golongan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan.
"Ini selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri. Dengan berpaksikan kepa-
da aspirasi 1Malaysia, maka kita akan dapat menyuburkan lagi perpaduan antara kaum. Perpaduan kaum yang subur akan membolehkan masyarakat terus hidup aman dan sejahtera," katanya.
Sumber: Berita Harian

1 MALAYSIA


(Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)

1. PENGENALAN
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. ‘1 Malaysia’ membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. ‘1 Malaysia’ memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

‘1 Malaysia’ adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1 Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

2. DEFINISI
Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 Huraian Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut:

2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing. Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.
3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.

4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia", Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT
1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2. KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya

7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan

7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

7.4. PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.
7.5 KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.
7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..

7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.7 PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

7.8 INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8. KESIMPULAN
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara. Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.