Halaman

Jumaat, 3 September 2010

MERDEKA MINDA UNTUK ANJAK KEMAMPUAN

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Wanita diseru memerdekakan minda dan meneruskan usaha menganjak kemampuan diri agar menjadi golongan yang lebih berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia bagi memastikan wanita akan terus memainkan peranan dengan lebih relevan.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada pemimpin wanita, terutamanya dari golongan muda yang bersama-sama mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dinamik dan progresif.

“Sesungguhnya generasi muda adalah generasi yang penting dalam mencorakkan masa depan negara berbekalkan idealisme serta tenaga mereka,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2010 yang akan disambut esok.

Tema sambutan Hari Wanita tahun ini ialah 1Azam-Wanita 1Malaysia yang membawa pengertian kaum hawa di negara ini mendokong hasrat kerajaan dalam merealisasikan Program Transformasi Kerajaan, Bidang Keberhasilan Utama Negara, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10.

Wanita 1Malaysia juga berazam mencapai wawasan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Dalam kenyataan itu, Shahrizat turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pemimpin terdahulu yang melahirkan generasi pelapis untuk memainkan peranan membentuk gagasan modal insan berkualiti.