SEREMBAN, 8 Mac – Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata kemenangan berganda yang dikecapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Merlimau dan Kerdau perlu dijadikan dorongan dan motivasi kepada jentera BN untuk terus berusaha pada masa akan datang.
Katanya kemenangan itu sepatutnya menambah motivasi kepada seluruh jentera BN terutamanya untuk menawan kawasan yang kalah dan meningkatkan majoriti kepada kawasan yang menang.
“Sepanjang tempoh tiga tahun ini, kita telah melalui 16 PRK dan daripada jumlah itu kita telah berjaya dalam lapan pilihan raya dan selebihnya dimenangi oleh pembangkang.
“Walaupun pembangkang telah menang lapan pilihan raya, tetapi sebanyak tiga PRK yang dimenanginya itu adalah disengajakan, iaitu bukan disebabkan kematian, misalnya di Permatang Pauh, Penantian dan Bukit Selambau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran FiMos dan sambutan ulang tahun Instrak ke-10 di sini hari ini.
Oleh itu, katanya pembangkang hanya menang lima sahaja berbanding BN yang telah berjaya memenangi lapan kerusi, termasuk merampas kerusi milik pembangkang.
“Dengan itu jadikanlah setiap kemenangan yang diperolehi itu sebagai motivasi kepada kita untuk terus menawan kawasan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata jika seluruh jentera BN bekerja keras dan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, sudah pasti kejayaan akan dapat dicapai.
“Kalau kita bersungguh-sungguh, kita pasti akan dapat tawan kawasan pembangkang, seperti yang kita lakukan di Galas dan Hulu Selangor.
“Dan jika kita bekerja keras pula sudah pasti, kita dapat menambah bilangan majoriti yang sedia ada seperti di Batu Sapi, Batang Ai, Kerdau dan Merlimau yang dilihat majoritinya semakin bertambah,” katanya.