Halaman

Jumaat, 11 Mac 2011

PERMUDAHKAN URUSAN PEMBIAYAAN SKIM RUMAH PERTAMAKU- PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar semua institusi kewangan yang terlibat di bawah Skim Rumah Pertamaku mempermudahkan segala urusan pembiayaan bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah pertama mereka.

“Saya amat berharap bahawa segala urusan berhubung dengan skim ini dipermudahkan oleh institusi kewangan dan bukanlah sebaliknya.

“Mungkin skim ini tidak boleh memberi keuntungan yang besar kepada institusi kewangan tapi ini merupakan satu skim yang amat-amat bermakna kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Rumah Pertamaku di sini hari ini.

Najib turut mempelawa bank-bank yang belum menyertai skim ini supaya melibatkan diri dengan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dengan sepenuhnya.

Beliau berkata sehingga kini skim ini berjaya melibatkan penyertaan lebih daripada 20 institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam.

Beliau juga berharap skim ini juga akan menggalakkan pemaju supaya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di Malaysia.

“Ini adalah komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat dalam usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju.

“Kita selalu berpegang kepada prinsip keterangkuman (inklusif). Inklusif bererti bahawa kekayaan negara kita mestilah dibahagikan secara adil dan saksama dan di samping itu menegakkan satu prinsip yang sangat unggul yakni skim keadilan sosial,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata dalam usaha untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kerajaan telah mengenalpasti betapa pentingnya peningkatan kualiti hidup rakyat serta kewujudan persekitaran yang sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dengan adanya perumahan mampu milik bagi rakyat.

Katanya, keadaan ekonomi yang pesat berkembang serta penghijrahan ke bandar dan peningkatan keseluruhan dalam pendapatan boleh guna akan mengakibatkan peningkatan harga hartanah, terutama di kawasan bandar yang boleh menjangkau lebih daripada 30 peratus.

“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan golongan tertentu terutamanya mereka yang baru bekerja dan berpendapatan rendah atau sederhana rendah terlepas peluang memiliki rumah sendiri,” kata Najib.

Skim Rumah Pertamaku yang diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan rumah mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan rendah terutamanya di kawasan bandar.

Di bawah skim ini, kemudahan diberikan terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Melalui skim ini, individu terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapat pinjaman sebanyak 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun.

Ini bermakna kerajaan melalui Cagamas akan menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut dan permohonan boleh dibuat secara langsung di cawangan-cawangan perbankan di seluruh negara mulai hari ini.