Halaman

Rabu, 9 Mac 2011

KEMENANGAN BERGANDA BN LAMBANG PENERIMAAN RAKYAT

Temerloh, 6 Mac – “Kita bersyukur di atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan mengucapkan tahniah atas kerja keras jentera BN sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN hari ini,” ujar Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, kemenangan ini adalah kemenangan rakyat Kerdau dan rakyat Pahang secara umumnya, dan ia memberikan motivasi daripada Perlis sampailah ke Sabah.

“Mudah-mudahan BN akan terus di hati rakyat Malaysia dengan kemenangan berganda di Kerdau, di Merlimau dan di pilihan raya sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui UMNO-Online di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kerdau di Dewan Tun Razak, Temerloh.

Dalam masa yang sama, Ahmad menegaskan antara punca peningkatan majoriti yang diperolehi calon BN adalah kerana keyakinan pengundi kepada pucuk pimpinan BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, selain jentera yang telah melaksanakan tugas dengan berkesan selaras dengan dasar-dasar yang dibawa kerajaan.

“Calon kita juga memainkan peranan penting dalam peningkatan majoriti BN kali ini. Kedua-dua calon kita di Merlimau dan khususnya di Kerdau ini, Syed Ibrahim yang cukup dikenali dan diterima oleh masyarakat di Kerdau.

Penambahan undi di Felda sebagai kita punya `fix deposit’ di kawasan ini,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau yakin dengan kemenangan berganda, selain tiga pilihan raya kecil di Galas, Batu Sapi dan Tenang baru-baru ini yang tentunya memberi motivasi cukup hebat untuk Pilihan Raya Umum ke-13. – MediaUMNO