Halaman

Isnin, 30 Mei 2011

PENCERAIAN SELESAI BANYAK MASALAH WANITA

KOTA BHARU: Umat Islam tidak harus melihat kadar perceraian yang tinggi di negara ini satu perkara negatif kerana perpisahan suami isteri mengikut lunas undang-undang itu, sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah dihadapi wanita.

“Saya melihat perkara ini (perceraian) daripada aspek positif iaitu masyarakat Islam kini sudah sedar dan celik undang-undang, boleh menyelesaikannya mengikut lunas yang dibenarkan Islam,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Katanya, perceraian pasangan Islam setiap 15 minit di negara ini menggambarkan satu kesedaran bahawa banyak kes yang tidak menemui jalan penyelesaian sebelum ini, sudah diselesaikan melalui lunas undang-undang.

“Kita jangan lihat perceraian itu satu perkara yang teruk sangat kerana ia perkara yang halal, malah perceraian itu sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi kaum wanita,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Halal Kelantan 2011, di Kompleks Islam Darulnaim, di sini, semalam, yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Mac lalu ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, dengan menyebut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009, menunjukkan purata pasangan Islam yang bercerai mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan bercerai setiap 15 minit.

Berdasarkan rekod JAKIM pada 2009, menunjukkan perceraian terus meningkat setiap tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya golongan muda.

Ditanya sama ada berlakunya perceraian seperti itu disebabkan kekurangan hakim, Mashitah menafikannya dan menegaskan banyak kes sudah diselesaikan.
“Memang tidak dinafikan, setakat ini kita memang memerlukan banyak lagi hakim bagi menyelesaikan kes, namun banyak kes dapat diselesaikan dengan mengadakan perbicaraan pada waktu malam atau hari cuti selain ditambah dengan hakim perempuan,” katanya.

Beliau berkata, berlakunya kes perceraian membabitkan pasangan Islam disebabkan suami dan isteri masing-masing tidak memahami tanggungjawab serta ilmu berumahtangga.

“Dalam kajian yang kita lakukan, perceraian berlaku bukan disebabkan ketidakseragaman undang-undang syariah, namun ia membabitkan pasangan berkenaan iaitu tidak memahami tanggungjawab selain kurang ilmu rumah tangga,” katanya.