Halaman

Khamis, 12 Mei 2011

TOKOH WANITA MELAYU TERBILANG TERHARU TERIMA ANUGERAH SEMPENA ULANG TAHUN UMNO KE-65

KUALA LUMPUR 11 Mei – Penerima anugerah Tokoh Wanita Melayu terbilang, Prof Datuk Dr Mazlan Othman terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh UMNO kerana ianya disifatkan bukan sahaja satu penghormatan kepada diri beliau, malah kepada kaum wanita.


Menurut beliau langkah berkenaan adalah satu pengiktirafan yang cukup besar dan satu langkah yang progretif bagi mengangkat kaum berkenaan dan ianya diharap dapat diteruskan lagi selepas ini.


“Saya menerima penghormatan ini dengan besar hati dan dengan segala rendah hati kerana ramai Melayu lain pada pandangan saya yang mungkin terbilang daripada saya.

“Saya bersyukur ini rezeki yang diberi kepada saya, dan saya amat bangga ini adalah penganugerahan dari UMNO kerana UMNO selama ini membela nasib Melayu temasuk saya sebagai seorang Melayu dan bangga men jadi Melayu.

"Bagi saya sebagai seorang wanita, anugerah khas kepada wanita adalah satu langkah yang progretif dan saya harap akan dapat diteruskan selepas ini, “ katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Majlis Tertinggi dan UMNO yang telah memberikan penghormatan berkenaan.

Dilahirkan pada 11 Disember 1951 di Seremban Negeri Sembilan, Dr Mazlan mendapat pendidikan awal di Kolej Tunku Kurshiah sebelum berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai tutor pada tahun 1975.

Ibu kepada dua orang anak ini hasil perkongsian hidup bersama suaminya Professor Ibrahim Komoo seterusnya mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang astrofizik di Universiti of Otago, New Zealand pada tahun 1981. Yang lebih membanggakan beliau merupakan wanita Malaysia pertama membuat pengkhususan dalam bidang astrofizik.

Pada tahun 1990 beliau telah berkhidmat di Bahagian Planetarium, Kajian Sains Angkasa dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarah di bahagian Kajian Sains Angkasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Beliau telah dilantik menjadi Profesor Astrofizik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kebijaksanaan beliau terus mendapat perhatian apabila dilantik menjadi Ketua Pengarah Kajian Sains Angkasa di Jabatan Perdana Menteri dan diamanahkan untuk menerajui mikrosatelit negara iaitu Satelit Tiung-SAT 1 dan RAZAKSAT.

Pada 2002 beliau menubuhkan agensi Angkasa Lepas dan mengetuai Planetarium Malaysia pada Julai 2002.

Bakat kebolehan dan kebijaksanannya terus diiktiraf bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa apabila beliau menjadi wanita pertama dilantik untuk memimpin pejabat hal ehwal angakas lepas di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semenjak penubuhannya 50 tahun lalu.

Beliau juga menjadi wanita pertama dilantik timbalan ketua pengarah PBB di Vienna semenjak penubuhannya 30 tahun yang lalu.

Segala kerja-kerja penyelidikan dan sumbangan besar beliau di dalam bidang ilmu sains angkasa telah pun menjadi perintis untuk melahirkan angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaffar di mana hari-hari depan rakyat Malaysia akan merasa bangga di atas pencapain negara kita di dalam menerokai angkasa lepas menjelang tahun 2020.

Ini seterusnya meletakkan asas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, moden, berinovasi dan menyerlah dlam bidang sains dan teknologi.

Tahniah dan syabas kepada penerima buat julung kalinya Anugerah Wanita Melayu Terbilang sempena hari ulang tahun UMNO ke 65 iaitu Datuk Dr Mazlan Othman.