Halaman

Ahad, 29 Mei 2011

WANITA BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA UMUM – SHARIZAT

SEMPORNA 28 Mei – Jentera Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa kerana persediaan itu sudah lama dilakukan.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, persediaan itu bukan sahaja sahaja di peringkat pusat, malah turun membabitkan ahli Wanita UMNO dan BN di semua peringkat sama ada di bahagian mahu pun cawangan.

“Persediaan itu sudah lama dilakukan, ini dibuktikan melalui pembabitan Wanita UMNO dan parti komponen yang lain ketika menghadapi pilihan raya kecil yang banyak diadakan sebelum ini termasuk pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.

“Kami sentiasa turun padang untuk bertemu dengan rakyat melalui program Jalinan Rakyat. Pada program itu kami memberi penerangan serta penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa termasuk fitnah serta dakyah yang dibuat oleh pembangkang,” katanya selepas melancarkan Karnival Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang Parlimen Semporna.

Menurutnya, walaupun ramai pihak mengatakan pilihan raya umum ke 13 sebagai satu pilihan raya yang mencabar kepada BN, namun beliau yakin bahawa rakyat akan tetap terus menyokong BN kerana banyak pembangunan dan perubahan sudah dilaksanakan demi untuk kebaikan rakyat.

“Sokongan rakyat terhadap BN sudah kembali, tranformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri rakyat kini sudah menunjukkan hasilnya, ini dapat dilihat melalui sambutan orang ramai setiap kali Perdana Menteri turun padang,” katannya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, rakyat negara ini seharusnya berterima kasih dengan kerajaan BN yang sentiasa prihatin dengan nasib rakyat terutama ketika menghadapi isu kenaikan harga barangan.

“Pemberian subsidi berterusan untuk barangan keperluan adalah bukti bahawa kerajaan BN sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dan sentiasa berusaha untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.