Halaman

Jumaat, 25 Jun 2010

SKUAD SAYANG DEKATI RAKYAT AKAR UMBI PELBAGAI BANGSA



PENDANG, 24 Jun – Skuad Sayang terus menjadi jambatan penghubung dalam membantu masyarakat termasuklah di peringkat akar umbi dan kawasan pedalaman agar perhatian dan pembelaan dapat diberikan bagi meringankan beban mereka.

Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil berharap program tersebut dapat membantu rakyat yang menghadapi pelbagai masalah di samping mendekatkan hubungan mereka dengan para pemimpin.

“Jika terdapat mana-mana kes kebajikan yang terlepas pandang, memerlukan pembelaan dan perhatian, kita sendiri akan turun padang tanpa perlu bergantung kepada pihak lain sahaja termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 2000 masyarakat pelbagai kaum dalam majlis pelancaran Skuad Sayang Negeri Kedah dan Parlimen Pendang di Kampung Tok Set, Sungai Tiang di sini hari ini.

“Cawangan dan Skuad Sayang akan memaklumkan kepada ketua wanita bahagian berkaitan kes-kes yang perlu diambil berat dan seterusnya kepada ibu pejabat untuk dimaklumkan kepada saya agar bantuan dapat diberikan dengan segera,” katanya lagi.

Sebagai simbol pelancaran tersebut, Shahrizat melepaskan 30 ekor burung merpati hitam yang menjadi simbolik Skuad Sayang dalam membantu meringankan beban dan kesusahan masyarakat.

“Kita tidak menumpukan program ini kepada sesuatu kaum atau kumpulan saja, sebaliknya usaha terus digembleng dengan mendekati setiap golongan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan.”

Dalam majlis ini juga, Shahrizat turut menyampaikan bantuan kepada 170 orang penduduk tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa termasuk empat anggota Skuad Sayang ekoran menghadapi kesulitan dan kepayahan dalam kehidupan.

Sumbangan dari Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada 45 orang penduduk turut disampaikan oleh beliau dengan bantuan berupa barangan keperluan harian dan rumahtangga selain daripada sumbangan kewangan untuk mereka.

Shahrizat turut berkesempatan mengunjungi rumah seorang penduduk tempatan berbangsa Siam yang lumpuh dan tidak dapat menikmati kehidupan dengan sempurna seperti insan lain.
Skuad Sayang yang terdiri daripada kalangan anggota-angota Wanita BN dan UMNO adalah kumpulan bergerak yang melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kemasyarakatan sebagai menepati hasrat Umno mendekati dan memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.