Kuala Lumpur, 20 Jun – Skuad Sayang Wanita Barisan Nasional (BN) berupaya menjadi agen penerangan dan penyampai maklumat yang berkesan dalam usaha menagkis dakyah dan fitnah yang disebarkan oleh parti pembangkang di akar umbi.
Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ketika melontarkan cadangan berkenaan berkata, usaha itu perlu dilakukan bersama program kebajikan yang dilaksanakan oleh skuad berkenaan ketika menyampaikan bantuan di kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pelbagai cerita dan dakyah yang dilontarkan oleh pembangkang terhadap kerajaan dan kepimpinan negara perlu diperjelaskan dengan maklumat yang tepat supaya masyarakat di akar umbi tidak terkeliru dan terpengaruh dengan dakyah sedemikian rupa.
“Saya cadangkan perkara ini kerana melihat Skuad Sayang Wanita begitu agresif melaksanakan tanggungjawab dengan turun ke akar umbi dalam program-program kebajikan. Justeru apa salahnya, di samping menghulurkan bantuan tersebut, pada masa yang sama kita berkongsi penerangan dengan masyarakat setempat.
“Penerangan secara bersemuka berhubung isu-isu semasa dan penerangan lain diyakini akan memberi impak yang cukup bermakna kepada parti dalam usaha kita memastikan BN terus dekat dengan hati rakyat. Kalau Skuad Sayang Wanita BN Selangor ingin membincangkan soal ini, saya bersedia pada bila-bila masa untuk berkongsi pandangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Skuad dan Stor Sayang Wanita BN Selangor, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Wanita BN merangkap Pesuruhjaya Skuad Sayang Selangor, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.
Rosmah seterusnya menambah, kelainan yang diwujudkan oleh Skuad Sayang Wanita BN Selangor diyakini mampu menzahirkan impak yang berkesan serta bermakna dalam usaha menabur bakti dan berkhidmat kepada seluruh masyarakat di negeri terbabit.
Katanya, tindakan tersebut adalah sejajar dengan aspirasi Gagasan 1Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang ingin melihat keakraban dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini tetap utuh walau pun terdapat perbezaan di dalam kepelbagaian.
“Sungguhpun dibatasi dengan tugas-tugas seharian sebagai seorang isteri dan tanggungjawab lain, puan-puan masih sanggup untuk menggalas tanggungjawab serta amanah yang besar dalam memainkan peranan yang cukup penting bagi menjayakan Skaud Sayang ini.
“Saya yakin, dengan pelbagai aktiviti sukarela kemasyrakatan melalui penyertaan aktif Wanita BN di Selangor, ianya akan dapat memastikan bukan sahaja perhatian dan pembelaan setiap lapisan masyarakat dalam bidang kebajikan, ekonomi dan pendidikan akan lebih terjamin, bahkan perjuangan BN akan sentiasa mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.
Beliau seterusnya melihat penubuhan Skuad Sayang yang dikelolakan oleh Wanita BN adalah bagi menyahut saranan dan tuntutan Datuk Seri Najib yang ingin melihat institusi tersebut menjadi ajen pengubah ampuh yang mampu melaksanakan agenda transformasi dalam usaha menambah baik sesebuah masyarakat.
“Justeru saya berharap medium Skuad Sayang ini dapat digunakan sebaik mungkin terutama sekali dalam suasana lanskap politik yang kian mencabar ini dengan menjadikannya sebagai satu wadah perjuangan suci, cakna pemikiran kontemporari UMNO dan BN iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara.
“Ianya amat penting agar parti keramat ini sentiasa kelihatan segar dan relevan serta bersifat ‘centrist’ iaitu satu idea atau amalan yang mempromosi dasar yang sederhana di tengah-tengah politik yang ekstrem,” katanya.