Halaman

Isnin, 21 Jun 2010

TABUNG BANTU IBU TUNGGAL

Temerloh 19 Jun - Wanita UMNO menyediakan tabung bagi membantu ibu-ibu tunggal menyara kehidupan harian dan pendidikan anak-anak mereka yang masih belum mendapatkan nafkah daripada bekas suami masing-masing.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamalia Ibrahim berkata, bantuan yang diberikan menerusi tabung itu sementara menunggu Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah terhadap bekas suami memberikan nafkah bulanan kepada anak-anak mereka.
Katanya, dengan adanya peruntukan daripada tabung itu ia dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ibu-ibu tunggal selepas diceraikan oleh suami mereka.
"Setakat ini, kita sudah membantu lebih 300 ibu tunggal di seluruh negara yang telah mendapatkan manfaat daripada tabung tersebut.
"Saya berharap ibu-ibu tunggal dan para isteri yang dalam proses menunggu perintah Mahkamah Syariah terhadap tuntutan nafkah anak-anak boleh menghubungi Wanita UMNO peringkat Cawangan dan Bahagian yang terdapat di seluruh negara untuk mendapatkan bantuan berkenaan," kata Kamilia.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan dan Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Temerloh, dekat Mentakab di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Sokongan Keluarga Mahkamah Syariah Malaysia memberitahu, terdapat ramai ibu tunggal yang perlu dibantu kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk mengadu.
Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin Wanita UMNO Cawangan dan Bahagian bertindak proaktif bagi membantu pihaknya mengesan ibu-ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan bagi menyara hidup dan meneruskan pendidikan anak-anak mereka.
Selain itu, pihaknya juga turut membantu ibu tunggal bukan Islam dengan merujukkan kes mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam perkembangan berkaitan, Kamilia memberitahu, terdapat lebih 70 peratus isteri yang diceraikan atau ditinggalkan suami mereka tidak mempunyai tempat tinggal.