Halaman

Jumaat, 25 Jun 2010

WANITA SASARAN JUAL ROKOK

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan 31 Mei setiap tahun bermula 1987 sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, pelbagai kempen dan kesedaran tentang bahaya rokok giat dijalankan. Matlamatnya bagi membendung serta menghentikan tabiat itu.

Selepas 23 tahun sambutan itu dilancar, laporan WHO menunjukkan, jumlah perokok semakin berkurangan tahun demi tahun terutama bilangan perokok lelaki yang selama ini menjadi penyumbang utama kepada keuntungan industri tembakau.

Malah laporan itu juga menunjukkan kempen-kempen berhenti merokok yang dianjurkan pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) membuahkan hasil.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan di kalangan industri tembakau di seluruh dunia kerana penjualan rokok semakin menurun.

Bagi mengelakkan ‘gulung tikar’ akibat kerugian dalam penjualan rokok, syarikat-syarikat tembakau kini mengambil langkah bijak dengan menyasarkan golongan wanita sebagai pengguna baru bagi menggantikan lelak.

Malah WHO memberi amaran bahawa syarikat-syarikat pengeluar rokok kini menjadikan wanita di negara-negara sedang membangun sebagai sasaran kerana menganggap golongan ini sebagai pasaran baru yang sedang berkembang.

Sebagai contoh menurut agensi badan dunia itu, di Bangladesh kira-kira 28 peratus wanita dewasa negara itu kini merokok dan 43 peratus penduduk dewasa atau 41 juta orang mengambil tembakau dalam pelbagai bentuk, iaitu meningkat daripada 37 peratus pada 2004.

Kajian oleh Projek Kawalan Tembakau Antarabangsa mendapati paten yang sama juga berlaku di seluruh rantau ini yang menyaksikan peningkatan penggunaan tembakau di kalangan wanita terutama di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Kemboja dan tidak ketinggalan Malaysia.
Golongan itu dijadikan kumpulan sasaran terbesar kerana industri tembakau sedar wanita hari ini lebih maju, berpelajaran dan mempunyai kedudukan hebat dalam kerjaya.

Wanita mempunyai lebih kuasa untuk berbelanja dan bebas membuat pilihan termasuk dalam soal melakukan kegiatan sosial secara bebas seperti merokok jika tertarik untuk berbuat demikian.

Menyedari naluri wanita yang gemar bergaya, sukakan barangan berbentuk menarik dan warna indah, industri tembakau menyusun strategi memanipulasi kecenderungan dan minat golongan Hawa itu dengan menghasilkan rokok unik yang mampu menarik minat kaum itu.

Jika dilihat di pasaran terutama kedai serbaneka 24 jam, rokok yang menyasarkan pembeli wanita, dijual dalam pelbagai jenama secara terbuka seperti jenis ‘sejuk’ atau digelar ‘rokok mentol’ dan dalam beberapa perisa termasuk strawberi, coklat serta vanila.

Lebih menarik minat kaum hawa apabila industri tembakau mengeluarkan rokok dalam kotak bersaiz comel, cantik dan kecil yang boleh disimpan dalam bekas gincu.

Selain itu, bagi mempromosikan produk rokok yang dihasilkan, syarikat tembakau mengeluarkan kempen iklan melalui risalah dan Internet mengenai kebaikan merokok kepada penampilan.

Mana mungkin wanita tidak tahu kesan tidak baik merokok kepada kesihatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Namun, ekoran keinginan yang tinggi untuk tampil cantik serta menarik, wanita sanggup ‘menutup mata’ menafikan semua keburukan itu dan terus mengamalkan tabiat merokok.

Satu daripada kempen itu, menampilkan gambar wanita merokok dengan gaya sofistikated atau kata orang ‘nampak stailo’ yang membuatkan wanita terikut-ikut untuk merokok.

Pada masa sama, kata-kata yang menyatakan wanita mampu memperoleh bentuk badan menawan dan kekal langsing dengan tabiat merokok satu batang rokok setiap hari secara berterusan dilihat menjadi antara faktor yang mempengaruhi wanita untuk mula merokok walaupun kebenarannya masih diragui.

Faktor lain yang disenaraikan sebagai punca wanita merokok adalah bagi ketenangan jiwa, perasaan ingin mencuba dan mengikut rakan atau orang yang rapat.

Langkah yang diambil industri tembakau ini bukan sahaja dilaporkan mampu memberi pulangan berganda dalam penjualan rokok dan meningkatkan jumlah perokok wanita, tetapi juga menyumbang kepada lebih banyak kematian akibat penyakit berkaitan rokok.

Kaum wanita perlu diberi perhatian dan kesedaran penuh tentang sikap industri tembakau yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Sedarlah perokok wanita, perlu menjauhi tabiat merokok demi kesihatan kerana pendedahan kepada bahan merbahaya itu lebih banyak mendatangkan kesan buruk.