Halaman

Jumaat, 25 Jun 2010

RAHMAT REJAB MOHON KEBERKATAN ALLAH



KUALA LUMPUR 24 Jun – Sempena bulan Rejab, Pergerakan Wanita UMNO menganjurkan sembahyang berjemaah dan solat hajat memohon Allah s.w.t. memberi berkat, rahmat dan restu kepada kepimpinan UMNO di bawah Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu, program tersebut bukan bertujuan untuk kepentingan politik semata-mata tetapi apa yang lebih penting ialah memohon agar mendapat keberkatan atas perjuangan UMNO.

“Kita berdoa supaya Malaysia di bawah pentadbiran Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, direstui dan diberkati Allah s.w.t. Semoga rakyat sentiasa hidup aman, makmur serta terus bersatu padu,” katanya.

Mengambil keberkatan sempena bulan Rejab, majlis yang dinamakan ‘Rahmat Rejab’ ini juga dibuat selaras dengan pelaksanaan RMK-10 khususnya dalam pembangunan modal insan.

“Kita juga memohon agar semua perancangan kerajaan akan berlangsung lancar, berjaya dan mendapat hidayah-Nya termasuklah RMK-10, Pelan Trasnformasi Kerajaan, NKRA dan lain-lain lagi,” kata Shahrizat.

Istimewanya majlis tersebut menampilkan Imam Masjid Nabawi Sheikh Saad Al-Nomani bagi memimpin kira-kira 700 jemaah melakukan solat Maghrib, solat tasbih dan seterusnya solat Isyak.

Dalam majlis yang diadakan di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tersebut, para jemaah mendengar bacaan Al-Quran dari Sheikh Saad yang mempunyai kemahiran mengalunkan 100 taranum dan menjadi guru di Masjid Al-Nabawi.